Saturday, November 29, 2025

Assalam & Zahin...

Saban minggu, seolah menjadi rutin tetap dan berpencen, aku menemani Zahin ke restoran kegemarannya di Iskandar Puteri ini. Sekadar menikmati cheesy fries sehinggalah menikmati juadah barat Fish & Chips itulah destinasi pilihan hati buah hati ku nan seorang ini. Assalam ni sebenarnya merupakan kedai mamak yang letaknya berhampiran benar dengan SMK Medini. Sudahnya setiap hujung minggu aku singgah ke sekolah..Hikmahnya, para pengawal keselamatan di pondok hadapan sekolah sentiasa perlu bersiap siaga dan cakna jika dikunjungi Pengetua pada bila-bila masa. Tak pe lah nak.. selagi Mommy ada daya, apa juga kehendak mu akan Mommy tunaikan asalkan tidak melanggar hukum syarak. Assalam pun Assalam lah..





Ku Pendam Sebuah Duka

Malam tadi awal betul aku terlena.  Mutakhir ini, keletihan mental seringkali mengatasi kekuatan fizikal yang semakin ampuh dimamah pertambahan usia.  Rasanya belum berdenting jam 11 malam, aku hanyut dibawa mimpi petanda tubuh perlukan rehat secukupnya. Namun lena ku tak lama.. pukul 1.30 pagi aku terjaga dan sukar untuk melelapkan mata.

Bergolek-golek di katil memujuk mata agar kembali ke alam mimpi memang sukar sekali. Di kala itu juga, tak semena-mena ingatan ku terbang kepada seorang sahabat yang amat aku rindui. Sepanjang keakraban kami, dia merupakan insan yang aku sayangi, aku kasihi bagai keluargaku sendiri. Aku memang mudah jatuh sayang pada sahabatku.. itu realiti. Cuma sahabat yang satu ini agak berbeza kerana kasihku tak terbatas kepadanya sahaja bahkan tumpah sama kepada anak-anaknya yang aku anggap ibarat anak-anak ku sendiri. Itu istimewanya..

Sayangnya hubungan kami renggang hanya kerana satu hembusan cerita yang kesahihannya tak didapatkan terus daripada aku, sang empunya diri. Rapuhnya persahabatan kami hanya dengan ujian kecil yang meruntuhkan tembok kepercayaan yang dibina selama ini. Kecewa sungguh aku bila penjelasan yang diberi ditolak mentah tanpa aku dapat membela diri. Tatkala aku berjuang membersihkan nama yang tercalar di kala memerlukan telinga untuk mendengar dan bahu untuk bersandar, aku disisih tanpa ihsan untuk menjernihkan kebenaran. Dosa apa yang aku lakukan, larangan Allah yang mana aku abaikan? Pertanyaan dan persoalan daripada teks yang aku terima terbiar sepi tiada jawapan pasti.

Rasa hampa  ini hanya mampu aku benamkan dalam-dalam. Sayu sebak syahdu bercampur baur mengingatkan kemanisan persahabatan yang hilang hanya kerana asbab yang dangkal. Lebih malang, mudah benar dipercayai seolah aku bukan sosok yang pernah dikenali. Meski aku terlihat tabah berdamai dengan realiti hilangnya seorang sahabat kesayangan, hakikatnya amat pedih untuk ku hadam dan aku telan. Aku buka seluasnya hati menerima takdir yang terlakar dan aku pasak dalam hati bahawa semua yang ada di dunia ini sekadar pinjaman Ilahi. Semoga sahabatku terus dikurniakan kesejahteraan dan kedamaian dalam kehidupannya. Aku..? Mungkin tiada erti dan tak perlulah dicari lagi supaya hatiku yang hancur kecewa ini akan berupaya pulih sendiri.. Duhai hati bersabarlah dan cepatlah pulih kembali.. 🥺

Friday, November 28, 2025

#SUATU MASA : SATU CINTA

 

