Kenapa hari ini semua jadi berbeza? Aku tiba di sekolah jam 7.20 pagi dengan jiwa yang lemah dan fizikal yang hampir rebah. Semua tak kena di mataku.. Tak perlu berteka teki. Jawapannya mudah sekali.. kerana jauh di sudut sanubari, hatiku tercalar, luka.. perasaanku remuk. Semuanya gara-gara kehadiran big boss ke sekolah semalam. Kehadiran yang membawa bersama kenyataan pedih lagi memeritkan yang tak pernah aku bayangkan. Big Boss merupakan seorang yang aku idolakan.. kerana kepemimpinan dan pendekatan profesional beliau yang pada pandangan mataku amat cocok dengan keperibadian beliau yang sangat aku kagumi. Begitulah selama ini.. sehinggalah semalam!
Kenyataan beliau tentang bagaimana pihak sekolah membelakangkan kumpulan ibu bapa yang menganggap mereka sebagai 'mesin ATM' semata-mata ketika menyusun aktiviti sekolah, kegagalan membina hubungan dengan Ketua Kampung, kegagalan ku membina kejelekitan menyebabkan hubungan goyah, berpuak² dan pecah belah dalam kalangan pendidik di sekolah membuat aku kelu tanpa kata! Alangkah kecewanya aku.. Seorang pemimpin yang aku sanjungi mempercayai tuduhan palsu yang dilempar tepat kepadaku selaku peneraju sekolah! Kecewa dan terkilan bertambah apabila aku tidak diberi peluang membela diri sedangkan kami diajar menyantuni setiap perbezaan dalam hubungan manusiawi! Segala usaha yang ku bina bersama pasukan pentadbir sekolah seakan-akan tiada nilainya..
Untuk aku menjelaskan duduk perkara sebenar rasanya tidak wajar dan tidak perlu. Kenapa? Kerana aku bekerja kerana Allah dan aku tidak berhutang penjelasan dengan mereka yang enggan mendengar. Aku ambil iktibar daripada kejadian ini untuk menasihati diri sendiri. izan.. jika satu hari nanti menjadi ketua, jadilah orang tengah yang menghubung dan membantu menyelesaikan kekusutan.. Bukan mendengar dari satu pihak menyalahkan yang satu lagi tanpa bukti. Siasat dengan betul duduk perkara sesuatu isu bukan menerima segala rungutan dengan mata tertutup rapat dan telinga tersumbat.. Jangan! Lihatlah mereka yang berselindung di balik jawatan yang direbut namun gagal menjalankan amanah.. Mereka yang mengejar populariti dan sekadar pandai menabur janji.. sembang kari! Buka mata luas-luas dan lihatlah betapa akrabnya hubungan yang terjalin dalam kalangan kami di Medini! Cubit peha kanan, terasa sakit juga di peha kiri! Pecah belah? Jauh panggang dari api! 🔥
Diberi peluang bersuara hanya di akhir pertemuan, membuat aku diam membungkam menahan rasa. Jika aku bersuara, adakah aku akan didengari atau hak bersuara ku telah dicemari? Tak perlu aku membuang masa menjelaskan letak perkara jika yang mendengar pun sebenarnya enggan menerima.. biarlah aku simpan semua. Harapnya esok menjelang dinihari bila aku bangun berdiri, semuanya hilang pergi umpama mimpi ngeri..
Dan hari ini.. semangat yang aku bina, keyakinan yang aku tanam.. menghilang tanpa kesan. Kecewa seorang aku.. bernilaikah di mata sesiapa? Biarlah, telanlah semua..