Friday, April 4, 2025

Selamat Datanggg

Saiyyidul Ayyam. Jumaat yang permai hadir lagi bertemankan rintik hujan pagi, menyuntik hening damai mengiringi Syawal yang mulia. Setelah bekerja kuat melayani tetamu yang ramai bertandang semalam, hari ini kami berpeluang menghela nafas panjang dan bermalasan di depan kaca televisyen yang selama ini diabaikan 😅 Aku merebut peluang yang ada menonton siaran HGTV kegemaran sambil menikmati baki cuti yang masih bersisa..

Syawal keempat, kami menerima kehadiran tetamu yang sangat ramai sejak pagi hingga ke tengah malam tadi. Bermula dengan rombongan keluarga Taufik & Najiah dari Batu Pahat bersama Shikin & Harith dari Kajang, Asyraf, Abu Dzar dengan keletah anak-anak kecil yang menghiburkan, kemeriahan Aidilfitri amat dirasai. Alhamdulillah, sempat kami menjamu mereka makan tengahari di sini. Seronok berjumpa, bertukar cerita bersama sepupu-sepupu yang aku rindui. 

Kehadiran sepupu arwah abah, Wak Teh bersama rombongan besar ahli keluarganya menyusul selepas itu. Teruja rasanya menyantuni kunjungan keluarga Abang Nicky dari Kuala Lumpur bersama isterinya Kak Fauziah dan anak-anak mereka yang meningkat dewasa ~ Arif, Afiqah & Aqil yang dah lama tak ku temui. Tambah ceria, mereka turut disertai pasangan Mamat dan Julia serta keluarga Asri bersama anak-anak yang meningkat remaja. Riuh rendah rumahku dengan gelak ketawa dan gurau senda mereka. Berselera betul mereka menikmati rojak yang kami hidangkan sebagai minum petang sambil bersembang santai. Alangkah indahnya raya!

Menjelang malam, kami menyambut kehadiran enam buah kereta keluarga dari Parit Raja pula. Besar hati apabila Pak Ya, Mak Tumi disertai tujuh keluarga anak menantu serta cucu mereka sudi singgah berkunjung ke teratak kami ini. Tersentuh hati apabila hampir 30 orang tetamu itu mengalunkan marhaban sebelum diakhiri doa serta mendoakan kesembuhan buatku yang masih dalam fasa pemulihan. Riang rasa hati apabila mereka semua berselera menikmati makan malam yang disediakan dengan penuh kasih sayang 😍 Menjelang tengah malam, mereka bergerak pulang dengan hati girang dan perut kenyang 😂 Syukur, alhamdulillah...

Alhamdulillah, terima kasih ya Allah kerana mengizinkan kami menerima kehadiran tetamu dari jauh pada Syawal kali ini. Meskipun aku tak berupaya menjengah dan menziarahi kaum keluarga dan sahabat taulan sebagaimana kelaziman, Engkau gerakkan hati mereka semua untuk menziarahi aku di sini. Ya Allah, terima kasih atas kurniaanMu buat diriku, hambaMu yang serba kekurangan ini. Sesungguhnya hanya kepadaMu aku memohon perlindungan dan kepadaMu sahaja aku serahkan ketentuan kehidupanku. Allahumma Aamiin ya Rabbal 'Alamin.. 


No comments: