Tuesday, June 25, 2024

Hujan Di Hati

Rasanya hari ini hatiku rapuh sekali. Kepiluan yang hadir bertandang sedari pagi sejauh mungkin cuba aku jarakkan. Hari ini, 25 Jun tarikh bersejarah yang takkan pernah aku lupakan. 14 tahun lalu, pada tarikh inilah arwah abah menghembuskan nafas terakhir meninggalkan kami selama-lamanya. Pergi yang takkan kembali.. Kekentalan perasaan yang cuba aku pertahankan tewas juga akhirnya. 

Kerinduan ku pada abah, ditambah dengan tekanan kerja yang aku hadapi menipiskan keteguhan emosi ku petang tadi. Berdepan suasana yang mencabar keegoan, benar- benar menguji kesabaran seorang Zahizan. Lontaran lisan yang memedihkan di samping kalimah berbisa yang terzahir daripada rakan sekerja yang aku hormati benar-benar merobek kedamaian hati. Luka yang ditinggalkan amat dalam, menebal lantas menerobos gawang ketenangan. Sakitnya serasa tidak tertanggung dek akal, mengasak fikiran, berkecamuk tak dapat dihadam amarah tak tersangkal.

Di saat berdepan mehnah getir itulah, Allah hadirkan seorang sahabat mengajak aku berdamai dengan takdir, berhemah dalam mentafsir. Terima kasih sahabat.. keranamu ku hapus air mata yang menitis, ku ukir kan senyum meski hati masih terguris. Alhamdulillah terima kasih Allah menghadirkan sahabat yang baik budi.. Peliharalah sahabatku wahai Tuhan, kurniakan sahabatku kedamaian dan kebahagiaan dalam kehidupan. Semoga aku terus mampu tersenyum mendepani jerih peritnya kehidupan. Al-Fatihah buat abah, sahabat terbaik ku, Allahyarham Haji Hasrin bin Anas 🥺
#SenyumTakPerluKataApa2



Monday, June 24, 2024

Jalan Cari Makan

Di celah-celah kesibukan melayani pelbagai urusan mentadbir dan mengurus sekolah, hari ni aku merasa amat gembira asbab berkesempatan membawa majoriti ahli team pengurusan Medini berjalan 'jauh' menikmati juadah makan tengahari di Restoran Asam Pedas Kg Sungai Melayu yang tersohor. Lokasinya yang agak tersembunyi membakar keterujaan kami untuk ke sana apatah lagi apabila mengetahui inilah kali pertama kebanyakan sahabatku menjejakkan kaki di situ.



Perjalanan penuh liku dipenuhi dengan tawa ceria. Kami ke sana menaiki dua buah kereta dipandu oleh En Hairulnizam PK HEM manakala aku memandu kereta ku sendiri. Misi menjelajah tempat makan baru kami mulakan sebaik selesai mesyuarat pengurusan. Seronok juga sesekali melepaskan tekanan keluar dari kawasan sekolah bersama rakan-rakan sederap sehaluan.


Kebetulan pula hari ni merupakan ulangtahun kelahiran PK Pentadbiran, Puan Hjh Norhazizah yang baik budi. Hidangan asam pedas ikan sembilang dan ikan merah menjadi juadah memecah selera. Apatah lagi sambil menikmati keindahan alam di tepi sungai. Aku yang selalunya kehilangan selera berjaya menghabiskan nasi di pinggan! Satu kejayaan.. 🤣 mungkin makan berjemaah membantu menaikkan selera ku yang selalu tidak keruan. Alhamdulillah, terima kasih rakan2 atas keberaamaan. Nanti kita plan makan di tempat lain pulak ya! 




Sunday, June 23, 2024

Solely Mine!


Mencurah rasa dalam bicara tanpa suara, padaku adalah satu terapi yang mendamaikan. Mencoret kata dan merakam memori melalui tulisan adalah cara aku melepaskan tekanan yang terpendam. Nukilan hati yang aku garap dalam pelbagai medium media sosial adalah satu cara aku 'bounce back' dari situasi yang adakalanya merengsakan jiwa. Meski aku seorang guru Bahasa Inggeris, cintaku kepada bahasa Melayu tak pernah sedikit pun terhakis. Semenjak zaman persekolahan dulu, keterujaan tatkala mata pena berlari di atas kertas, tertanam dalam diam.

Namun, dek kerana kekangan masa, adakalanya hanya gambar ku utus sebagai penglipurlara. Acapkali aku berkongsi peristiwa menerusi aplikasi Facebook atau Instagram. Sesekali aku cuba juga berkongsi beberapa video menggunakan Tik Tok, itupun boleh dibilang dengan jari. Mengabadikan memori dalam dunia maya, membantu aku mengimbau kenangan yang terpahat dikala rasa rindu tiba-tiba menghambat..

Namun, yang kurang seronoknya ialah bila ada sahaja insan suka menempel cerita yang tidak berkaitan di situ. Ceritanya pula berkisar pencapaian diri yang langsung tiada pertalian dengan hidupku ini. Letih memujuk hati, pantas saja jemari ini membuang tag yang ditampal tanpa permisi asbab laman media ku memang bersifat peribadi. Kalau terasa nak promosi diri, buka dan gunakanlah akaun sendiri.. 🤣 Rimaslah!

Friday, June 21, 2024

Asah Pisau, Simpan Kuku

Kecewa.. sejujurnya itulah yang aku rasa semalam. Mengikut rapat pesan arwah abah, kita wajib menghormati semua manusia tanpa mengira siapa dan bagaimana latar hidup mereka. Bersikap baik dan menjaga adab susila dengan sesiapa jua amat dituntut dalam agama hatta tatkala berdepan dengan mereka yang kurang kita senangi sekalipun. Kata abah, walau setinggi manapun kita terbang, rumput di bumi jangan sesekali kita lupakan. Berpaksikan kata-kata abah, seboleh mungkin aku cuba menyantuni sesiapa sahaja yang aku temui tanpa prejudis dan prasangka. Wajarnya, kita layanlah sesiapa sahaja dengan baik, sebagaimana kita juga mahu diladeni.

Apa yang amat aku kesalkan semalam ialah bila aku bertemu dengan insan yang berkedudukan dan berpendidikan tinggi namun bersikap skeptikal kepada manusia lain yang kononnya tidak berada pada 'aras' kedudukan sosial yang sama dek kerana jurang pendidikan dan pekerjaan. Pada aku, alasan cliche ini amat dangkal kerana zaman memandang rendah kepada kelompok yang tidak memiliki sekeping pengiktirafan di atas kertas sudah jauh ketinggalan di belakang. Hakikatnya, semua manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan yang Allah rezekikan. Sikap suka mencari kesilapan orang lain, sepatutnya dipadam agar tidak menjadi sekam yang membakar dalam diam.

Aku hanya mampu jadi pemerhati dalam banyak situasi. Sampai satu masa, aku pasti akan bersuara. Rasanya masih belum sampai ke pengetahuan khalayak, aku ini bersuara lantang, almaklumlah bekas pendebat kebangsaan! 🤣🤣Buat masa ini, semua aku jadikan sempadan buat panduan di masa hadapan. Zahizan.. sabarrrr! Masanya akan tiba. Sekarang, tarik nafas dalam-dalam & duduk diam-diam 😅

Thursday, June 20, 2024

Di Akhir Garisan

Alhamdulillah, hari ini kami direzekikan menyantuni majlis perpisahan guru2 pelatih dari UTM yang menjalani latihan praktikum di Medini. Menariknya, mereka datang pada hari sama aku melapor diri iaitu pada 3 Mac 2024. Guru-guru praktikum ini banyak membantu melancarkan perjalanan program sekolah selain membantu kelas relief tatkala diperlukan. Buat adik-adikku, kalian memang terbaik. Semoga kalian semua berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang seterusnya berusaha menggalas amanah yang diberi dengan baik demi meneruskan legasi pendidikan untuk melahirkan generasi Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. We're going to miss all of you ❤️🥰




Wednesday, June 19, 2024

My Calico

Love has no boundaries for it has different connotations from one another. Since I was very young, my affection towards cats has never been decreased. Three years ago, I accidentally lost a cat, which was actually a birthday present for my dear daughter. After trying so hard searching high and low, I gave up. The cat (named Cookies) vanished in the nick of time, behind the alley. 

Feeling defeated and exhausted, I made a quick plan! The main idea was not to disappoint my precious by telling Ain what really happened to her Cookies. So, without hesitation I took a random cat from the alley just to make her day. As predicted, Ain was quite astonished and excited on how the cat magically turned her colour ~ from two to three colours! Oh my🤣! Since then, we keep the Calico with us as one of our dearest family members. And guess what did Ain call her..? KUCING. What a name! Yes she named the new feline, Kucing, and that's her name ever since 😂 We love you so much, Kucing ❤️🥰


Esensi Bahagia Seorang Aku

Benchmarking atau penandaarasan merupakan satu aktiviti yang mampu menjana idea baharu untuk menambah baik pengurusan sekolah. Hari ini aku menyertai lawatan benchmarking ke sebuah sekolah amanah Johor Bahru yang merupakan sekolah .showcase peringkat kebangsaan Lawatan ke SK Bandar Uda 2 yang cantik dan informatif menjentik keterujaan untuk aku praktikkan di SMK Medini. Idea kreatif para guru di samping kewibawaan Guru Besar, Ustaz Zamri bin Abd Wahab, yang sentiasa menyokong inovasi guru membuahkan hasil yang sememangnya menakjubkan. 

Menariknya, semasa asyik memotret beberapa sudut menarik untuk dibawa pulang sebagai inspirasi, terdengar suara halus memanggil namaku. "Madam Zahizan! Is that you..?" Wow.. sampai kat sini pun ada yang kenal ke.. 😂 Sebaik ku toleh, alangkah bahagianya bila aku melihat seraut wajah ayu tersenyum girang menyambut kehadiran kami. Salam bersambut dan gadis ayu itu ku rangkul mesra. Alangkah manisnya pertemuan itu..

Cikgu Zulaikha, guru muzik muda yang berbakat merupakan anak didik ku hampir sepuluh tahun dulu. Beliau merupakan seorang pendebat yang handal berhujah ketika aku menjadi jurulatih pasukan debat Bahasa Inggeris di Gelang Patah. Bangga dan bahagia melihat seorang anak didik menjadi rakan sejawat yang memiliki semangat membara. Alhamdulillah, semoga Allah memberkati kehidupan Cikgu Zulaikha dan mempermudah perjalanan kerjaya beliau. Pasti malam ini tidurku indah diulit mimpi bahagia.. terima kasih Allah!


Tuesday, June 18, 2024

Hijab Kekasih

Entah kenapa dua tiga hari ni bagai terngiang-ngiang bait-bait indah lirik dan melodi nukilan seniman M. Nasir yang lunak, di cuping telinga ini. Lirik sarat dengan maksud tersirat yang mendalam diiringi lantunan suara memukau milik sang biduan pujaan,  seolah melontar aku jauh ke bumi asing yang sepi tidak berpenghuni. Syahdu dan sayu memagar hati setiap kali dendangan ini berlagu. Terkenang nostalgia menuntut ilmu di UM satu ketika dahulu. 

Lagu ini sering menemani dinihari ku tika insan lain lena beradu, di kala aku asyik bergelumang  mengulit buku. Irama indah mengiringi bait kata puitis dalam lagu ini acapkali berjaya membawa aku lari.. mengembara merentasi denai emosi yang kemarau, menelusuri jalan jerih penuh liku dengan hati pasrah penuh rindu. Dan hari ini, melodi ini bergema lagi, seakan cuba menyentuh kedamaian hati yang aku bajai dengan senyum tawa dan wajah ceria. Meski hati bersulam nestapa, aku benamkan semua sedalam-dalamnya.  Sampai bila akan begitu? Biarlah waktu menjadi penentu..

Monday, June 17, 2024

Tunai Tetap Kami Tunaikan!

Hari ini melakar sejarah dalam kehidupan ku sebagai seorang pendidik kerana pada tarikh ini, 22 tahun yang lalu aku memulakan langkah sebagai seorang GURU di SMK Munshi Abdullah, Kulai. Meskipun bermula dengan paksaan asbab ketidakrelaan mengikut kehendak arwah abah yang inginkan ku meneruskan legasi pendidikan keluarganya, kini aku akur bahawa pekerjaan inilah yang sangat membekas di hatiku. 

Menjadi guru membuatkan aku meletakkan kepentingan peribadi di belakang anak didik ku. Menjadi guru melatih aku menjadi seorang yang sabar dan lebih memahami. Menjadi guru mengajar aku kematangan dalam tindakan dan pemikiran. Benarlah.. banyak ilmu aku pelajari sebaik menjadi guru. Kini aku menggalas amanah menjadi pemimpin guru di sekolah. Kalau arwah abah masih ada, pasti aku dapat melihat manisnya senyuman kebanggaan terukir di wajah tampan abah. Terima kasih atas kepercayaan dan keyakinan abah kepada adik. Entah kenapa, sejak dulu abah memang yakin suatu hari aku akan menjadi Pengetua sekolah. Terima kasih abah 🥺

Buat rakan-rakan sepengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) TESL di MPIK, selamat ulangtahun perkhidmatan kita yang ke 22. Semoga dedikasi dan iltizam kita untuk melahirkan generasi yang cemerlang dapat diteruskan dan kita akan istiqomah menggalas tanggungjawab sebagai guru sebaik-baiknya. InsyaAllah..

Apa yang kami janji.. tunai tetap kami tunaikan!!



Indahnya Pengorbanan : AidilAdha

Peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.. dalam melaksanakan perintah Allah SWT memberikan pelbagai pengajaran yang sangat mendalam. Tatkala berdepan getirnya ujian kehidupan, manusia bereaksi dengan cara yang adakalanya tidak disangka dan di luar kawalan. Namun, keredhaan menerima ketentuan yang diberikan pasti menjanjikan hikmah di luar jangkauan pemikiran. Walau bagaimana payah ujian melanda, belajarlah berdamai dengan takdir yang tertulis. La Tahzan.. because every cloud has silver lining.. Salam Aidil Adha buat semua 🌹


Sunday, June 16, 2024

Rindu Bertamu

Hari ini, sendu membelah keheningan dinihari.. Kesayuan tiba-tiba hadir memagut tangkai hati. Kenangan bersama abang bertali arus melintas di depan mata satu demi satu. Rindu? Tak pernah hilang dari radar kalbu. Tatkala rindu menjengah jendela hati, Al-Fatihah ku kirim buat kekasih yang dicintai. Benarlah, rasa rindu yang tak bertepi adalah kesakitan paling sukar didepani. Semoga damailah abang di alam sana. Kami sentiasa merinduimu sayangku.. dan air mata pun mengalir laju..



Saturday, June 15, 2024

Bulat Air Kerana Pembetung..

Semenjak menggalas amanah sebagai kepala sekolah, pelbagai isu dan masalah menjadi rutin yang perlu aku depani. Satu per satu cuba aku rungkai dan atasi dengan hemah dan hikmah. Tapi dah nama pun manusia.. ada masa aku hanyut juga dibuai rasa. Marah, kesal, geram terkadang bergaul sebati namun aku bersyukur benteng kesabaran masih teguh dari runtuh dibadai ombak kemarahan. Seboleh mungkin aku tenangkan hati dan damaikan perasaan kerana sebagai ketua aku menjadi tauladan kepada subordinat di bawahku.

Beberapa menjak kebelakangan ini, aku perhatikan ada sahaja isu yang berbau perkauman cuba dicetus menguji kekuatan pendirian. Mungkin pada mata zahir ia hanya isu pinggiran, hakikatnya ia tetap mendera ketenangan hati. Ada masa, tindak tanduk mereka yang seakan lebih sudu dari kuah mencarik kesabaran.. Syukur kesepakatan bersama angkatan SLT Medini, memberi kekuatan untuk kami berdepan tenang tatkala berjuang dengan pihak lawan yang menjengkelkan. 

Rasanya ucapan terima kasih yang dinukilkan tidak mampu mengungkapkan penghargaan ku kepada sahabat2 yang ku kasihi. Semoga Allah memberkati kehidupan kalian dan mempermudah segala urusan di mana jua kalian berada. Terima kasih sayang  buat orang kuat kanan kiri, depan & belakang ~ Pn Hajah Hazizah, Encik Hairulnizam, Puan Saliza & Puan Ruhaizun yang tegap teguh berdiri di sisi tatkala ujian melanda diri. Sayang kalian ketat2! ❤️




Friday, May 31, 2024

Leading the Leaders

Mengepalai sebuah organisasi bernama SEKOLAH memang tidak mudah. Memanusiakan manusia yang bijak pandai semuanya memberi cabaran tersendiri apatah lagi bagi pengurus sekolah yang masih hijau seperti diri ini. 

Namun aku bertuah dikelilingi dan dibantu oleh rakan2 SLT dan MLT yang hebat ~ bukan sekadar ilmu akademik dan pengurusan, bahkan juga aspek kemanusiaan. Istimewanya, mereka tidak pernah lokek memberi pandangan dan sokongan serta berkongsi pengalaman. Terima kasih rakan2 Pentadbir SMK Medini yang sentiasa bersama sederap sehaluan melangkah ke destinasi yang sama demi membentuk kejayaan warga. 

Sehati dan sejiwa (atau sejawa 🤔) semoga kita terus bersama bergandingan membina kejelekitan sebagai sebuah keluarga besar yang gemilang, melestarikan generasi Malaysia yang cemerlang dan terbilang! Ayuh, mulai!!!



Marilah Menuju Kejayaan

3 Mac 2024 melakar satu sejarah dalam perjalanan perkhidmatanku sebagai seorang pendidik. Inilah harinya aku menerima surat Arahan Perkhidmatan (AP) selaku peneraju SMK Medini.. jawatan yang amat aku geruni ~ Pengetua. Tatkala menghadiri majlis penyerahan AP di JPN Johor, aku dihantui pelbagai perasaan. Malam itu, tidurku tak lena.. hampir aku tak tidur kerana kegelisahan yang melanda hati seolah tidak bertepi.

Usai majlis penerimaan, perasaan masih di awangan. Terasa bagai mimpi meskipun aku dah boleh agak di mana aku bakal ditempatkan. Kembali ke sekolah amanah sememangnya amat menggentar dan menggusarkan. Apapun situasi yang dihadapi, sedaya mungkin aku cuba pamerkan senyuman, paparkan keyakinan dan terus menghayun langkah bak pendekar meski hati ini hebat berdebar.. Rabbi Yassir Walatu'assir.. 

Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu, damaikanlah hatiku.. jauhkan aku daripada perasaan sombong angkuh dan besar diri.. semoga aku mampu menjadi ketua yang dapat melaksanakan amanahMu dengan yakin dan memacu kecemerlangan sekolah yang bakal ku pimpin. Aamiin ya Rabbal 'alamin.. KepadaMu aku berserah..



Atur Langkah.. Mulai!!

Lama betul semenjak kali terakhir aku menitipkan kenangan di blog ini. Banyak momen pahit manis dilalui dengan penuh kesyukuran kepadaNya. Berada dalam lingkungan keluarga SMK Tasek Utara memberi pelbagai dimensi dalam membentuk keupayaan diri memimpin sebuah organisasi.


Suka tidak suka, mahu tidak mahu aku akur melaksanakan amanah yang tergalas di pundak. Seronoknya dikelilingi insan-insan hebat di Tasek memang tidak aku nafikan. Komitmen yang diberi menyuntik semangat untuk aku kembali berkhidmat demi anak bangsa. Tanggung jawab yang diberi, cuba aku jayakan semampunya. Syukur ke hadrat Ilahi, di sini aku mengenal potensi diri. Walaupun ada masa kesabaran bagai tercabar, aku terus melangkah tenang dan sabar. Mungkin dek kerana usia mula menginjak, mungkin kerana pengalaman mengajar.. mungkin. 


Dikurniakan mentor yang sangat memahami dan penuh toleransi, aku anggap suatu rezeki yang wajib aku syukuri. Alhamdulillah.. terima kasih sayang kepada bos, ketua, sahabat, rakan, kakak dan saudaraku Puan Hjh Norazlinda kerana menjadi suri tauladan yang amat aku banggakan. Semoga Allah meluaskan rezeki dan memberi kesihatan yang baik serta kebahagiaan kehidupan dunia dan akhirat buatmu.. saya sayang Puan kerana Allah Taala ❤️