Pada tarikh yang sama hari ini, diam tak diam dah setahun aku diamanahkan menerajui SMK Medini, Iskandar Puteri sebagai Pengetua. Lafaz kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah swt kerana dengan izinNya jua aku dapat berkhidmat bersama pasukan Medini yang hebat dan berdedikasi. Bersama barisan SLT & MLT yang komited, keluarga SMed sentiasa mempersembahkan karya terbaik demi memacu kecemerlangan SMed bersama-sama. Kesepakatan dan kebersamaan warga Medini dalam menjayakan setiap program dan aktiviti sememangnya amat dipuji. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.. semua dilaksanakan sepakat dan seiring. Sesekali berselisih pendapat, itu memang lumrah dalam berorganisasi. Namun, keputusan akhir yang dicapai adalah untuk kebaikan warga secara keseluruhannya.
Jauh di sudut hati, rasa seronok bekerja yang Allah kurniakan ini amat ku syukuri. Sesungguhnya, Allah Maha Baik.. Aku sedar, bukan semua tonggak organisasi direzekikan bekerja bersama rakan sepasukan dengan harmoni. Itulah antara cabaran yang perlu ditangani tatkala memegang peranan utama sesebuah pasukan. Namun apabila aku berpeluang bekerja ibarat sebuah keluarga yang dipenuhi keceriaan, ia merupakan satu kebahagiaan yang tiada tandingan. Berbalah, berkecil hati.. itu biasa. Tapi bak kata adik-beradik SLT lah, 'benda boleh gaduh, buat apa nak berbincang..' kannn.. 🤣
Semoga ukhuwah ku dan seluruh ahli keluarga SMK Medini terus terjalin hingga ke syurga. Ya Allah, kurniakanlah kesihatan dan kesembuhan buatku agar aku dapat menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini sebaiknya. Anugerahkan kesejahteraan buat semua pegawai di KPM, JPN dan PPD serta rakan-rakan guru yang aku kasihi agar kami dapat terus berbakti dengan penuh semangat demi melahirkan generasi Malaysia yang berilmu & memberi manfaat. KepadaMu aku berserah. Aamiin ya Rabbal Alamin.. 🌹❤️
No comments:
Post a Comment