Sunday, December 29, 2024

Bicara Hati Bonda


MADAH KASIH BONDA
BUAT ANAKANDA YANG BAKAL MEREMPUH GELORA SPM 2024

Duhai anakanda, permata berharga
Di laman Medini kita bersua
Tatkala anakanda mengorak mula
Mengatur gerakan mengasah senjata
Bergerak serentak searah sehala
Sedia bertempur gentar tiada
 
Siram kasih mekar mewangi
Pesan bonda sematlah di hati
Tika anakanda berjuang di medan
Lapangkan hati tenangkan fikiran
Buanglah resah datanglah ilham
Kemaskan langkah tempur berani
Berteman hikmah pedang kersani
Patah pesan pendita disimpul rapi

Wahai anakanda buah hati bonda
Lakarkan kata luahkan fahaman
Benteng harapan kuatkan keyakinan
Juang tetap teguh berjuang
Biar getar ke tulang hitam
Padamkan keliru pasakkan azam
Medan SPM pasti kau tawan
Obor kejayaan akan kau julang
Sebagai hadiah di medan juang

Anakanda 07 yang bonda kasihi
Sebelum mengorak jauh ke medan
Restu ibumu siaplah disimpan
Azimat ayah jadikan bekalan
Kemaafan kalangan teman dan taulan
Pohon seikhlas hati yg dalam
Lupakan nista hilangkan sengketa
Agar angkatan kita berjaya.
Mengharung onak duri bersama

Ayuh anakanda kiriman Ilahi
Mulai esok menjelang dinihari
Sebaik fajar menerjah diri
Angkatlah takbir patrikan tekad
Pandang depan, belakang usah dilihat 
Doa kami perjuangan mu selamat
Pemergianmu kami iring dengan lafaz suci
Hanya kepada Yang Maha Mengasihi
Atur gerak  ke garis terakhir
Rabbi Yassir Wala Tu'assir..


Nukilan Hati ❤️ :
Bonda Zahizan Hasrin
SMK Medini, Iskandar Puteri  
27.12.2024 

Friday, December 20, 2024

#medinidihati ❤️

Lewat kebelakangan, beberapa aktiviti sekolah dilaksanakan dengan cemerlang, menjadi asbab ketiadaan kesempatan untuk aku meluah rasa dalam diari maya ini. 

Pertama, program perkhemahan unit beruniform yang direalisasikan di padang sekolah menyuntik pelbagai keterujaan rasa di samping menjentik sedikit keseronokan zaman remaja dahulu. Pelibatan aktif ketika bersama Rakan Muda dan Kelab Rekreasi & Kembara Negeri Johor semasa muda amat menggamit kerinduan. Terkenang sahabat lama & kenangan peralihan zaman remaja - dewasa yang menyeronokkan. indah!




Sebelumnya, warga kerja SMed diraikan dalam jamuan akhir tahun di Hotel Amerin JB. Terasa kembali remaja sementelah tema white and denim menjadi pilihan untuk digayakan. Dilatari lampu berwarna warni dan makanan enak memecah selera, makan malam santai bersama sahabat kesayangan sememangnya merupakan saat yang :mahal' untuk dipotretkan sebagai sisipan kenangan






Selain jamuan warga kerja, Makan Malam Asrama juga memahat memori di sanubari. Bertemakan floral atau bunga-bungaan, transformasi dewan menjadi lokasi majlis menang mengujakan. Diladeni bak putera dan puteri, wajah riang anak-anak asrama mengukir kenangan manis di tabir hati. Syukur alhamdulillah.. usaha kami menyantuni anak-anak asrama SMed menjadi realiti. 




Terima kasih Allah, terima kasih sayang buat team yang berjaya mengabulkan hajat dan menzahirkan visi Pengetua sebagai misi yang berjaya. Sesungguhnya aku sayangkan mereka keranaMu wahai Allah Yang Maha Kuasa. Jagalah mereka semua untukku Ya Rabbul Izzati.. #medinidihati ❤️

Yang Tak Berbeza


Cuba kau memandang ke dalam diri sendiri
Cuba kau renungi sekitaran hidup ini
Cuba perhatikan perawakan manusia
Pasti engkau mendapati tiap satu berbeza
Akan pasti kau akui keagungan Maha Esa

Cuba kau bertanya dari mana asal kita
Cuba menjawabnya dengan fikiran terbuka
Cuba kau bandingkan nasib tiap manusia
Pasti engkau mendapati tiap satu berbeza   
Akan pasti kau temui berbagai-bagai cerita

Langkahmu langkahku mungkin tak sehaluan
Caramu caraku tiada persamaan
Nyanyimu nyanyiku nadanya berlainan
Mimpimu mimpiku warnanya bertentangan
Satu perkara yang tak beza
Kau dan aku serupa
Di sisi Maha Esa