Saturday, December 13, 2025

Hujan

Hujan lebat mencurah-curah menemani pagi Sabtu yang dingin. Sejuknya cukup membuatkan  rasa malas bermaharaja lela dalam diri.  Alangkah indahnya andai dapat melelapkan mata melayan mimpi di bawah selimut hangat yang menemani dinihari. Bahagianya hati dapat bermalas-malasan di hujung minggu sambil melayan angan-angan. Bukan selalu peluang seperti ini datang bertandang. Hampir setiap hari rutin hidup dipenuhi pelbagai agenda duniawi, lantas apa salahnya sesekali terlekat di atas katil dengan himpunan bantal empuk sebagai peneman, kan... Tidak lupa peluang keemasan yang ada dimanfaatkan sebaiknya untuk menadah tangan di waktu mustajab tika ini. Sepenuh hati seikhlas jiwa, doa ku panjatkan kepada Yang Maha Pencipta. Mudah-mudahan rintihan dan doa kami diperkenan olehNya.

Ya Allah, Kau panjangkan lah rasa kasih sayang kami hingga ke syurgaMu. Izinkan kami hidup bersama dengan redhaMu, permudahkan urusan kami untuk mencapai hasrat dan hajat kami, kerana kami mencintai sesama kami kerana Mu ya Allah... Aamiin ya Rabbal Alamin ❤️ 

Wednesday, December 10, 2025

Sayang...

Sayang...
Sunyi hidup ku tanpa suaramu
Sepi dunia ku tanpa gelak tawamu
Hambar hati ku tanpa belai kasihmu
Kosong jiwa ku tanpa hadir dirimu

Sayang...
Sesaat ku rasa sehari tanpa mu
Hilang sejenak dadaku sebak pilu
Ku tahu kau sedang mengubati lelahmu
Tapi aku tetap setia menanti menunggu

Sayang...
Sukar mata ku lelapkan biar pun malam kian jauh melabuh tirai
Resah jiwa ku merindu tidak terlerai
Bahagia dinanti sayang membelai

Putera Mahameru
09122025:23.45

Monday, December 8, 2025

Pilih, Pilihan, Memilih.. Dipilih?

Aku masih ingat lagi satu puisi (poem) yang menambat hati bertajuk The Road Not Taken karya Robert Frost ketika aku mengajar English Literature lama dahulu. Puisi ini mengisahkan tentang bagaimana setiap manusia berdepan dengan pilihan dalam banyak aspek kehidupan. Ketika berdepan dengan pilihan ~ ke kanan atau kiri, hadapan atau belakang sebenarnya secara sedar ataupun tidak, kita akan tetap melepaskan satu peluang lain yang takkan berulang dalam hidup kita.

Pilihlah.. jika kita masih berupaya memilih dan Jika ada pilihan. Jika tiada pilihan? Maka ketika itu, ikutlah jalan yang ada di hadapan meskipun ia amat berisiko dan berbahaya untuk dilalui. Tatkala membuat pilihan, sedaya mungkin, fikirkan semua kesan langsung akibat pilihan yang dibuat Berbaloikah mengambil risiko kehilangan sekiranya kita tersalah membuat pilihan? Atau adakalanya kita kena membuat pilihan melepaskan demi menjaga keharmonian dan kebahagiaan yang bukan memihak kepada kehendak kita semata-mata?

Tatkala kekeliruan melewati kewarasan akal, istikharah merupakan jalan pemecah kebuntuan. Berdoalah dan mintalah petunjukNya untuk mendapatkan jawapan teka silang kata yang bermain-main di benak fikiran. Namun, jendela jiwa dan minda hendaklah dibuka seluasnya untuk memperoleh jawapan sama ada daripada mimpi atau firasat serta gerak hati yang dianugerahkan. Aturan langkah berikutnya perlulah digerak pantas untuk mencantas keraguan.

Oleh itu, berfikirlah dengan mendalam tatkala menyelesaikan sebarang persoalan melibatkan kehidupan. Pastikan hati benar-benar yakin membuat keputusan dan ikhlas membuka jalan penyelesaian, terpulanglah. Tepuk dada, tanyalah akal agar setiap langkah tak tersilap tingkah dan baik untuk semua pihak.. Allahumma baarik..



Sunday, December 7, 2025

Medini di Hati ❤️

Dataran ini saksi
Sederap langkah dihayun rapi
Menyambut mesra hening dinihari
Roda hari berputar bersilih ganti
Terakam kenangan di kanvas memori 
Seirama mendayu mengikrar janji
Menambat azam memahat impi
Maruah Medini dijulang tinggi

Dewan Iskandar ini saksi
Berhimpun warga menyantuni acara
Mendengar amanat segala bicara
Mencanai ombak mengemudi bahtera
Belayar berani gentar tiada
Arang digenggam usah tinggal bara 
Biar putih tulang jangan berputih mata
Kemilau Medini utuh di persada

Dewan Permana ini saksi
Warga asrama berusaha gigih
Menabur benih ilmu tanpa letih
Meski adakala mengalir air mata sedih 
Pantang menyerah walaupun jerih
Bersama teman mengikat kasih
Lakaran kejayaan bersama diraih
Nama Medini membekas bersih 

Laman Medini ini saksi
Semangat Medini marak bagai api
Jiwa Medini kukuh bak besi kersani
Padu tekad ukhuwah dipasak berdiri
Gagah melangkah tanpa sembunyi
Onak cabaran diusir pergi
Nista dan hasad menjarak diri
Medini tetap utuh di hati

Medini Ada.. Medini di Hati ❤️ 


Zahizan Hasrin
Pengetua
sMK Medini
07122025

Andainya Kau Tahu..

Andainya kau tahu..
Betapa jerih jiwa merintih
Setiap waktu berlalu sepi
Setiap saat membadai mimpi
Menanti bait bicara mesra
Manis senyum derai gelak tawa 
Yang kian jauh menyisih
Membatas ria menjemput pedih
Menyapu damai mengundang sedih

Andainya kau tahu..
Setiap waktu rindu ku tahan
Gema suara di hujung talian
Saban hari menghitung impian
Setiap doa yang ditiup 
Setiap pesan yang dititip
Ku tunggu tanpa jemu
Biar hati menukil harapan
Akhirnya tinggal sekadar khayalan

Andainya kau tahu ..
Rawan hati meniti hari
Simpulan kasih kian terlerai
Empangan sendu pecah berderai
Terlontar di daerah rasa berbeza 
Penuh pasrah jiwa melara
Bukan semua mampu menerima
Sedetik impian yang singgah 
Sedetak rasa yang menjengah

Sungguh kau takkan tahu..
Betapa besar sayang ku padamu
Hilang bahu untuk bersandar 
Hilang cuping untuk mendengar
Hilang jiwa berkongsi resah
Hilang tawa berkongsi kisah
Hanya doa ku pohon buatmu
Yang tetap mendiam dalam hati ku

*Buat sahabat yang menghilangkan diri,.menyepi di kala aku diuji.. terima kasih. Aku sayang persahabatan kita..

Izan Hasrin
7 Disember 2025
TPI, JB 




Saturday, November 29, 2025

Assalam & Zahin...

Saban minggu, seolah menjadi rutin tetap dan berpencen, aku menemani Zahin ke restoran kegemarannya di Iskandar Puteri ini. Sekadar menikmati cheesy fries sehinggalah menikmati juadah barat Fish & Chips itulah destinasi pilihan hati buah hati ku nan seorang ini. Assalam ni sebenarnya merupakan kedai mamak yang letaknya berhampiran benar dengan SMK Medini. Sudahnya setiap hujung minggu aku singgah ke sekolah..Hikmahnya, para pengawal keselamatan di pondok hadapan sekolah sentiasa perlu bersiap siaga dan cakna jika dikunjungi Pengetua pada bila-bila masa. Tak pe lah nak.. selagi Mommy ada daya, apa juga kehendak mu akan Mommy tunaikan asalkan tidak melanggar hukum syarak. Assalam pun Assalam lah..





Ku Pendam Sebuah Duka

Malam tadi awal betul aku terlena.  Mutakhir ini, keletihan mental seringkali mengatasi kekuatan fizikal yang semakin ampuh dimamah pertambahan usia.  Rasanya belum berdenting jam 11 malam, aku hanyut dibawa mimpi petanda tubuh perlukan rehat secukupnya. Namun lena ku tak lama.. pukul 1.30 pagi aku terjaga dan sukar untuk melelapkan mata.

Bergolek-golek di katil memujuk mata agar kembali ke alam mimpi memang sukar sekali. Di kala itu juga, tak semena-mena ingatan ku terbang kepada seorang sahabat yang amat aku rindui. Sepanjang keakraban kami, dia merupakan insan yang aku sayangi, aku kasihi bagai keluargaku sendiri. Aku memang mudah jatuh sayang pada sahabatku.. itu realiti. Cuma sahabat yang satu ini agak berbeza kerana kasihku tak terbatas kepadanya sahaja bahkan tumpah sama kepada anak-anaknya yang aku anggap ibarat anak-anak ku sendiri. Itu istimewanya..

Sayangnya hubungan kami renggang hanya kerana satu hembusan cerita yang kesahihannya tak didapatkan terus daripada aku, sang empunya diri. Rapuhnya persahabatan kami hanya dengan ujian kecil yang meruntuhkan tembok kepercayaan yang dibina selama ini. Kecewa sungguh aku bila penjelasan yang diberi ditolak mentah tanpa aku dapat membela diri. Tatkala aku berjuang membersihkan nama yang tercalar di kala memerlukan telinga untuk mendengar dan bahu untuk bersandar, aku disisih tanpa ihsan untuk menjernihkan kebenaran. Dosa apa yang aku lakukan, larangan Allah yang mana aku abaikan? Pertanyaan dan persoalan daripada teks yang aku terima terbiar sepi tiada jawapan pasti.

Rasa hampa  ini hanya mampu aku benamkan dalam-dalam. Sayu sebak syahdu bercampur baur mengingatkan kemanisan persahabatan yang hilang hanya kerana asbab yang dangkal. Lebih malang, mudah benar dipercayai seolah aku bukan sosok yang pernah dikenali. Meski aku terlihat tabah berdamai dengan realiti hilangnya seorang sahabat kesayangan, hakikatnya amat pedih untuk ku hadam dan aku telan. Aku buka seluasnya hati menerima takdir yang terlakar dan aku pasak dalam hati bahawa semua yang ada di dunia ini sekadar pinjaman Ilahi. Semoga sahabatku terus dikurniakan kesejahteraan dan kedamaian dalam kehidupannya. Aku..? Mungkin tiada erti dan tak perlulah dicari lagi supaya hatiku yang hancur kecewa ini akan berupaya pulih sendiri.. Duhai hati bersabarlah dan cepatlah pulih kembali.. 🥺