KALA SEPI BERTANDANG
RESAH RINDU MENDATANG
SAKIT DIRASA SESAK DI DADA 
ENTAH SEJAK BILA IA MULA BERTAMU 
MENJENGAH HAMBA KERDIL 
DI LEWAT MASA YANG TINGGAL SISA 
RIAK PARAS YANG DIJAMU MATA DAN JIWA 
MENDAMAIKAN… 
TERKILAS RAUTMU MENGUBATI JIWA 
MENJADI PENAWAR DI HATI 
TERIMA KASIH WAHAI JIWA 
KU JULANG DIRIMU LANTARAN SUDI BERTAMU DI SANUBARI 
DAN RINDU PUN MENDERU 
IBARAT BAYU MENYAPA MALAM YANG HANGAT 
LANTAS… 
KESYAHDUAN PUN SINGGAH MEMBAWA WARNA 
PADA LANGIT CINTA YANG KIAN GELITA 
DI KALA REMBULAN SEMBUNYI MALU DI BALIK GEMAWAN PILU 
LALU KEBAHAGIAAN MENYELUBUNGI SENDU HATI 
YANG BERLAGU SEPI 
MATA TERTANCAP PADA BINGKAI INDAH 
MEMOTRET SERAUT PENAWAR RINDU 
DALAM DAMAI… 
BAGAI TERNGIANG BISIK HATI PADA JIWA… 
BILAKAH SAMPAINYA SUATU MASA 
JELMANYA ENTAH BILA 
KU NANTI DENGAN SETIA 
MENAMPAR PERIHNYA REALITI 
UNTUK TUBUH MEMELUK RASA 
TEGUH SANUBARI MEMASAK KATA 
SELAMANYA CINTA 



Lekat & Dekat ❤️

Telah agak lama sejak kali akhir  jemari ku menari di atas papan kekunci. Kesibukan menyelesaikan pelbagai tanggung jawab dan tugasan membataskan peluang aku melakar kata dan menukilkan perasaan di kanvas blog ini. Meskipun berdepan dengan pelbagai situasi dan karenah sekeliling yang adakalanya menjentik perasaan, semua yang ku lalui setakat ini baik-baik sahaja. Alhandulillahi ‘ala kulli hal..

Lewat beberapa minggu kebelakangan perasaan rindu sering memagut tangkai hati, menemani kesunyian jiwa yang selama ini menjadi teman akrab sewaktu kesepian. Rindu yang bertandang mengundang perasaan bahagia yang tiada penghujungnya. Ada masanya kehidupan terasa aneh bila dikepung bahagia yang entah dari mana datangnya.. bak kata omputih everything is too good to be true.. Meski begitu, aku menghargai keanehan yang dirasai ini dengan penuh rasa syukur.

Peluang bersama insan kesayangan yang menjadi asbab kegembiraan dan keceriaan; meskipun sukar diperoleh, sememangnya menyumbang kepada detak kebahagiaan yang dikecapi. Tidak dapat dinafi, komunikasi sesekali menjadi cabaran, namun sebaik ada kesempatan bersua pastinya peluang yang ada tidak kami persiakan. Singkatnya pertemuan tidak pernah menjadi halangan terciptanya momen manis yang meninggalkan kesan mendalam.. Indahnya perasaan yang menyapa sesungguhnya tak mampu aku zahirkan dengan kata-kata. Walaupun hari-hari yang berlalu semakin bermakna, dan dunia menjadi semakin berseri penuh warna, sesekali getar hati terasa tatkala terfikir jika rasa ini hanya ujian sementara cuma.

Tak mengapalah.. kenapa difikirkan badai yang belum tentu sampai. Lebih baik merenung warna ceria di balik bingkai kehidupan dan nikmati kemanisan pengalaman selagi aku masih bernyawa. Buat sang penghuni hati, jiwa dan sanubari ini, terima kasih atas semua kenangan yang terpahat indah lambang kasih sayang yang dibina. Sama-sama kita tunggu pengakhiran kisah kasih kita dengan penuh debar dan sabar sehingga suatu masa itu menjelma. InsyaAllah… Ya Allah, kepadaMu sahaja kami serahkan segalanya. Aamiin..

Sunday, October 19, 2025

Ijam & Ijan 🌹

Aku tak pasti andai dalam hidup ini, setiap yang berlaku merupakan satu kebetulan.  Mungkin ada tapi taklah selalu berlaku kebetulan yang memungkinkan hala tuju kehidupan disasarkan sebagaimana dihasratkan. Pertemuan, perkenalan dan perpisahan merupakan takdir dalam hidup yang pada aku bukanlah satu kebetulan. Ia merupakan takdir atau hakikat yang telah tertulis buat semua penghuni di dunia fana ini. Segala yang terjadi seharusnya disyukuri dan dihayati kerana setiap yang berlaku adalah atas izin Rabbal Izzati yang Maha Mengetahui.

