Wednesday, July 3, 2024

Cikgu Adie

Cikgu Hafizuddin bin Hussin atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Adie dalam kalangan rakan-rakan, merupakan seorang guru berdedikasi yang sentiasa ceria. Seorang idealis, beliau seorang yang kreatif dan komited melaksanakan amanah, sesuai dengan title Guru Cemerlang yang disandang. Sebagai seorang guru Bahasa Melayu, Cikgu Adie petah berpantun dan hebat berpidato.

Masih jelas terbayang di tabir mata, hari pertama beliau melapor diri dari SMK Pekan Nanas ke SMK Tasek Utara dua tahun lalu. Guru yang kaya dengan senyuman dan sopan bermadah seloka ini, sering menjadi idola anak2 Tasek khasnya mereka yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Dipilih sebagai Pengerusi KEBIRUS, beliau cekap menyusun aktiviti guru penuh teliti. 

Jun 2023, tiba-tiba kami dikejutkan dengan perkhabaran duka. Cikgu Adie didiagnos dengan kanser usus tahap 3 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk melalui sesi pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Bermula detik itu, beliau cuti sakit sehinggalah mutakhir ini diberitakan berada dalam keadaan semakin uzur dan lemah. Sesi kemoterapi beliau juga tidak lagi menunjukkan kemajuan. Perit sungguh untuk kami hadamkan kesedihan tatkala mendengar khabar penuh kedukaan. 

Cikgu Adie, semoga dikau terus kuat mendepani ujian getir kehidupan. Ya Allah, angkatlah kesakitan Adindaku.. permudahkan untuknya segala urusan dan berikanlah kekuatan baginya menghadapi segala ujianMu. Adikku.. teruslah berjuang.. doa kami takkan putus dan akan terus mengalir ikhlas buatmu 🥺

No comments: