Thursday, November 21, 2024

Pejam

Aku suka betul lirik lagu lantunan Khai Bahar & Adira Suhaimi ni..  Bait-bait katanya membuatkan aku menyedari hakikat diri sendiri. Sekian lama mengemudi bahtera hidup tanpa peneman, tiba-tiba aku didekati satu perasaan indah damai yang mengubah suasana jiwa. Resah kasih yang dipendam jauh di sudut hati, aku simpan kemas di lubuk sanubari. Biarlah ia menjadi rahsia antara aku dan Yang Maha Mengetahui. Terima kasih Allah menghadirkan rasa ini di dalam diri. Ku serah segalanya kepadaMu ya Rabbil Izzati ❤️


Monday, November 18, 2024

Menjeruk Rasa



Kebelakangan ni hati kecilku mudah benar terguris. Pantang ada perkataan dan perlakuan yang seolah mencabar ego dan kesabaran hati, automatik aku akan mendiamkan diri dan mematikan kata. Apatah lagi kalau berada dalam kumpulan atau kelompok manusia yang saling bicara namun bila ku ajukan soalan, tiada yang memberi reaksi. Terasa seolah aku halimunan yang tidak wujud dalam perbualan dan perbahasan. Mahu rasa aku angkat kaki membawa hati jauh dari situasi yang melemaskan.. dah kalau kehadiran seolah tak dipeduli dan bicara kita dipandang sepi.. buat apa tunggu lagi?

Hati aku bukan plastik yang tak mudah pecah berderai bila terlantun bertubi diasak rasa yang tak bertepi. Kalau sekadar kalian nak berbual sesama sendiri.. usahlah ajak aku bersekali! Aku bukan pasu bunga  hiasan yang tidak berperasaan! 😡 Sekali dua terjadi tak mengapa lagi.. tapi kalau sudah acapkali baik aku berdiam diri sebelum lidahku memberi hujah yang tajam menikam.. Sabarlah hati tenanglah jiwa.. Sudahlah rajuk ku tiada yang memujuk.. Dah nasib diri.. hati yang cedera ku rawat sendiri. Biar air mata jatuh terus di dasar hati takkan ku izin menitis di pipi..  Akan aku tahan rasa terkilan sekuat hati. Mudah-mudahan semuanya segera berlalu pergi.. Sabarlah Zahizan 😢

Friday, November 1, 2024

Surau Al-Madani

Rabu lalu persekitaran sekolah agak sunyi. Sementelah semua guru dan anak-anak Medini dah mula bercuti sempena Deepavali. Tinggallah aku bersama team AKP meneruskan khidmat di sekolah. Selesai bersarapan tiba-tiba aku dikejutkan dengan panggilan daripada Ustaz Syukri dari PPDJB. Beliau memaklumkan mulai tahun 2025 Surau Al-Madani akan menjadi lokasi solat Jumaat. Alhamdulillah, sedikit sebanyak membantu kami mengatasi masalah sewaan bas yang selalu menjadi kegusaran kewangan kami. Namun, aku diminta memotret gambar surau dan menyerahkan dalam bentuk slaid secepatnya. Apapun, Alhamdulillah dizahirkan tanda syukur kepadaNya. Inilah rezeki yang tidak disangka. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada semua warga. Syukur kepadaMu.. ❤️









Restoran Bawah Kolong, Kluang

Sejak dulu aku bukan seorang 'pemakan'. Apatah lagi sejak pemergian Abang ke alam abadi.. seleraku seolah-olah tertutup. Keluarga dan sahabat akrab dah mangli dengan keadaan selera makanku yang susah dikendali. Makan dua tiga suap terus berhenti.. lama juga keadaan ku begitu. Nak habiskan nasi sepinggan memang boleh dikira dengan sebelah tangan sehingga berat badanku menurun dengan banyaknya.

Namun sejak berhijrah ke SMK Medini, rutin hidup dan pemakanan ku agak berubah. Mungkin kehadiran sahabat 'seperkantinan' yang aku gelar Hang Setia menjadi asbab aku mula berselera. Seingat aku, semua bermula sebaik aku menerima pelawaan Encik Hairul PK HEM untuk bersarapan sama. Encik Hairul memang wajib bersarapan pagi kerana keperluan makan ubat setiap hari. Sejak itu, bersama Puan Hajah Norhazizah, PK Pentadbiran Medini, kami berpapasan ke kantin seusai perhimpunan pagi hampir setiap hari. Dek kerana rutin harian bersama Hang Setia ini, perut ku terbiasa mohon diisi meskipun pada hari cuti. Adoiiii gemuklah aku camni!

Sambil menikmati sarapan berat ala penyawit @ penoreh, kami akan bersembang tentang pelbagai topik. Antaranya tempat makan best di Johor. Satu daripada lokasi yang menarik perhatian ku ialah Restoran Bawah Kolong di Kluang. Cara Encik Hairul bercerita tentang kedai makan tu membuat hatiku meronta-ronta ingin mencuba. Macam sedaaaappp je..

Lantaran itulah, semalam 31/10/2024 ditemani Ain, kami menuju ke destinasi itu ~ Bawah Kolong. Oleh kerana highway jem memandangkan cuti Deepavali, kami gunakan laluan kelapa sawit Bandar Tenggara untuk ke sana. Sanggup tu.. setelah sejam suku berlalu akhirnya kami sampai juga ke sana. Alhamdulillah.. memang bestlah menu-menu yang tersedia. Perut pun dah berkeroncong apa lagi... Allahumma Bariklana terus.. 😂 

Alhamdulillah, syukur atas rezeki yang Allah beri. Lain kali nak bawak mak pulak ke mari. Next destination kena tunggu cuti pulak.. mata dah mengantuk. Drive slow2 je sampai Pulai Indah. Terima kasih Allah ❤️