Ijam dan Ijan.. Perkenalan kami bermula ringkas sahaja. Aku pernah melaksanakan satu program ketika Ijam ditugaskan sebagai penyelarasnya. Ketika itu kami masih jauh.. belum saling mengenali. Sehinggalah satu hari kami bertemu di tempat aku bertugas. Dalam perbualan kali pertama, aku merasakan figura di hadapanku tegas orangnya. Beberapa hari berselang, aku mula rasa selesa asbab sifat humor Ijam yang perlahan-lahan keluar dari persembunyian. Perlakuan sopan dan tindakan spontan Ijam sering sahaja mencuri perhatian ku dalam diam. Pun begitu, semua rasa yang ada aku simpan dalam-dalam. Bukan mudah untuk aku membuka hati yang selama ini terkunci rapi.. 

Keutuhan persahabatan dan persaudaraan melingkari rutin harian, namun tetap membataskan kemesraan kami. Namun, entah bagaimana secara tidak sengaja segalanya berubah wajah. Segenap nada, irama dan nuansa berubah menjadi lebih berseri dan bererti. Betapa semuanya menjadi sukar diterjemah dalam konotasi istilah hidup yang lebih mudah. Dunia ku yang sepi berubah wajah.. luas dan indah. Namun bahagia amat mahal harganya buat seorang aku. Menelan segala mehnah dan dugaan yang bersilih ganti memang amat memeritkan. Langkah umpama terikat, laku seolah diperhati dan pergerakan ibarat dikawal rapi menjadikan pertemuan seolah lapang sasar di medan pertempuran. Pergerakan diatur penuh berhati-hati, dipenuhi risiko dan strategi.. Kebebasan bersuara kami seolah dinafi dan kesilapan kami dinanti-nanti... 🥹


Pun begitu, getar rasa yang terbina bukan mudah goyah begitu sahaja. Sementelah lantunan lagu jiwa kami senada iramanya. Ijam dan Ijan.. semoga kami kuat mendepani situasi dan berjaya mengharungi badai dugaan yang tiada bertepi. Fikir yang baik-baik, doa yang baik-baik insyaAllah yang baik-baik juga akan menanti kami. Yang suka mencampuri, mohon ke tepi... Allahumma baaarik.. 🌹


Saturday, October 11, 2025

Mata Helang?

 Pagi itu pagi Khamis yang permai. Seperti biasa aku bangun seawal jam 4.15 pagi bersedia bertemu Yang Maha Pencipta. Penuh semangat meskipun agak letih sementelah aku melalui perjalanan jauh minggu ini. Isnin di Desaru, Selasa ke Batu Pahat terus ke Melaka.. perjalanan panjang yang agak melelahkan. Bezanya, kali ini pemanduan ku ditemani insan kesayangan meskipun sekadar di alam maya dari kejauhan sana. 

Sebaik telefon dibuka, aku dikejutkan dengan satu mesej tidak enak yang amat mengguris perasaan.. Mesej daripada seorang yang akrab dengan aku itu, entah bagaimana tidak aku senangi nadanya. Antara lain ia menyebut, 'buatlah apa yang Allah suka, jangan buat apa yang Allah larang..' cukup membuatkan aku tertanya-tanya. Apakah larangan Allah yang dimaksudkan? Terasa hina benar diri aku dilayan sedemikian rupa. Lebih menyedihkan rasa, apabila aku langsung tidak diberi peluang untuk membuat penjelasan.. alangkah hampanya perasaan! 

Pelbagai persoalan bertimbal balik di minda membuatkan aku resah gelisah tidak keruan. Bagi aku, aku bukan anak remaja yang perlu dikepung,  dihendap atau dikawal setiap ketika.. Anak remaja pun ada batasan mereka yang perlu dihormati. Aku manusia cukup dewasa yang ingin mencipta bahagia. Bahagia dengan cara aku sendiri. Usah bimbang, aku masih waras menentukan kewajaran setiap tindakan. Usahlah mengharamkan yang halal, menghalalkan yang haram, salah! Tak perlulah menjadi hero dalam hikayat hidupku yang sementara cuma.  Frasa yang menjerut ketenangan fikiran itu, aku lempar jauh demi menjaga kestabilan emosi sendiri. Khalayak boleh menuding jari, melarik kata atau mengerling tajam kepada ku sewenangnya. Tapi, mengapa kebenaran sering dikesampingkan?

Sudah sudahlah mencari salah.. Andai ada persoalan, bukankah lebih baik diaju terus kepada empunya badan. Ini tidak.. bergosip membuat tebakan jahat hingga ke halaman orang ketiga yang mudah percaya melulu setiap kata dusta. Mata helang yang menikam kebebasan ada di mana-mana.. seolah menanti aku tersungkur dalam perjuangan hidup yang getir. Natijahnya.. aku hilang percaya kepada kalian semua! Terima kasih atas pengajaran kehidupan ini.. Hanya kepadaNya aku memohon, dikurniakan sinar terang agar dapat aku rasai kebahagiaan dan kedamaian dalam kehidupan. KepadaMu ku serahkan segala-galanya. Allahumma baaarik!

Saturday, October 4, 2025

Bermimpikah Aku?

Lewat kebelakangan ini, kebahagiaan memenuhi segenap ruang hatiku yang selama ini kosong dan sepi. Melalui hari demi hari yang sarat dengan kedamaian dan kegembiraan ibarat melayari mimpi indah yang tak pernah sama sekali aku impikan. Setiap rutin yang dijalani terasa amat mudah.. tidak langsung memberikan tekanan. Segala beban yang tertanggung di pundak bagai terlepas dan berat yang digalas tidak lagi aku rasai.. Aneh tapi itulah hakikat yang aku rasakan. Dunia kelihatan lebih berwarna dan setiap penjuru yang ditatap memberi bentuk dan dimensi berbeza.


Akhirnya aku tahu.. Begini rupanya bila disapa rasa halus kerinduan  dipeluk erat ingatan penuh kesyahduan, dibelai indah rasa cinta kasih yang tidak berpenghujung yang membuai rasa sayang. Tak pernah aku bayangkan berserinya dunia sebegini. Sesekali, aku cubit diri sendiri cuba menyedarkan aku daripada mimpi dan anganan namun masih aku tidak terjaga. Benarlah, ia bukan fantasi alam igauan tapi realiti yang amat aku syukuri.. Syukur, Allah izinkan aku merasai detik indah sebegini meskipun ia hadir agak lewat dari kelaziman.. 


Tautan jiwa menoktah gejolak pertanyaan yang bermain di minda selama ini, muncul bersama hembus nyaman semilir damai perasaan meskipun terkadang meresahkan fikiran. Susah untuk diterjemah dengan perkataan kehadiran perasaan luar biasa yang aku rasakan. Ajaibnya, lena yang selama ini sering berselindung di balik malam, mula menampakkan wajah. Mimpi mula menemani tidur.. indah dan mengasyikkan.. Acapkali, tatkala bangkit dari peraduan, wajah itulah bermain di birai mata dan ada di mana-mana! Terus sanubari dipagut rindu! 


Terima kasih Allah, menghadirkan rasa ini dalam hidup seorang Zahizan. Manifestasi rindu yang tidak berpenghujung menzahirkan rasa cinta sayang yang sukar aku ungkapkan. Terima kasih duhai insan istimewa yang bertakhta di hati kerana berjaya menyimpan hatiku dalam hatimu. Semoga ikatan hati dan jiwa menjadi ubat untuk menyuntik semangat dalam kehidupan kita berdua.. Biarlah kita bahagia dengan cara sendiri, dan menyisip ketenangan diiringi keikhlasan demi menyulam kebahagiaan di dunia sementara ini. Mudah-mudahan rasa ini terus dekat dan lekat di jiwa kita selamanya.. 🌹🌹🌹


Dalam diam aku berdoa agar rasa ini terus membara dan menyala menjadi penawar di hati kita ❤️ Aamiin.. Dan sekiranya ini sekadar mimpi semata-mata, aku mahu terus bermimpi dan tak ingin bangun daripada lena sampai bila-bila..