Friday, January 10, 2025

Kenangan Satu Sore

Pening.. mual.. sejuk seluruh tubuh usah dikata. Menjelang Asar, keringat halus muncul bersama degup jantung dengan irama pelbagai rentak yang menyesakkan dada. Hypo! Perkara pertama yang terlintas di benak fikirku cukup membuatkan akal hilang kewarasan seketika. Pantas aku mencapai mesin pengimbas kandungan gula. Terpapar angka yang menambah kegelisahan. Sangkaan ku benar rupanya!


Tanpa berlengah, aku hubungi kekanda PK Pentadbiran meminta nasihat. Hajah minta aku ambil makanan manis untuk meredakan keadaan. Bingkas aku panggil emak, minta bantuan menyediakan minuman Malta tanpa gula. Kelam kabut emak sebaik melihat wajahku berubah pucat dan tanganku menggigil tidak keruan. Sepantas itu juga, Ain menerpa dan memeluk untuk meredakan keadaan. Alhamdulillah, sebaik minuman enak buatan emak mengalir hangat ke kerongkong, aku mula stabil semula. Alangkah lega sebaik bacaan gula yang terpapar di skrin kembali normal. 


Jutaan terima kasih diucapkan buat kekandaku Hajah Hazizah asbab berjaya menjadi penyelamat ku hari ini. Sekujur badan yang terasa dingin kembali hangat dan jantung mula menari mengikut ritma yang kurang rancak berbanding tadi. Syukur kepadaMu ya Rabbi.. Alhamdulillah.

No comments: