Telah agak lama sejak kali akhir jemari ku menari di atas papan kekunci. Kesibukan menyelesaikan pelbagai tanggung jawab dan tugasan membataskan peluang aku melakar kata dan menukilkan perasaan di kanvas blog ini. Meskipun berdepan dengan pelbagai situasi dan karenah sekeliling yang adakalanya menjentik perasaan, semua yang ku lalui setakat ini baik-baik sahaja. Alhandulillahi ‘ala kulli hal..
Lewat beberapa minggu kebelakangan perasaan rindu sering memagut tangkai hati, menemani kesunyian jiwa yang selama ini menjadi teman akrab sewaktu kesepian. Rindu yang bertandang mengundang perasaan bahagia yang tiada penghujungnya. Ada masanya kehidupan terasa aneh bila dikepung bahagia yang entah dari mana datangnya.. bak kata omputih everything is too good to be true.. Meski begitu, aku menghargai keanehan yang dirasai ini dengan penuh rasa syukur.
Peluang bersama insan kesayangan yang menjadi asbab kegembiraan dan keceriaan; meskipun sukar diperoleh, sememangnya menyumbang kepada detak kebahagiaan yang dikecapi. Tidak dapat dinafi, komunikasi sesekali menjadi cabaran, namun sebaik ada kesempatan bersua pastinya peluang yang ada tidak kami persiakan. Singkatnya pertemuan tidak pernah menjadi halangan terciptanya momen manis yang meninggalkan kesan mendalam.. Indahnya perasaan yang menyapa sesungguhnya tak mampu aku zahirkan dengan kata-kata. Walaupun hari-hari yang berlalu semakin bermakna, dan dunia menjadi semakin berseri penuh warna, sesekali getar hati terasa tatkala terfikir jika rasa ini hanya ujian sementara cuma.
Tak mengapalah.. kenapa difikirkan badai yang belum tentu sampai. Lebih baik merenung warna ceria di balik bingkai kehidupan dan nikmati kemanisan pengalaman selagi aku masih bernyawa. Buat sang penghuni hati, jiwa dan sanubari ini, terima kasih atas semua kenangan yang terpahat indah lambang kasih sayang yang dibina. Sama-sama kita tunggu pengakhiran kisah kasih kita dengan penuh debar dan sabar sehingga suatu masa itu menjelma. InsyaAllah… Ya Allah, kepadaMu sahaja kami serahkan segalanya. Aamiin..

No comments:
Post a Comment