Semalàm hujan di Iskandar Puteri. Mujur ketika aku hampir berangkat pulang hujan mulai reda dan perlahan-lahan menghentikan tangisan. Perjalanan pulang agak lancar meskipun banyak kenderaan di jalanan. Bertemankan lagu-lagu merdu mendayu, aku memandu pulang dengan tenang sehingga ke laman Pulai Indah yang permai. Sebaik tiba, seperti biasa aku parkir kereta dengan selamat. Pada masa yang sama, ada sebuah kereta diparkir betul-betul di depan rumah.
Sebaik keluar kereta, aku dikejutkan dengan jeritan suara kecil memanggil namaku. Izan! Aku amati sosok di hadapanku. Spontan kami berlari dan berdakapan. Lama.. menitis air mata kerinduan dek kerana begitu lama tak bersua. Alhamdulillah, aku dikunjungi Khairulnisak, sahabat serumah dan satu sekolah ketika zaman awal aku memulakan karier di SMK Munshi Abdullah, Kulai lebih 20 tahun lalu.
Figura Nisak jauh berbeza daripada yang ku kenali dulu. Mungkin kesan langsung proses haemodialisis yang dilalui menyebabkan perawakannya menjadi semakin kurus mengecil. Dulu, Nisak seorang jaguh di padang. Sebagai guru PJPK yang aktif, beliau tak pernah culas menjaga kesihatan ~ bersenam dan menjaga pemakanan. Namun telah tertulis, satu hari Nisak jatuh sakit dan terlantar di hospital. Matanya bertukar kekuningan dan demamnya lama tak kunjung kebah. Paling mengejutkan apabila doktor mengesahkan kedua-dua ginjal Nisak mengecut dan gagal berfungsi!
Tak lama, Nisak berjaya dalam permohonan pertukaran ke Negeri Sembilan meskipun berasal dari bumi Darul Aman. Menjalani terapi dialisis air sebelum menjalani dialisis darah, semangat juang Nisak amat tinggi. Meskipun tak lagi ke padang, berlari lincah di dalam gelanggang beliau masih meminjamkan kemahiran sukan melatih anak didiknya. Tabik hormat aku buat sahabat yang tidak pernah lekang menguntum senyum menerima takdir dengan jiwa yang terbuka. Semoga Allah sentiasa melindungi beliau dan mempermudah segala urusannya dunia dan akhirat. Aamiin ya Rabbal Alamin.. Aku sayang hang, Nisak! 😢
No comments:
Post a Comment