16 Mei hadir lagi. Tahun ini aku diizin olehNya meraikan hari guru buat kali ke 22. Alhamdulillah.. Perjalanan masa amat pantas dan tanpa sedar, telah lebih 20 tahun aku menumpahkan kesetiaan dalam profesion keguruan. Meskipun bermula kerana terpaksa (atas permintaan arwah abah), akhirnya aku benar-benar jatuh cinta dengan kerjaya ku. Berdepan pelbagai liku dan cabaran dunia pendidikan, aku turut merasai pelbagai perisa kehidupan yang mewarnai setiap turun naik citra hidup bak roller coaster.
Menyambut hari guru ditemani gurisan halus luka yang mencarik kedamaian sesungguhnya amat mencabar kesabaran. Melempar manis senyum di tengah ramai tatkala hati remuk berdepan tohmahan, menuntut kepasrahan jiwa yang bukan mainan. Tambah menyakitkan, apabila memikirkan kehadiran surat tanpa nama yang memerlukan masa untuk aku menghadam isi kandungannya. Walau aku yakin, maksud warkah yang diterima memetik banyak frasa dusta, ia tetap mengundang kecewa.
Menyahut permintaan pasukan KEBIRUS untuk mengenakan busana bertema tradisional Melayu, aku capai kebaya hijau untuk digayakan. Dengan aksesori ringkas yang sedia ada, aku cuba menyahut tema yang diberi sebaiknya. Alangkah terkejut sebaik sesi penggambaran bermula, nuansa sama dikenakan pula oleh sang 'hulu belang' atau memanda menteri kepada permaisuri Medini. Nasib baik rona hijau kami agak berbeza. Rasa serba tak kena bila digayakan bersama tapi apakan daya.. Redha dan redah jelah sambil menangkis lirikan mata pencari mangsa! Fikir yang baik-baik, doa yang baik-baik semoga kami terselamat dari fitnah getir yang menunggu masa..
Selamat hari guru buat semua insan yang pernah bergelar GURU. Semoga Allah memberi ganjaran atas keikhlasan dan kesungguhan kita mendidik anak bangsa demi memacu kecemerlangan pendidikan negara. Terima kasih cikgu! Guru Pemacu Reformasi Pendidikan.
No comments:
Post a Comment