Sunday, March 30, 2025

Serumpun vs Velocity

Hari terakhir persekolahan sebelum 9 hari cuti sempena Aidilfitri, sekitar sekolah dipenuhi vibe ceria dan wajah gembira. Usai perhimpunan pagi, warga Medini beratur, bersalaman dan bermaafan sempena menyambut kehadiran Syawal yang bakal tiba. Syahdu terasa tatkala mata saling bertatapan dan genggaman erat sepasang tangan menyambut salam penuh ketulusan. Terlerai rasa semua perasaan yang terpendam jauh di lubuk hati apabila segalanya dilepaskan dengan rasa redha dan ikhlas dari sanubari. Alhamdulillah..


Selesai, unit PSS memohon keizinan merakam video kenangan bersama untuk diabadikan sebagai memori kami bagi tahun 2025 ini. Lantunan lagu Serumpun yang melatari video kami memberi kesan yang sangat mendamaikan. Siap sahaja video, kami bergegas ke pejabat untuk menguruskan kutipan sumbangan mangsa banjir bagi diserahkan kepada mangsa dan MPSM JB. Sedang asyik mengira duit sumbangan bersama En Hairul, pasukan PSS menerjah pejabat memujuk kami merakam satu lagi video. Rasa lucu pun ada bila asyik dirakam dalam pelbagai aksi. Macam artis pulak rasanya 😂

Tatkala azan solat Jumaat berkumandang, aku didekati rakan-rakan sesi petang yang menjemput aku menyantuni anak-anak di Dewan Iskandar. Cemburu juga melihat adik-adik sedondon mengenakan busana tema merah jambu yang comel.. mujur juga warna baju purple yang ku pakai boleh masuk jugalah.. Sekali lagi aku melalui proses rakaman bermula dengan lagu Serumpun dan diakhiri dengan Velocity Trend. Aku layankan jelah adik-adik ni.. dikelilingi guru-guru muda, aku pun terpercik rasa muda kembali 😂 Semoga ukhuwah yang terbina terus berkekalan hingga ke hujung usia dan berakhir di syurga.. Aku sayang rakan-rakan ku kerana Allah Ta'ala.


No comments: