Thursday, September 18, 2025

Think Positive!

Membina suasana hati yang positif amat penting kerana ia dapat membantu kita merasa lebih baik untuk menerokai pelbagai dimensi indah dalam kehidupan.  Apabila kita memilih untuk berfikir secara positif, secara tidak langsung kita dapat mencipta persekitaran minda yang lebih terbuka dan berkembang dengan kreatif sekaligus menerbitkan kebahagiaan dengan cara kita sendiri. Di samping itu, berfikiran positif juga berupaya meningkatkan kesihatan mental dan fizikal selain membantu mengawal tekanan dengan lebih baik.

Adakalanya ketika mendepani ujian dalam kehidupan, pusat pemikiran menjadi terlalu sensitif untuk berfikir secara wajar khasnya dalam membuat keputusan. Pemikiran positif amat penting dalam membentuk kekuatan psikologi  yang membolehkan kita menangkis pelbagai halangan dan cabaran hidup. Sebagai contoh, ada pesakit kronik yang berjaya sembuh dan kembali sihat disebabkan iltizam untuk pulih dipasak kemas dalam minda di dalam dan di luar sedar.  Begitu juga halnya dengan mereka yang berjaya mencipta kejayaan luar biasa disebabkan pemikiran positif dan kekuatan semangat yang dimiliki.

Sebenarnya nukilan ku kali ini adalah peringatan serta nasihat ku kepada diri sendiri agar sentiasa bersangka baik dan berfikiran positif ketika menghadapi sesuatu kesukaran. Siapa lagi kalau bukan kita sendiri yang menyayangi diri kita sepenuh hati, bukan? InsyaAllah ambil semua yang baik-baik sebagai panduan melandasi kehidupan agar apa juga yang dilaksanakan berakhir dengan kebaikan. InsyaAllah.. 🌹



No comments: