Friday, July 5, 2024

Belasungkawa Cikgu Adie..

Jumaat yang hening.. sebaik tersedar dari lena aku menjeling jam di dinding. Awal lagi, belum pun 4 pagi. Terkebil-kebil aku cuba pejam semula agar terlena kerana malam tadi bersengkang mata hingga lewat malam demi melunaskan tuntutan tugas yang datang secara tiba-tiba. Bingkas aku duduk di birai katil berdoa dan berzikir lantaran keuzuran bertahajud. Lama aku berteleku di situ. Wajah dan figura uzur Ckg Adie yang ku ziarahi petang semalam bertimbal-balik tanpa diminta.

Semalam, aku direzekikan berkesempatan menziarahi Ckg Adie yang terlantar akibat kanser usus yang mengganas. Bersama mantan Pengetua Tasek, Puan Hjh Norazlinda Mohd Salleh, kami meredah kesibukan lalu lintas menuju kediaman keluarga Ckg Adie di Larkin, JB. Sungguh tak terjangkau di benakku, begitu rapuh dan berubah fizikal adindaku itu. Menitis air mata melihat seraut wajah yang dahulunya sentiasa manis mengukir senyuman, terlantar kaku tanpa upaya. Allah! Berat sungguh ujianmu, dik.

Tidak berlama-lama, kami mohon permisi pulang. Ketika itulah satu-satunya puteri Ckg Adie, Alfatunnisa memaut kakiku meminta dibawa bersama. Wajah manja anak kecil berusia 2 tahun 5 bulan itu aku tatap dengan mata berkaca. Nak itut.. nak itut.. kalimah itu diulang berlagu mendayu. Tak sampai rasa hati menghampakan harapan Al, si kecil yang petah itu aku dukung dan ku bawa menuju ke kereta. Sebaik diizinkan ibunya, Al ku bawa mengelilingi kawasan perumahan yang damai dan permai. Kegirangan Al mengundang hujan lebat di tabir mata..

Hari ini, sebelum sempat masjid melaungkan panggilan menunaikan solat fardhu Jumaat, aku menerima khabar duka.. pemergian Ckg Adie di hari mulia ~ sayyidul ayyam atau penghulu segala hari. Adindaku kembali jua ke pangkuan Maha Pencipta. Innalillahi wainnailahi rojiuun.. DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Segera aku persiap diri, jenazah Cikgu Adie akan ku iringi. Selamat jalan ke negeri abadi wahai sahabat. Semoga di sana kita diizinkan bertemu kembali. Salam perpisahan di dunia sementara. InsyaAllah di dunia lain kita akan bersua.. 🥹😭


 

Salju KasihNya

Dingin dalam jiwaku
Disirami salju kasihMu
Ku susuri jalanMu walau ranjau berliku
CintaMu abadi untukku

Dalam saat merindu
Takafurku di hadapanMu
Deraian air mata gugur dalam sujudku
Betapa agungnya cintaMu

Gelora jiwa tak bisa terpadam
Namun harapan menggunung di hati
Gelora kasih tak mungkin terluput
Kerna hatiku merantau jauh
Ingin bertemu denganMu oh kasih

Rindu mencengkam jiwa
Sebak rasa tiada tertahan 
Hanya padaMu Tuhan ku serah diri ini
Pohon cintaMu yang suci hakiki

Thursday, July 4, 2024

Countless Blessings!

Since the very beginning of my service 22 years ago, I was blessed by abundance of extraordinary opportunities in which I guess may not be experienced by many. Starting off my career as a civil servant, I was actually forced by Abah to carry on his family's heritage of being educators. A bit rebellious at first ~ since I dreamt to be a lawyer, I finally obeyed Abah's wish. Well,  as compatible to my name IZAN which means obedient (taat), I finally listened to his urge.. huhu.. Although Kak Gee, my eldest sister had passionately and willingly become a teacher, Abah kept on persuading, encouraging and forcing me to become one too. In Abah's eyes, I could make a good discipline teacher. Sigh!! 😞 Why? I bet, because of my traits and character that made Abah to possess the vision. I don't know!

It could still vividly recall, Abah grinned his sweet smile and moved his excited gesture, the day I accepted the offer to attend the teachers training program in MPIK KL. I enrolled hesitantly, bringing Abah's high hope for me to educate the future kids of Malaysia and serve the country as he did for his whole life! Ever since I was posted, I had overcome so many hinders and obstacles in educating people. Alhamdulillah, I think I did quite well and scored quite good too! 😂

Now, I myself become a school leader. I  hope that after all the things I've gone through along my journey in this unsung career path, I had grown mature and responsible to guide people better. Through thick and thin, laughter and cry, ups and downs in life, there are always a lot of new experience to embrace. Depth understanding upon others and connecting the dots within myself too, those has taught me that we need to live life and love at the fullest. 

I honour people surround me ~ especially my family members, dear colleagues and acquaintances and celebrate those who I just meet in order to spread love and stop hatred. Life is too short to be wasted. Let's do the best we can do for the sake of our future endeavours! Do not jeopardize ourself into something that is ambiguous and uncertain  Cheers mate!!

Wednesday, July 3, 2024

Cikgu Adie

Cikgu Hafizuddin bin Hussin atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Adie dalam kalangan rakan-rakan, merupakan seorang guru berdedikasi yang sentiasa ceria. Seorang idealis, beliau seorang yang kreatif dan komited melaksanakan amanah, sesuai dengan title Guru Cemerlang yang disandang. Sebagai seorang guru Bahasa Melayu, Cikgu Adie petah berpantun dan hebat berpidato.

Masih jelas terbayang di tabir mata, hari pertama beliau melapor diri dari SMK Pekan Nanas ke SMK Tasek Utara dua tahun lalu. Guru yang kaya dengan senyuman dan sopan bermadah seloka ini, sering menjadi idola anak2 Tasek khasnya mereka yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Dipilih sebagai Pengerusi KEBIRUS, beliau cekap menyusun aktiviti guru penuh teliti. 

Jun 2023, tiba-tiba kami dikejutkan dengan perkhabaran duka. Cikgu Adie didiagnos dengan kanser usus tahap 3 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk melalui sesi pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Bermula detik itu, beliau cuti sakit sehinggalah mutakhir ini diberitakan berada dalam keadaan semakin uzur dan lemah. Sesi kemoterapi beliau juga tidak lagi menunjukkan kemajuan. Perit sungguh untuk kami hadamkan kesedihan tatkala mendengar khabar penuh kedukaan. 

Cikgu Adie, semoga dikau terus kuat mendepani ujian getir kehidupan. Ya Allah, angkatlah kesakitan Adindaku.. permudahkan untuknya segala urusan dan berikanlah kekuatan baginya menghadapi segala ujianMu. Adikku.. teruslah berjuang.. doa kami takkan putus dan akan terus mengalir ikhlas buatmu 🥺

Tuesday, July 2, 2024

Cinta Sekilas Pandang

Teruja! Sesungguhnya itulah perasaan ku sejak tirai hari ini disingkap. Hari ini buat kali pertama aku akan menatap wajah anak2 tingkatan 4 Sinergi sebagai watak utama meneraju mata pelajaran Bahasa Inggeris. Apa tidaknya, selepas lebih 2 tahun meninggalkan alam menengah atas, aku kembali menemui anak2 adolescents yang sedang lincah meniti alam remaja.


Sebaik waktu rehat berakhir, aku pantas melangkah ke kelas. Anak2 yang masih berpapasan di koridor menegurku dengan ucapan hormat, memberikan kedamaian hati yang tidak terluah oleh kata-kata. Sekilas, terjentik di hati, alangkah bertuah aku ditempatkan di sini.. dikurniakan anak2 yang baik lagi cerdik yang mampu memberi impak besar kepada kemenjadian sekolah amanah.

Memandangkan kali pertama bersua, sesi taaruf diawal sesi agak janggal. Almaklum saja.. pengetua yang menjadi guru mereka. Ku santuni anak2 untuk menarik mereka berbicara dan alhamdulillah, sekejapan sahaja suasana bertukar ceria. Pelbagai soalan diajukan tatkala sesi Q&A dibuka, semua ku jawab dgn bersahaja. Ku biar mereka melihatku dari sisi berbeza. Terasa pantas masa berlari.. diam tak diam tamat sudah sesi pertama kami hari ini

Sebelum menutup pertemuan, ku minta anak2 berkongsi hasil penulisan. Seronnok sungguh aku.. mereka mampu menghasilkan esei yang indah dan matang walau masa terhad menjadi penghalang. Syabas anak2 yang sudi mempersembah hasil penulisan yang sememangnya memukau. Diksi dan leksikal yang mantap mewarnai esei ringkas yang ditulis dalam masa yang singkat. Tahniah buat semua anak 4 Sinergi! InsyaAllah esok kita bersua lagi! Sesungguhnya aku terjatuh cinta dengan anak2 ini! 

Monday, July 1, 2024

Menghalau Galau

Semenjak dua menjak ni, perasaanku mudah benar terusik. Mudah betul terasa hati.. rasa macam mudah sangat merajuk walau jauh di sudut hati ini tahu, takde sape layan atau nak tolong pujuk 🤣 Agaknya, seiring bertambahnya usia, emosi ku pun turut turun naik macam roller coaster.. adoiii.. dulu susah juga nak tengok aku marah atau merajuk. Apa jadi pun aku maintain senyum je tapi kini tidak lagi.. sekali terguris hati, sanggup aku tak bersuara sehari! 😂

Bermuhasabah tentang rutin yang aku lalui, mungkin dah tiba masanya aku berbicara dalam hati. Suka duka, senyum ketawa, hanya sebagai halwa penyedap santapan jiwa. Aku cuba kekal bertenang kerana aku tahu Allah, adalah sebaik-baik perancang. Aku akan cuba terus berdamai dengan takdir sehingga ke garis hidupku yang terakhir. Biar senyum manis ku dulu terasa tawar, jangan bibirku berbicara hambar.. Ya Allah, bantulah aku menongkat kebenaran, menongkah arus bicara keangkuhan. Tak mahu aku hidup jiwa derita, sehingga akhir nafasku hela.. Biarkan aku terus berbicara tanpa suara.. 🥹

Kembara Diteruskan

 28 Jun 2024 : Hari terakhir bermusafir menggali ilmu di Pulau Mutiara. Usai bersarapan, kami meneruskan sesi kembara ilmu ke SMK Bukit Jambul pula. 

Ketibaan kami dalam hujan lebat disambut mesra oleh Pengetua Cemerlang Puan Zaharah bt Abdullah dan warga sekolah. Delegasi kami diarak dengan paluan kompang, disajikan pula tarian selamat datang serta dihidangkan ucapan indah mengalu-alukan kehadiran. Kebetulan kunjungan kami tiba serentak dgn rombongan dari SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. 

Selesai sesi lawatan, kami bergegas pulang ke hotel untuk mendaftar keluar sebelum menuju ke Pasar Chowrasta. Ditemani terik cuaca, kami menikmati makan tengah hari ringkas selain mencuci mata (dan poket) masing2 🫢

Selesai, kami terus dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Di sana kami menikmati makan lewat petang ~ nasi kandaq Line Clear yang enak. Penerbangan pulang jam 9.40 malam mengakhiri kembara kali ini.

Sepanjang di sana, 20 orang delegasi MPSM dibawa menaiki dua buah kereta sewa yang sangat selesa. Pemanduan berhemah rakan2 pengetua yang sabar membawa kami ke pelbagai destinasi ~ Tuan Mohd Khairul Amin bersama co-pilot Tuan Roslee Jarkasi (kumpulan kami) mmg wajar dipuji. Terima kasih daun keladi.. Terima kasih MPSM JB 🌹❤️