Jam 8 pagi tadi, aku ada temujanji di Hospital Sultanah Aminah JB. Sepanjang malam aku keresahan memikirkan apa agaknya keputusan yang bakal ku terima ~ confirmation sama ada aku layak dibedah atau tidak pada 23 Januari ini benar-benar meresahkan. Seawal jam 6.45 pagi aku dah bergerak ke HSA. Ditemani kakakku, kami menuju ke sana menaiki Pak Itam, kuda ku yang telah lama beristirehat disebabkan kecederaan tuannya. Sebelum jam 8 kami sampai ke perkarangan hospital. Barisan pesakit yang sangat panjang menyambut kehadiran kami. Mujurlah kecekapan pegawai di kaunter pendaftaran mempercepat proses ke peringkat seterusnya.
Bertemu Dr Atiqah yang mesra sedikit sebanyak menghilangkan gugup dan gemuruh di dada. Tenang meneliti laporan kesihatan ku, beliau memintaku membuat ujian dalam darah untuk memastikan paras gula dalam darahku terkawal. Selesai, aku diminta melalui proses pemeriksaan ECG. Alhamdulillah kali ini aku lulus semua ujian tanpa banyak halangan. Terus aku diminta ke klinik anestetik berjumpa pakar bius yang sangat peramah dan informatif. Beliau menerangkan proses yang akan kulalui ketika pembedahan kelak. Sedikit kebimbangan ku meluntur sebaik mendengar penjelasan doktor cantik yang mesra itu.
Proses akhir ialah penentuan tarikh pembedahan. Tidak henti-henti aku memanjatkan kesyukuran kerana akhirnya doktor menetapkan 23 Januari sebagai tarikh pembedahan ku. Penantianku bakal berakhir.. yang penting aku ingin cepat sembuh dan kembali ke rutin harian ku yang sibuk. Meskipun sedikit terkejut kerana pembedahan bakal dilaksanakan di Hospital Kulai, aku berterima kasih kepadaNya kerana mengabulkan doa-doa ku dan mereka yang mendoakan kesihatan ku. Paling istimewa dan mengharukan, kakak kesayangan setia menemaniku sepanjang proses ini ðŸ˜ðŸ¥² Terima kasih Allah Yang Maha Mengetahui. Aku serahkan diriku dan takdirku hanya kepadaMu. Alhamdulillah untuk semuanya 🥺
No comments:
Post a Comment