Monday, January 20, 2025

Redha & Redah..

Semenjak pergerakan ku terbatas, banyak aktiviti yang terpaksa ku tangguhkan kerana ketidakupayaan ku. Paling aku terasa, apabila aku tak dapat memandu. Selalunya bila kedamaian hati teruji, aku akan capai kunci kereta dan memandu jauh sehingga tekanan tidak lagi ku rasai. Pada ku, memandu adalah satu terapi.. Namun bila kaki kanan tak mampu digerakkan ke atas bawah, aku terpaksa akur dengan hakikat bahawa Pak Itam terpaksa aku rehatkan. Adakalanya terasa sebal juga perasaan tapi mahu atau tidak aku redha akan ketentuan yang tertulis.

Pernah beberapa kali aku bertanya kepada diri, kenapa aku diuji begini, di saat ini.. meskipun jawapannya telah aku ketahui, tetap juga persoalan yang sama bertimbal balik di dalam minda. Teringat aku pesanan Kak Suliah, jangan ditanya soalan yang tiada jawapannya.. Betul, aku pun sedia faham. Allah uji tanda Allah sayang. Ada pelangi yang akan diberi sesuai sesuatu ujian. Cuma, rusuh jiwa ini susah nak ditafsirkan. Lepas satu, satu ujian mendatang. Selama ni aku berusaha bersikap tenang meskipun air mata berderai bila bersendirian. Kali ni, beberapa kali aku tewas dalam emosi tak bertepi.

Betapa tidak.. dalam keterbatasan pergerakan begini, terasa aku menyusahkan ramai insan sekeliling. Meski mereka sentiasa membantu dengan ikhlas, aku sukar menerima kenyataan kebergantungan yang memeritkan. Mungkin ada benarnya kata En Hairul. Aku belum move on dengan apa yang berlaku.. berat mata memandang, berat lagi bahuku yang menyandang. Aku benar-benar ingin cepat sembuh agar tidak lagi aku menyukarkan kehidupan insan kesayangan. Ya Allah kurniakan aku kesembuhan. Cabutlah keresahan yang aku rasakan dan benamkanlah kesedihan yang aku pendamkan.. Bantulah aku menghadapi kehidupanku ini dan janganlah Engkau meninggalkan ku sendiri. Hanya kepadaMu ku mohon pertolongan.. Aamiin ya Rabbal Alamin 🥺 

No comments: