Sunday, September 21, 2025

Bila Rindu..

Rindu merupakan emosi kompleks yang dirasai oleh setiap manusia. Perasaan rindu muncul disebabkan oleh rasa kehilangan eratnya hubungan yang dibina akibat berjauhan atau perpisahan yang menerbitkan rasa kosong di ruang hati. Kita cenderung merasa rindu kepada seseorang yang meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan seperti senyuman manis atau perhatian mesra serta tindakan positif yang melekat kuat dalam fikiran. Rasa rindu boleh dianggap sebagai tanda penghargaan kepada seseorang yang telah meninggalkan kenangan manis kepada kita. Perasaan rindu tidak boleh dizahirkan hanya melalui mata kasar sebaliknya dirasai dan dijiwai oleh empunya diri. Ia sukar diterjemahkan dalam bentuk kata-kata sebaliknya hanya difahami oleh mereka yang melaluinya (YTJT).

Perasaan rindu merupakan anugerah yang diberikan oleh Allah SWT sebagai penghargaan kepada insan istimewa dalam pelbagai lapisan latar hidup setiap manusia, agar kita sedar hakikat hidup yang bersifat sementara semata-mata. Setiap orang berhak dihargai dengan cara tersendiri. Jelasnya, rindu merupakan perasaan yang muncul akibat gabungan memori indah dan keinginan untuk mengabadikan kenangan dalam sanubari manusia. Namun, perasaan rindu yang kuat kadangkala menimbulkan natijah negatif apabila tidak berjaya dikawal dan akhirnya menguasai perasaan secara berlebihan. Kehilangan insan tersayang yang sukar diterima sebagai contoh, menghadirkan rasa rindu kronik dikatakan boleh memusnahkan keyakinan hidup seseorang dan meruntuhkan kewajaran akal fikiran.

Jelasnya, semua perkara seharusnya dijalani secara sederhana. Ketika rindu bergelora membadai rasa, tariklah nafas panjang dan berfikirlah dengan kewarasan akal agar kehidupan boleh dilalui dengan penuh kedamaian dan ketenangan. Buat insan yang sentiasa terpahat dalam ingatan, meskipun bicara tidak dizahirkan, dikau selalu ada dalam setiap doa yang ku titipkan. Salam rindu di angin lalu buatmu.. 🌹❤️

No comments: