Alhamdulillah.. sekian lama aku menyepikan diri hari ini terdetik pula di hati untuk menulis semula. Ya, lebih 7 tahun jemari ini tidak berlari di atas papan kekunci. Bukan bermakna 'passion' menulis telah mati.. bukan idea telah basi.. bukan.. bukan.. cuma kesempatan yang tiada. Masa seolah terlalu mencemburui. Himpunan tugas yang baru digalas dengan persekitaran yang baharu memerlukan tumpuan yang bukan sedikit. Banyak benar perubahan berlaku dalam hidup sepanjang perjalanan hidup yang harus ku hadapi dengan sabar dan redha.
Pemergian sang kekasih hati memberikan kesan yang bukan kepalang dalam ranjau hidup yang aku lalui. Meski reda dan pasrah kepada ketentuannya, jauh di sudut hati, ia bagaikan satu mimpi yang tidak pernah aku bayangkan. Pulangnya suami yang aku cintai, tidak pernah aku ratapi. Sedih, pilu, hiba.. buat seketika mendominasi ruang hati yang kosong tak berpenghuni. Tapi sebaik aku sedar dari lena, bingkas aku bangkit demi sang puteri yang mendambakan belaian kasih sayangku. Zahin Syaqireen memberikan aku kekuatan luar biasa, menyedarkan aku dari nestapa dan menjadi ubat hati yang luka. Alangkah sukar sebenarnya untuk senyum tawa di hadapan rakan taulan dan bersikap selamba seolah tiada apa, sedang di hati lain bicaranya..
Jutaan syukur ku rafakkan kepada Allah swt Yang Maha Mendengar dan Mengetahui kerana meminjamkan kepadaku sang suami yang baik pekerti, Allahyarham Shamsul Kamal bin Jamaludin. Seolah masih baru perkenalan kami, abang pergi dijemput Ilahi pada 10 Julai 2019 meninggalkan semua memori manis di hati ini. Inshaa Allah, andai diizinkanNya kita akan berjumpa semula di alam sana.. Entah kenapa hari ni syahdu memagut hati, mungkinkah kerana renyai di luar jendela ini yang terus menerus turun tiada henti? Buat yang membaca dan mengenali diriku, mohon doa kalian agar diberikan kedamaian dalam kehidupan dan semoga kebaikan mengiringi kehidupan kita semua. Abang, Izan rindu...