Aku sukakan pelbagai genre lagu. Selain melodi indah yang menjadi halwa telinga, lirik lagu memainkan peranan tersendiri bagi menyampaikan maksud yang tersirat. Justeru, menghayati dan mengamati setiap patah kata, frasa dan klausa dalam bait-bait yang didendangkan menjadi kesukaan ku. Setiap irama yang dilagukan adakalanya seolah-olah mentafsir perasaan serta menterjemahkan perubahan suasana hati yang dialami. Apatah lagi apabila disenandungkan oleh penyanyi pujaan.. maka hanyutlah aku dalam khayalan yang tak bertepi. Parah ni..!
Dua tiga menjak kebelakangan ini, ada seorang sahabat sering berkongsi lagu menerusi Telegram kepada ku. Variasi lagu-lagu indah yang diberikan pula sarat dengan makna dan seni lagu melankolik, semakin menyerikan hari-hari yang ku lalui.. Sesekali irama romantis dalam lagu yang dikongsi mengusik dan membelai kalbu, melontar aku ke daerah sunyi dalam hati membuai perasaan (dan perasan!) ku, lantas menjentik jiwa kembali bernyawa. Terdetik juga dalam hati, apakah ada maksud di sebalik lagu yang diperdengarkan atau sekadar hiburan mengisi masa senggang?
Apapun, jutaan terima kasih kepada sang pengirim yang berjaya mewarnai kanvas hati ini. Hidup kini terasa berseri dan jiwa dipenuhi kegembiraan yang sudah lama menyepi. Semoga setiap hari yang dilalui membuka jalan kebahagiaan dan ketenangan buat semua.. Dengarkanlah lagu yang membina motivasi dan menyuntik keceriaan ketika diuji dugaan. Salam sayang buat sahabat budiman.
#penawardihati ❤️
No comments:
Post a Comment