Friday, October 18, 2024

Makan Dalam Dulang

Lafaz kesyukuran dirafakkan ke hadrat Rabbul Izzati kerana atas limpah rahmatNya sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah dijayakan dengan penuh sederhana namun meriah. Sejujurnya, dalam perancangan Maulidur Rasul SMed, kami hanya sekadar membuat perarakan kecil, ceramah dan kembali ke kelas untuk PdPc seusai majlis.


Namun sebaik hasrat untuk mengimbau kenangan makan dalam talam sebagaimana amalan semasa persekolahan dulu aku suarakan kepada En Hairul PK HEM, pantas perancangan diatur oleh JK Pengelola dan direalisasikan pada hari kejadian. Terharu.. hampir gugur air mata bila melihat anak-anak dan warga sekolah girang berkongsi makan dari wadah yang sama. Syukur.. terkenang aku pesanan Ustaz Md Noh, guru kesayangan semasa aku menuntut di Port Dickson dulu. 'Makanan yang paling disukai oleh Allah ialah makanan yang dijamah oleh banyak tangan di dalamnya'.


Pun begitu, agak terkilan juga kerana ironinya aku sendiri tidak berkesempatan menikmati hidangan dalam dulang asbab kesibukan dunia yang tidak terbatas pada hari itu. Kesayuan dan rasa terkilan itu aku tutup rapat-rapat agar tidak dikesan oleh rakan-rakan sepasukan, dengan harapan Allah menggantikan kesedihan ku dengan sesuatu yang lebih baik selepas ini.. 🥺 Setidak-tidaknya aku berjaya memberi pengalaman baharu untuk anak-anak Medini. Diam-diam rajuk di hati ku pujuk sendiri.. Alhamdulillah,. terima kasih Allah atas kurniaanMu. Sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu 😢

No comments: