Saturday, October 19, 2024

Team Building 2024 ~ #medinidihati

Idea menjelekit dan menyatukan warga kerja Medini sebenarnya tercetus sebaik kakiku melangkah masuk sebagai peneraju sekolah tanggal 3 Mac 2024 lalu, sebagai satu hala tuju kepimpinan pengetua. Banyak agenda yang dirancang dalam minda untuk memupuk kebersamaan guru dan AKP antaranya Hari Keluarga, Team Building dan Perkhemahan santai.



Justeru, tatkala En Hairul melontar cetusan mengadakan program #medinidihati, terasa seolah-olah gayung bersambut, kata disahut. Hasrat ku satu, program LDP yang diadakan tidak cliche.. tiadalah ceramah (or cemarah), tiada bebanan aktiviti tetapi aktiviti santai menghilangkan stress di samping membina hubungan keakraban sesama peserta.


Hasilnya, 11 hingga 12 Oktober 2024, kami ke PLGDP sama-sama mengikuti program Team Building yang menarik, tertarik dan memang de bomb!! Sepanjang acara, wajah-wajah girang dan senyuman ceria terukir di wajah rakan-rakan, memberikan kepuasan tidak terhingga kepada JK Pengelola dan aku sebagai penerajunya. Semoga ukhuwwah yang terjalin terus berkekalan, semangat yang lahir terus berkembang dan organisasi SMED terus cemerlang memacu kegemilangan. Aamiin.. KepadaMu kami berserah.

Friday, October 18, 2024

Ustaz Muhammad

Dalam pada sibuk membelek gambar dan mengimbau kenangan di Tanah Suci, aku terpandang satu lukisan yang dinukilkan Ain semasa kami berada di Lapangan Terbang Madinah tatkala berangkat pulang ke tanahair. Sepanjang berkelana di bumi Saudi, Ain meneruskan rutinnya melukis menggunakan telefon bimbitnya. Tanpa aku sangka, rupanya gerak geri Ain sering menjadi perhatian mutawif yang mengiringi kembara kami, termasuklah Tuan Haji Muhammad Fadilah. 

Sebaik menyedari bakat melukis Ain, Ustaz Muhammad meminta Ain melukis gambarnya sebagai kenangan. Di luar jangkaan ku, jemari Ain terus lincah menari di papan skrin merakam gambar mutawif yang mudah mesra itu. Hasilnya agak menarik dan berjaya menyentuh hati Ustaz Muhammad. Alhamdulillah, terima kasih Ustaz Muhammad kerana setia bersama kami, para jemaah umrah sehingga ke detik akhir kembara kami. Doaku, semoga ustaz dan rakan-rakan Mutawif serta Mutawwifah sihat selalu demi meneruskan khidmat bakti mengiringi para jemaah ke Tanah Suci. Aamiin..


Klik Klik..!!

Beberapa menjak kebelakangan ni, sidang redaksi sekolah sibuk mempotretkan gambar untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Apa lagi, berposing sakan lah warga sekolah untuk kelihatan menarik dalam pelbagai aksi. Untuk kali ini, aku minta mereka gunakan kreativiti untuk digayakan dalam pelbagai posisi.. taklah asyik berdiri tegak, tahan nafas bergambar formal seperti yang dilakukan saban tahun. Aku kongsikan beberapa foto sebagai tatapan dan kenangan untuk ku sisip dalam  kotak ingatan sebagai memori indah buatku.









Makan Dalam Dulang

Lafaz kesyukuran dirafakkan ke hadrat Rabbul Izzati kerana atas limpah rahmatNya sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah dijayakan dengan penuh sederhana namun meriah. Sejujurnya, dalam perancangan Maulidur Rasul SMed, kami hanya sekadar membuat perarakan kecil, ceramah dan kembali ke kelas untuk PdPc seusai majlis.


Namun sebaik hasrat untuk mengimbau kenangan makan dalam talam sebagaimana amalan semasa persekolahan dulu aku suarakan kepada En Hairul PK HEM, pantas perancangan diatur oleh JK Pengelola dan direalisasikan pada hari kejadian. Terharu.. hampir gugur air mata bila melihat anak-anak dan warga sekolah girang berkongsi makan dari wadah yang sama. Syukur.. terkenang aku pesanan Ustaz Md Noh, guru kesayangan semasa aku menuntut di Port Dickson dulu. 'Makanan yang paling disukai oleh Allah ialah makanan yang dijamah oleh banyak tangan di dalamnya'.


Pun begitu, agak terkilan juga kerana ironinya aku sendiri tidak berkesempatan menikmati hidangan dalam dulang asbab kesibukan dunia yang tidak terbatas pada hari itu. Kesayuan dan rasa terkilan itu aku tutup rapat-rapat agar tidak dikesan oleh rakan-rakan sepasukan, dengan harapan Allah menggantikan kesedihan ku dengan sesuatu yang lebih baik selepas ini.. 🥺 Setidak-tidaknya aku berjaya memberi pengalaman baharu untuk anak-anak Medini. Diam-diam rajuk di hati ku pujuk sendiri.. Alhamdulillah,. terima kasih Allah atas kurniaanMu. Sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu 😢

Kembara ke Tanah Suci

Sebulan telah berlalu selepas kembara umrah kami ternoktah. Jauh di sudut hati, aku merasa agak kesal kerana tak sempat menitip coretan sebagai catatan kenangan di blog ini. Memujuk hati, tak mengapalah.. semua itu telah ku sisip rapi dalam lipatan memori. Jujurnya, sepanjang di sana tak pernah sedetik pun ingatanku kepada sekolah 'menghilang'. Dalam setiap sujudku, nama mereka yang akrab di hati ku sebut satu per satu. Dalam doa, sentiasa ku pohonkan keafiatan, ketenangan dan kebaikan buat mereka yang amat aku sayangi dan kasihi.


Sepanjang pengembaraan kami di bumi Anbiya', kami berkesempatan menziarahi lokasi-lokasi menarik dan bersejarah. Mengalir air mata mengenangkan betapa besarnya pengorbanan junjungan besar Nabi Muhammad dan para sahabat mengembangkan syiar Islam dengan pelbagai mehnah dan cabaran. Penerangan oleh para Mutawif yang sarat dengan emosi sangat menginsafkan. Mengunjungi Taif, Badar, Qarnul Manazil, Arafah, Mina, Jabal Thur, Jabal Rahmah, Jabal Uhud, Jabal Malaika.. membuat hati mengagumi kebesaranNya. Betapa tidak, selama aku hidup, nama-nama tempat ini hanya terpapar dalam buku teks yang dibaca. Namun kali ini, Allah izinkan aku berdiri di tanah bersejarah ini. Allahu Akbar!



Terima kasih Allah.. mengizinkan hamba sekecil aku untuk berkunjung di tanah suci. Jemputlah aku untuk kembali ke sana Ya Allah.. ampunkan dosa kami dan masukkanlah kami ke dalam syurgaMu. Aamiin ya Rabbal Alamin..



Kembara Duyufurrahman

 09 Sept 2024 : Pengembaraan menyahut jemputanNya ke Tanah Suci bermula. Bertolak seawal jam 2.30 pagi, kami selamat tiba di Mekah pada jam 10 malam waktu tempatan. Alhamdulillah.. perjalanan yg agak panjang yg menguji kekuatan fizikal agak melelahkan. Apatah lagi terpaksa mengurus semua 6 bagasi yang dibawa seorang diri.. agak mencabar sebenarnya. Namun, aku seronok melakukannya dengan adanya dua bidadari kesayanganku di sisi ~ emak dan Ain.


Sampai di Hotel Safwah, kami terus bersedia melaksanakan umrah wajib. Dipaut rapat oleh emak,  aku memulakan perjalanan umrah wajib ke Baitullah dengan seribu satu perasaan. Sebaik melihat Kaabah buat kali pertama, air mata mencurah tanpa dapat ditahan-tahan. Segala doa, permintaan dan harapan ku curah sepenuh hati kepadaNya.  Hanya Dia Yang Maha Mendengar, Yang Maha Mengabulkan.. 

Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana menjemputku sebagai tetamuMu. Diizinkan berada di rumahMu bersama kesayanganku adalah anugerah terindah dalam hidup. Hanya kepadaMu aku berserah..