Sunday, December 19, 2021

Sahabat Medini, Keluarga Madani

 26 Disember 2019 merupakan detik mula aku melangkah ke SMK Medini sebagai GKMP Bahasa. Masih jelas di minda, pertukaran kerana naik pangkat dari SMK Gelang Patah tersebut ku sambut dengan deraian air mata kerana keadaan arwah Abang Sham yang kritikal pada ketika itu. Ketika berkhidmat di sinilah, suamiku pulang kepada Yang Maha Pencipta. Rakan-rakan di Medini banyak mendorong dan membantu memulihkan diriku untuk bangkit dengan kekuatan yang masih bersisa. Setelah 2 tahun 7 bulan sama-sama menelusuri rutin di Medini, tiba-tiba aku menerima amanah baru yang perlu digalas di SMKTU sebagai Penolong Kanan Pentadbiran (PK1). Agak mengejutkan sebenarnya.. apatah lagi arahan pertukaran diterima ketika pandemik melanda. 3 Ogos 2021 aku melapor diri di Tasek dengan perasaan yang bercampur baur. Alhamdulillah, sehingga kini semua urusan dipermudahkan. Bersama pengetua dinamik dan sangat berdedikasi, Puan Hjh Noor Azlinda Mohd Salleh, aku banyak belajar hal ehwal pentadbiran. Syukur Allah permudah urusan kami..


4 Disember 2021, aku menyantuni undangan KEBIRUS ke jamuan akhir tahun di Grand Blue Wave Hotel, Johor Bahru. Mulanya memang aku segan nak menyertai sebab dah lama meninggalkan Medini, tapi Kak Mai memang hebat.. Kak Mai minta aku tumpangkan ke lokasi majlis sebab malas memandu, jadi nak tak nak terpaksalah aku pergi juga.. Kak Mai, Kak Mai.. sahabat ku yang seorang ni memang terbaik! Syukur aku hadir ke majlis tersebut.. dapat melepaskan rindu dan bersua dengan rakan2 Medini yang lebih dekat di hati sebagai sebuah keluarga besar bagiku. Adik-adik.. sahabat2 bidang Bahasa memang happening dan takkan lupakan gelagat mereka. Liz, Yana, Wani, Teha, Helmi, Fik, Ikram, Shanthi, Aishah.. I will miss all of you dearly. Adik2 tiri (sebab lain bidang hahahaha) Azlida, Harmuni, Rushima, Nafis, Maria.. juga seniors yang baik budi Kak Maimunah, Zarinah, Kak Norizah, Kak Mazni, Kak Syahrul, Puan Zaharah, Puan Haniza dan rakan sebaya Dr Eow Yee Leng serta teristimewa mentor yang kaya ilmu Puan Marsitah Mohd Noor.. Insya Allah, semoga kita berjumpa lagi nanti.

   
    

 





Riang Ria di Lotus Desaru Resort & Spa

Cuti sekolah kembali lagiii.. alhamdulillah cuti kali ini Allah hadirkan kesempatan kepada kami untuk ke Lotus - destinasi yang dah lama nak dituju tetapi asbab virus Corona yang mengganas terpaksa beberapa kali ditangguhkan. Bersama-sama kekandaku Ziela dan Abg Rafi, abg ipar yang baik hati, kami menghabiskan 3 hari 2 malam di sana. 


 



Keriangan Ain terpancar di wajahnya tatkala kereta dipandu masuk ke kawasan Lotus Desaru Resort. Seni bina hotel  bak 'istana' amat mempesona.. Bertepuk tangan Ain apabila kami melangkah kaki ke bilik hotel yang bersih dan  cantik. Tambah riang anakanda ku nan seorang itu tatkala acara 'main air' bermula. Dikelilingi sepupu-sepupunya yang girang dan setia meladeni, Ain seronok betul dilayan bak puteri. Mummy pun apa lagi, ikut sama mandi kolam melepaskan stress yang mencengkam. Mandi kolam, main slide di lazy river dan menantikan hamburan air di bawah 'tempurung kelapa' gergasi memang seronok sekali.. memandangkan kami ke sana pada hari bekerja, pengunjung pun tak seramai mana. Memang bestttt!!


Malam tu kami dinner di hotel secara buffet sebab malas nak keluar. Alhamdulillah sedap2 juga menunya. Ain suka sangat makan nuget ayam kat situ. Seronok tengok gelagat anak-anak berempat tu makan. Syukur Allah beri rezeki untuk ke sini.
Sayangnya masuk hari kedua, mataku mula memerah dan kepala berdenyut kesakitan. Syukur kepada Allah di atas tindakan pantas kakakku dan Abg Rafi yg terus membawaku mendapatkan rawatan di Klinik Adham, kesakitan beransur hilang menjelang hari ketiga percutian. Tapi oleh kerana mataku masih silau dan sukar memandu, Kak Lah tenang memandu pulang 'Sang Sado Merah' ku buat pertama kalinya. Sebelum ni jika dipelawa memandu mesti Kak Lah mengelak tapi kali ni dia tak boleh 'lari' lagi hihihi..

Terima kasih Kak Lah/ Mak Long atas pengalaman cuti istimewa kali ini. Insya Allah kalau ada rezeki kita ke lokasi yang lebih menarik ya.. ❤️❤️❤️

Monday, October 18, 2021

... dan jemari ini menari lagi

 Alhamdulillah.. sekian lama aku menyepikan diri hari ini terdetik pula di hati untuk menulis semula. Ya, lebih 7 tahun jemari ini tidak berlari di atas papan kekunci. Bukan bermakna 'passion' menulis telah mati.. bukan idea telah basi.. bukan.. bukan.. cuma kesempatan yang tiada. Masa seolah terlalu mencemburui. Himpunan tugas yang baru digalas dengan persekitaran yang baharu memerlukan tumpuan yang bukan sedikit. Banyak benar perubahan berlaku dalam hidup sepanjang perjalanan hidup yang harus ku hadapi dengan sabar dan redha.


 
Pemergian sang kekasih hati memberikan kesan yang bukan kepalang dalam ranjau hidup yang aku lalui. Meski reda dan pasrah kepada ketentuannya, jauh di sudut hati, ia bagaikan satu mimpi yang tidak pernah aku bayangkan. Pulangnya suami yang aku cintai, tidak pernah aku ratapi. Sedih, pilu, hiba.. buat seketika mendominasi ruang hati yang kosong tak berpenghuni. Tapi sebaik aku sedar dari lena, bingkas aku bangkit demi sang puteri yang mendambakan belaian kasih sayangku. Zahin Syaqireen memberikan aku kekuatan luar biasa, menyedarkan aku dari nestapa dan menjadi ubat hati yang luka. Alangkah sukar sebenarnya untuk senyum tawa di hadapan rakan taulan dan bersikap selamba seolah tiada apa, sedang di hati lain bicaranya.. 

  

Jutaan syukur ku rafakkan kepada Allah swt Yang Maha Mendengar dan Mengetahui kerana meminjamkan kepadaku sang suami yang baik pekerti, Allahyarham Shamsul Kamal bin Jamaludin. Seolah masih baru perkenalan kami, abang pergi dijemput Ilahi pada 10 Julai 2019 meninggalkan semua memori manis di hati ini. Inshaa Allah, andai diizinkanNya kita akan berjumpa semula di alam sana.. Entah kenapa hari ni syahdu memagut hati, mungkinkah kerana renyai di luar jendela ini yang terus menerus turun tiada henti? Buat yang membaca dan mengenali diriku, mohon doa kalian agar diberikan kedamaian dalam kehidupan dan semoga kebaikan mengiringi kehidupan kita semua. Abang, Izan rindu...