Friday, December 19, 2025

Radio Karat

Hidup ini mudah. Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan dan jagalah hubungan dengan Yang Maha Pencipta serta sesama manusia sebaik-baiknya. Pada aku, setiap orang ada ruang yang perlu dihormati. Tak perlu masuk campur hal ehwal atau urusan orang lain dan usah menjadi penyampai berita tak berlesen mengadu domba apatah lagi menjadi radio karat tidak bertauliah menyebar cerita yang tak tentu sahih tidaknya sebagai hobi di waktu senggang. Jika apa yang disebarkan adalah berita yang tidak benar pasti kita akan dihantui perasaan bersalah dek kerana perbuatan menjaja aib yang sepatutnya disimpan. Bimbang jika kisah yang dicanang kembali semula kepada diri atau ahli keluarga kita kelak. Nauzubillahi min zalik..

Namun entah bagaimana, mutakhir ini ada saja manusia berminat mengetahui kisah kehidupan ku. Setiap langkah dan tingkah menjadi santapan tajamnya kerlingan mata helang. Penuh benci.. penuh iri dan sangsi. Apa yang menarik tentang aku pun aku tak tahu. Sehinggakan blog picisan penulis seperti aku ini pun menjadi perhatian. Amat mengejutkan melihat ada karya daripada blog ini menjadi tangkap layar sebagai bahan hasutan meruntuhkan hubungan. Rupanya dalam era teknologi digital  serba canggih ini, masih ada manusia berhati kesumat yang sanggup menggadai nilai diri, berlakon hero dan tergamak mengapi-apikan kemelut rumah tangga orang lain sebagai kepuasan. Menghairankan, bukan?

Blog ini merupakan ruang privasi bagi aku menulis mencurah perasaan, wadah aku berkarya melontar kata memerah idea agar emosi dan minda ku kekal sihat dan terjaga. Sesekali aku berkongsi karya rakan penulis lain sebagai kredit penulisan yang memberi ilham. Salahkah? Anehnya, bahan yang dipaparkan ibarat mencucuk mata panel pembaca yang tidak diundang. Macam Mami Jarum edisi digital pun ada 😂 Sudah-sudahlah menjaja dan menjaga tepi kain orang.. bimbang tepi kain sendiri tercantik, koyak rabak dan mengaibkan diri tanpa disedari. Ishkkk.. malu nanti! 




No comments: