Friday, January 24, 2025

Bersabarlah Zahizan..

23 Januari 2025 ~ tarikh yang pastinya tidak akan luput dari ingatan selagi hayat dikandung badan. Seperti biasa jam 4.30 pagi aku terjaga, bingkas bersedia membersihkan diri dan bersedia memakai baju pembedahan sebagaimana diarahkan jururawat bertugas. Meskipun sukar, aku gagahkan diri ke bilik mandi menaiki kerusi roda milik hospital. Selesai, aku kembali ke katil mendirikan solat tahajud dan solat hajat sementara menanti azan subuh berkumandang.

Sejak jam 2 pagi aku diminta berpuasa. Tak boleh makan dan minum sebagai persediaan masuk ke dewan bedah. Aku dimaklumkan akan menjadi pesakit ketiga yang bakal dioperasi hari itu. Hazana, pesakit di sebelah katil pula mendapat giliran keempat. Namun begitu, menjelang jam 1.30 tghari, Hazana dipanggil dahulu. Giliranku menyusul jam 2.30 petang.  

Penuh debaran, aku ditolak ke dewan bedah oleh dua orang jururawat. Tiba di sana aku diperkenalkan dengan doktor bius bertugas. Menerima suntikan gabungan Spina-Epidura (CSE), akhirnya bahagian bawah badan menjadi kebas sepenuhnya. Aku meniarap sepanjang pembedahan. Betapa aku bersyukur apabila ditemani nurse dan doktor yang sangat baik dan membantu aku selesa sepanjang proses pembedahan. Alhamdulillah.. Usai 3 jam pembedahan, aku ditolak ke bilik x-ray sebelum kembali ke katil 11 Wad 4 Sri Kandi. Di luar dewan, aku disambut oleh kakakku yang setia menanti bersama sahabat-sahabat Tasek, Ckg Azlina & Hajah Sharifah bersama Tuan Haji Zakaria YDP PIBG SMK Tasek Utara. 

Pakar ortopedik menyebut bahawa aku mengalami Chronic Tendon Achilles Rapture yang menyebabkan tendonku koyak teruk dan terputus. Syukur, gentian fiber dan skru yang digunakan sebagai gantian tendon disambung dengan baik. Jam 10 malam, aku mula merasakan kesakitan yang amat setelah ubat bius mula menghilang. Sakit yang dirasakan bukan kepalang! Sepanjang malam aku tak berupaya melelapkan mata kerana menanggung bisa yang luar biasa.  Kesian aku lihat Kak Gee yang bersengkang mata menjaga adiknya yang merengek sehingga dinihari. Terima kasih kakak kesayangan kerana menjaga aku penuh kasih sepanjang tempoh ini. Akan ku semat kenangan ini sebagai memori yang tidak akan ku lupa selagi hayatku masih ada.

No comments: