Thursday, January 16, 2025

Elergi Hati Melara

Tercalar pedih, luka parah bak dihentam kecewa yang tidak bertepi. Itulah gejolak rasa yang aku rasakan saat ini. Kesakitan yang aku pendam sekian lama seolah-olah menikam terus menerobos jantung perasaan hingga mengoyakkan kekuatan jiwa yang ku kumpul selama ini. Tak tahu aku nak mula dari mana kerana di setiap sudut yang aku pandang terasa kabur dengan rembesan cecair hangat yang memenuhi kolam mata. Semakin lama gerimis yang melanda menjadi hujan lebat  membasahi laman hati yang sepi . Semuanya asbab kejadian petang tadi yang berjaya mengusir jauh kedamaian hati ke lembah kesedihan yang teramat.

Kebetulan, hari ni aku pulang agak lewat. Menumpang kenderaan Suhana untuk pulang ke sarang, aku menyiapkan tugasan yang belum selesai. Ketika itulah aku didatangi seorang rakan sekerja meminta tandatangan Ketua Jabatan sebagaimana rutin seharian. Sambil itu, sempat kami bersembang kosong tentang kehidupan. Rentak perbualan kami tiba-tiba berubah apabila aku ditanya tentang keadaan kakiku yang masih berbalut bandage. Aku sebutkan tentang kekhuatiran aku menjalani pembedahan selepas ini. Entah mengapa, rakan ku tadi menyebut tentang kifarah, balasan disertai beberapa ayat yang amat mengguris hati..

Terasa hina-dina aku di mata sahabat itu. Ternyata permohonan maaf yang aku hulurkan dahulu tidak diterima bahkan disimpan sebagai dendam. Setiap butir perkataan yang diucapkan terasa bagai hirisan  sembilu yang melukakan perasaan. Apakah tiada nilai kebaikan yang aku lakukan di mata kalian selama ini? Emosi duka terbawa-bawa dalam benak fikir yang tidak berpenghujung. Jika kecederaan yang aku alami ini merupakan balasan atau kifarah keterlanjuran tindakan ku kepada rakan-rakan seperjuangan, ampunkanlah aku ya Allah.. aku tidak pernah berniat menyakitkan hati sesiapa sepanjang aku hidup di atas bumiMu ini. Semoga aku menjaga lisan dan hatiku agar tugasku diterima sebagai ibadah kepadaMu. hanya kepadaMu aku serahkan takdir hidupku.. Aamiin ya Rabbal Alamin 🥺



No comments: