Tuesday, January 14, 2014

Salam Maulidur Rasul

Hari ini merupakan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW ~ Nabi terakhir buat umat Islam dan seluruh alam. Selawat dan salam atas baginda Rasul junjungan. Salam Maulidur Rasul buat semua..

Baju Seragam Putih

Sejak balik ke pangkuan bumi Darul Takzim ni, acap benar aku ke hospital. Selain menziarah orang sakit, aku pulak nampaknya yang lebih kerap diziarahi kat sini hehe.. Boleh dikatakan sekarang ni dah masak benar aku dengan keadaan hospital di sini. Selalunya bila berada di kawasan hospital, mata akan tertawan melihat susuk jururawat berpakaian seragam putih yang selalu santun melayan karenah pesakit yang bermacam jenis. Alangkah mulianya tugas yang tergalas di pundak mereka yang tanpa jemu melayan kehendak manusia yang kesakitan. Kagum juga melihatkan kesabaran dan ketelitian mereka bekerja. Walau pun begitu ada segelintir yang boleh dibilang dengan jari yang agak kasar dan tindak tanduk mereka menghadirkan rasa kurang senang dalam kalangan mereka yang menerima rawatan. Ketika dikhabarkan aku perlu masuk ke wad sebab paras gula yang agak tinggi (mungkin pembawakan anak dalam kandungan ini), aku gabra jugak. Teringat2 wajah mencuka nurse berbaju polos putih sebaik aku meminta bantuan ketika jarum di tanganku tercabut semasa ditahan akibat denggi dulu. Ngeri sungguh! Syukurlah bila ditempatkan di wad yang lebih baik dan lebih 'kelas' dari dulu rawatan dan jagaan yang diterima jauh lebih baik. Kemesraan, kemanisan budi bahasa dan sikap baik penjawat awam berseragam putih di Wad O&G Barat sememangnya meninggalkan kesan manis di dalam hati. Buat nurse Revathy, Wee Lee & Hamidah, jutaan terima kasih atas keikhlasan yang ditunjukkan. Begitu juga kesabaran tenaga perubatan - Dr. Teoh, Dr. Siti, Dr. Kaliammah & Dr Noraziah yang memberikan khidmat terbaik sepanjang aku di sana. Terima kasih seikhlas hati!

Denggi oh Denggi

Semenjak Johor dikhabarkan sebagai negeri kedua di negeri Malaysia yang mengalami peningkatan kes denggi, aku memang rasa susah hati. Bertambah lagi kegusaran yang bersarang di hati ni bila kawasan perumahan aku ni diisytiharkan sebagai kawasan yang paling banyak kes denggi di Johor. Cakap pasal denggi ni.. aku pun tak terkecuali menjadi mangsa. Ramadhan tahun lalu merupakan antara Ramadhan yang meninggalkan kesan mendalam kepadaku. Masih jelas lagi diingatanku, Sabtu tu aku bangun awal penuh semangat untuk memulakan hari.Walaupun badan terasa tak sedap ditambah pulak kepala berat dan mata berpinar aku terus ke tingkat bawah rumah mengemas apa yang patut. Tiba-tiba aku rasa macam nak pitam lantas aku baringkan diri atas sofa depan tv. Terus aku mengadu kepada suami yang kemudiannya mengatakan badan aku berbahang tapi masih terkawal. Dalam tempoh tak sampai sejam panas badanku menjadi-jadi. Dipujuk untuk berbuka puasa dan menelan panadol aku tabahkan hati untuk meneruskan puasa yang hanya tinggal beberapa jam sebelum berbuka. Menjelang zohor, badanku semakin panas dan abang Sham membawa aku ke klinik. Masa tu aku mulai muntah dan tak mampu berjalan lagi. Masa terlalu pantas berlalu. Doktor yang merawat terus mengarahkan abang Sham membawa aku ke hospital. Sakitnya tak tertanggung.. Di hospital doktor hanya menasihatkan aku minum air yang banyak. Naik kembung perut memandangkan denggi ni takde ubat kecuali minum air yang banyak. Beberapa hari di hospital aku dibenarkan keluar tapi giliran adikku Aa dan Lin pulak ditahan di Hospital Batu Pahat atas sebab denggi juga.. Awal tahun ni kawasan perumahan kami buat gotong royong besar-besaran untuk menghapuskan kawasan pembiakan denggi kat sini. Semoga tidak ada lagi mangsa yang terkena virus yang merbahaya ni. Cegah sebelum parah!

Salam Pertemuan 2014

Lama sungguh aku tak menitipkan kabar di blog ni.. Banyak sebenarnya yang nak diceriterakan sejak 'kehilangan' aku dari alam maya lebih setahun lalu. Banyak yang dah dilalui.. banyak pahit manis kenangan yang terakam kemas dalam sanubari yang ingin sekali aku nukilkan.

Tapi tulah.. bila dah lama tak menulis, tak tau la aku nak start dari mana. Maka akhirnya terbungkamlah bicara bisu dan terkulai layu tanpa sempat di'publish' kat sini. Kehidupan mesti diteruskan biar banyak liku yang perlu ditempuhi dan banyak ranjau untuk dilangkahi. Kaki perlu melangkah dengan lebih gagah dan berani demi sebuah kejayaan yang bakal menanti. Yang pasti mulai sekarang aku akan cuba mencari masa yang lapang untuk meneruskan titipan di alam maya ini.. 

Selamat melayari tahun 2014 dengan penuh ketabahan. Selamat mendepani hari2 mendatang dan selamat bertemu kembali... ;)

Catatan Awal 2013 - Backdated

Masa kian pantas berlari meninggalkan kita tanpa disedari. Diam tak diam dah tiga bulan aku kembali mencurahkan bakti di bumi kelahiranku ~ Johor Darul Takzim. Keputusan kembali ke negeri hujung medini  sebenarnya diilhamkan oleh Abg Sham. Dah bosan berkelana di utara tanah air katanya.. Aku apa lagi.. terus bersetuju tanpa menunggu lama. Tempat jatuh lagikan dikenang, apatah lagi tempat bermanja kan? Hehehe.. Walaupun sebahagian besar zaman remajaku dihabiskan di Negeri Sembilan, Johor tetap di hati. Apatah lagi pulang dan berbakti menjaga emak yang aku kasihi memang bonus terbesar dalam hidupku.

Kembali bertugas di JB, aku kini mencurahkan ilmu kepada anak bangsaku, peneraju generasi masa hadapan Malaysia tercinta. Berhampiran dengan taman tema Legoland, Malaysia perjalanan pergi balik ke sekolah yang memakan masa kurang 20 minit kini menjadi rutin. Syukurlah dalam keletihan menjalankan tanggungjawab mendidik remaja belasan usia, aku ditemani oleh Abg Sham yang setia bersama ku sepanjang perjalanan pergi dan pulang. Memandangkan Abg Sham akan memulakan kerja menjelang April nanti, banyak masa terluangnya digunakan untuk menemani aku. Sepanjang tempoh 'berehat' Abg Sham, akulah insan paling bertuah. Rasa disayangi betul bila pergi dihantar balik dijemput.. Cewah!!


3 bulan aku bertugas di sini, nampaknya kesibukan kerja tidak kunjung pergi. Berkhidmat di sebuah sekolah AMANAH di selatan tanah air, kesibukan tugas bagai bertali arus tanpa penghujung. Menjelang hujung minggu memang aku betul2 kelelahan. Ahad merupakan hari istirehat utama kerana sepanjang Isnin hingga Sabtu aku sibuk dengan kerja yang bertimbunan. Mujur Abg Sham menjadi sahabat setia yang sentiasa mendengar keluh kesahku, menyabarkan aku sepanjang berdepan karenah dan kenakalan anak didikku dan memberikan sokongan tak berbelah bagi kepadaku. Syukur alhamdulillah.. terima kasih abang!!