Friday, December 20, 2024

#medinidihati ❤️

Lewat kebelakangan, beberapa aktiviti sekolah dilaksanakan dengan cemerlang, menjadi asbab ketiadaan kesempatan untuk aku meluah rasa dalam diari maya ini. 

Pertama, program perkhemahan unit beruniform yang direalisasikan di padang sekolah menyuntik pelbagai keterujaan rasa di samping menjentik sedikit keseronokan zaman remaja dahulu. Pelibatan aktif ketika bersama Rakan Muda dan Kelab Rekreasi & Kembara Negeri Johor semasa muda amat menggamit kerinduan. Terkenang sahabat lama & kenangan peralihan zaman remaja - dewasa yang menyeronokkan. indah!




Sebelumnya, warga kerja SMed diraikan dalam jamuan akhir tahun di Hotel Amerin JB. Terasa kembali remaja sementelah tema white and denim menjadi pilihan untuk digayakan. Dilatari lampu berwarna warni dan makanan enak memecah selera, makan malam santai bersama sahabat kesayangan sememangnya merupakan saat yang :mahal' untuk dipotretkan sebagai sisipan kenangan






Selain jamuan warga kerja, Makan Malam Asrama juga memahat memori di sanubari. Bertemakan floral atau bunga-bungaan, transformasi dewan menjadi lokasi majlis menang mengujakan. Diladeni bak putera dan puteri, wajah riang anak-anak asrama mengukir kenangan manis di tabir hati. Syukur alhamdulillah.. usaha kami menyantuni anak-anak asrama SMed menjadi realiti. 




Terima kasih Allah, terima kasih sayang buat team yang berjaya mengabulkan hajat dan menzahirkan visi Pengetua sebagai misi yang berjaya. Sesungguhnya aku sayangkan mereka keranaMu wahai Allah Yang Maha Kuasa. Jagalah mereka semua untukku Ya Rabbul Izzati.. #medinidihati ❤️

Yang Tak Berbeza


Cuba kau memandang ke dalam diri sendiri
Cuba kau renungi sekitaran hidup ini
Cuba perhatikan perawakan manusia
Pasti engkau mendapati tiap satu berbeza
Akan pasti kau akui keagungan Maha Esa

Cuba kau bertanya dari mana asal kita
Cuba menjawabnya dengan fikiran terbuka
Cuba kau bandingkan nasib tiap manusia
Pasti engkau mendapati tiap satu berbeza   
Akan pasti kau temui berbagai-bagai cerita

Langkahmu langkahku mungkin tak sehaluan
Caramu caraku tiada persamaan
Nyanyimu nyanyiku nadanya berlainan
Mimpimu mimpiku warnanya bertentangan
Satu perkara yang tak beza
Kau dan aku serupa
Di sisi Maha Esa