Friday, October 18, 2024

Ustaz Muhammad

Dalam pada sibuk membelek gambar dan mengimbau kenangan di Tanah Suci, aku terpandang satu lukisan yang dinukilkan Ain semasa kami berada di Lapangan Terbang Madinah tatkala berangkat pulang ke tanahair. Sepanjang berkelana di bumi Saudi, Ain meneruskan rutinnya melukis menggunakan telefon bimbitnya. Tanpa aku sangka, rupanya gerak geri Ain sering menjadi perhatian mutawif yang mengiringi kembara kami, termasuklah Tuan Haji Muhammad Fadilah. 

Sebaik menyedari bakat melukis Ain, Ustaz Muhammad meminta Ain melukis gambarnya sebagai kenangan. Di luar jangkaan ku, jemari Ain terus lincah menari di papan skrin merakam gambar mutawif yang mudah mesra itu. Hasilnya agak menarik dan berjaya menyentuh hati Ustaz Muhammad. Alhamdulillah, terima kasih Ustaz Muhammad kerana setia bersama kami, para jemaah umrah sehingga ke detik akhir kembara kami. Doaku, semoga ustaz dan rakan-rakan Mutawif serta Mutawwifah sihat selalu demi meneruskan khidmat bakti mengiringi para jemaah ke Tanah Suci. Aamiin..


No comments: