Akhirnya aku tahu.. Begini rupanya bila disapa rasa halus kerinduan dipeluk erat ingatan penuh kesyahduan, dibelai indah rasa cinta kasih yang tidak berpenghujung yang membuai rasa sayang. Tak pernah aku bayangkan berserinya dunia sebegini. Sesekali, aku cubit diri sendiri cuba menyedarkan aku daripada mimpi dan anganan namun masih aku tidak terjaga. Benarlah, ia bukan fantasi alam igauan tapi realiti yang amat aku syukuri.. Syukur, Allah izinkan aku merasai detik indah sebegini meskipun ia hadir agak lewat dari kelaziman..
Tautan jiwa menoktah gejolak pertanyaan yang bermain di minda selama ini, muncul bersama hembus nyaman semilir damai perasaan meskipun terkadang meresahkan fikiran. Susah untuk diterjemah dengan perkataan kehadiran perasaan luar biasa yang aku rasakan. Ajaibnya, lena yang selama ini sering berselindung di balik malam, mula menampakkan wajah. Mimpi mula menemani tidur.. indah dan mengasyikkan.. Acapkali, tatkala bangkit dari peraduan, wajah itulah bermain di birai mata dan ada di mana-mana! Terus sanubari dipagut rindu!
Terima kasih Allah, menghadirkan rasa ini dalam hidup seorang Zahizan. Manifestasi rindu yang tidak berpenghujung menzahirkan rasa cinta sayang yang sukar aku ungkapkan. Terima kasih duhai insan istimewa yang bertakhta di hati kerana berjaya menyimpan hatiku dalam hatimu. Semoga ikatan hati dan jiwa menjadi ubat untuk menyuntik semangat dalam kehidupan kita berdua.. Biarlah kita bahagia dengan cara sendiri, dan menyisip ketenangan diiringi keikhlasan demi menyulam kebahagiaan di dunia sementara ini. Mudah-mudahan rasa ini terus dekat dan lekat di jiwa kita selamanya.. 🌹🌹🌹
Dalam diam aku berdoa agar rasa ini terus membara dan menyala menjadi penawar di hati kita ❤️ Aamiin.. Dan sekiranya ini sekadar mimpi semata-mata, aku mahu terus bermimpi dan tak ingin bangun daripada lena sampai bila-bila..
No comments:
Post a Comment