Friday, January 31, 2025

Mimbar Al-Madani

Jumaat yang tenang membawa kedamaian yang sukar ditafsirkan. Setiap kali azan solat Jumaat berkumandang, hati aku pasti dipagut sayu. Pelbagai peristiwa bersejarah berlaku dalam hidupku berkait hari Jumaat. Antara yang terpenting ialah pemergian arwah abah ke pangkuan Ilahi 16 tahun lalu. Terasa baru semalam abah pergi meninggalkan kami..  Al-Fatihah buat hero pujaan hatiku, Haji Hasrin bin Anas.

Dalam keheningan penghulu segala hari ini, tiba-tiba ingatan ku terbang ke Surau Al-Madani. Alhamdulillah semenjak diisytiharkan sebagai musolla,  setiap Jumaat surau kami dimakmurkan dengan kehadiran jemaah menunaikan kewajipan solat fardhu Jumaat di sana. Nampaknya hari ini merupakan giliran Encik Hairul dan Cikgu Omar bertugas selaku Imam dan Bilal. Alhamdulillah, kedua-dua figura ini amat ku hormati kerana kewibawaan dan kehebatan mereka. Terbayang di birai mata wajah-wajah sahabat kesayangan yang aku kagumi. Semoga Allah sentiasa memelihara mereka yang sentiasa membantu dan memudahkan tugas sepanjang aku menerajui sekolah ini.

Sebut tentang Surau Al-Madani, sebenarnya aku menyimpan hasrat untuk melihat sendiri mimbar yang kami beli daripada SK Medini. Urusan pembelian mimbar tersebut ku urus secara langsung dengan GB Johari dan YDP PIBG. Teringin betul ku tatap dan ku sentuh mimbar cantik yang digunakan khatib di musolla kami. Sebaik aku boleh berjalan ke sekolah nanti itulah antara perkara pertama yang ingin aku lakukan.  Menatap gambar-gambar yang diambil pasti tidak sama dengan melihat di depan mata kan.. semoga Allah mengabulkan hasrat ku yang satu ini. InsyaAllah.. Salam Saiyyidul Ayyam semua. Semoga dipermudah segala urusan kita semua di dunia hingga ke akhirat sana.. Aamiin..


Wednesday, January 29, 2025

Biasa Tak Semestinya Betul..

 Kita kerap dihidangkan dengan kata-kata 'biasakan yang betul: betulkan yang biasa', bukanAda banyak rentetan peristiwa yang membawa kepada sejauh mana frasa ini relevan dalam kehidupan harian seorang Zahizan. Bagi aku, kebanyakan masa ia berkisar tentang tatacara kerja yang menjadi sebahagian rutin kehidupanku khasnya di ruang lingkup tugas ku di pejabat dan di sekolah. Namun, hari ini hati aku dijentik rasa berdosa dan bersalah sebaik menonton satu klip video Tik Tok yang dikongsi oleh sahabat baikku, En Hairul kerana ia jelas menunjukkan contoh bahawa yang biasa itu tak semestinya betul..



Dalam klip video yang dimuat naik oleh Demi Rakyat Channel atau  demirakyatch yang berdurasi 1 minit 30 saat itu, penonton disajikan dengan asal usul amalan Yee Sang sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Lazimnya, ketika amalan Yee Sang, terdapat 7 jenis makanan berwarna dihidang sebagai simbolik menandakan hari semua manusia diciptakan di dunia oleh seorang Dewi. Ia merupakan kepercayaan yang diwarisi oleh nenek moyang berbangsa Tionghua. Meskipun nampak simple kerana ia merupakan mitos yang diwarisi zaman berzaman, secara tidak sedar, ia melibatkan akidah dan kepercayaan umat Islam yang tidak sewajarnya dikesampingkan. Selama ini, aku biasa melihat amalan Yee Sang dilakukan oleh rakan-rakan beragama Islam dan tidaklah aku sangka ia sebenarnya membawa impak besar yang menjejaskan syahadahku sebagai muslim. Allahu Akbar!


Usai menonton, rasa gerun dan takut menyerbu tangkai hati. Alangkah malu dan berdosanya aku kerana tidak menyelidiki hal ini sebelum ia dilaksanakan semasa sambutan di sekolah tempohari. Sebagai ketua, sudah pasti aku bakal ditanya dan dipertanggungjawabkan di sana kelak. Takutnya aku!! Tak tertanggung dosa yang sedia ada.. jangan pulak aku disabitkan dengan dosa besar kerana menyekutukan-Nya. Dengan deraian airmata, pantas ku dirikan solat taubat menyerahkan sepenuh hati dan jiwaku yang lemah ini kepada Yang Maha Pencipta.


Ya Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Pemgampun.. ampunilah aku dan sahabat-sahabat ku. Aku cuai.. aku lalai.. Maafkan aku duhai sahabat yang aku kasihi.  Mari kita sama-sama bertaubat seikhlasnya agar Allah mengampuni kita asbab kejahilan ku ini. Ya Allah.. izinkan aku ke syurgaMu bersama-sama mereka yang aku sayangi.. Demi Allah, sesungguhnya aku bertaubat yang sebenar-benarnya.. 😭😭😭

..tika jemari kembali menari..

Aku betul-betul bingung.. Entah kenapa hasil karya ku kali ini kena banned daripada disiarkan di blog sendiri. Coretan ini adalah karya asli aku yang tak diciplak atau diterbitkan di mana-mana. Setiap patah kata yang dinukilkan lahir secara spontan tatkala aku melayan rasa kecewa dengan diri sendiri tempohari.. Dek kerana aku memang nak sangat simpan karya ku yang satu ini, maka aku siarkan  semula sebagai rakaman kenangan tika aku menzahirkan kekecewaan hati dengan mencurahkan bait-bait kata melalui dunia penulisan yang ku cintai. Aku harap kali ni karya ku tidak di block lagi. Tak baik tau menyekat kreativiti penulis picisan macam aku ni.. 🥺


Mendung hari di kabut awan
Awan semilir di senjakala 
Pilu hati tak mampu ku lawan 
Di wajah terzahir hati melara

Rembulan sembunyi di malam sepi
Pungguk rindu berlagu syahdu
Terkepung sunyi tiada bertepi 
Menahan sendu menahan sayu

Unggas di rimba sahut-sahutan
Fajar menjelma embun menitis 
Hati hiba tiada tertahan
Dipeluk hampa bicara menghiris

Dinihari menjelma sudah
Ombak rindu menghempas pantai
Kolam mata ku biar melimpah
Gundah pilu jiwa tak damai

Resah hati dipagut nestapa
Bayu berhembus menyapa pipi
Ingatan mati budi dilupa
Hilang terkambus dibawa mimpi

~Izan Hasrin~
17012025


Tuesday, January 28, 2025

Limpah KasihMu

Alhamdulillah tak henti-henti lafaz kesyukuran ku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana semenjak hari aku pulang ke rumah, aku didatangi ramai sahabat, handai taulan dan saudara mara yang sentiasa memberi sokongan moral untuk kesembuhan ku. Pada aku, ini adalah satu bentuk rezeki yang Allah hadirkan kepada insan kerdil seperti aku. Sebenarnya sejak dari Hospital Temenggung Sri Maharaja, Kulai lagi aku mula menerima pelawat. Rakan-rakan dari Tasek, Medini, Gelang Parah, rakan-rakan masjid, juga saudara mara datang bersilih ganti bertanya khabar tentang perkembangan ku. Yang jauh turut bertanya khabar, mengirimkan pesan dan menitipkan doa untuk kesembuhan diriku. Syukur, Alhamdulillah. Aku dikelilingi kasih sayang yang tak kunjung hilang. Terima kasih Allah memberikan rezeki ini kepada insan seperti ku. Engkaulah tempat ku bergantung harap dan tempat ku memohon perlindungan..


Saturday, January 25, 2025

Ya Allah.. sakitnya!

MasyaAllah, Subhanallah.. tak tertanggung rasa bisa di kaki selepas ubat bius mula menghilang. Sepanjang malam aku mengerang kesakitan.. ubat tahan sakit seolah-olah tidak memberi kesan kepada penderitaan yang ditanggung.. Allah.. gugur juga air mata melawan kesakitan yang sukar ku gambarkan dengan perkataan.


Semenjak pulang ke rumah usai urusan discaj tempohari, ramai tetamu datang menziarah. Aku sedaya mungkin menahan kesakitan dengan senyuman namun memang tak mudah.. sebaik tetamu pulang pasti aku merintih dan berguling menahan sakit. Ya Allah, bantulah hambaMu menghadapi kesukaran ini. Permudahkanlah urusan pemulihan ku dan janganlah aku dibiar sendirian. Hanya Engkau sebaik-baik pelindung.. wahai Tuhan yang Maha Mengasihani. Aamiin..

Friday, January 24, 2025

Bersabarlah Zahizan..

23 Januari 2025 ~ tarikh yang pastinya tidak akan luput dari ingatan selagi hayat dikandung badan. Seperti biasa jam 4.30 pagi aku terjaga, bingkas bersedia membersihkan diri dan bersedia memakai baju pembedahan sebagaimana diarahkan jururawat bertugas. Meskipun sukar, aku gagahkan diri ke bilik mandi menaiki kerusi roda milik hospital. Selesai, aku kembali ke katil mendirikan solat tahajud dan solat hajat sementara menanti azan subuh berkumandang.

Sejak jam 2 pagi aku diminta berpuasa. Tak boleh makan dan minum sebagai persediaan masuk ke dewan bedah. Aku dimaklumkan akan menjadi pesakit ketiga yang bakal dioperasi hari itu. Hazana, pesakit di sebelah katil pula mendapat giliran keempat. Namun begitu, menjelang jam 1.30 tghari, Hazana dipanggil dahulu. Giliranku menyusul jam 2.30 petang.  

Penuh debaran, aku ditolak ke dewan bedah oleh dua orang jururawat. Tiba di sana aku diperkenalkan dengan doktor bius bertugas. Menerima suntikan gabungan Spina-Epidura (CSE), akhirnya bahagian bawah badan menjadi kebas sepenuhnya. Aku meniarap sepanjang pembedahan. Betapa aku bersyukur apabila ditemani nurse dan doktor yang sangat baik dan membantu aku selesa sepanjang proses pembedahan. Alhamdulillah.. Usai 3 jam pembedahan, aku ditolak ke bilik x-ray sebelum kembali ke katil 11 Wad 4 Sri Kandi. Di luar dewan, aku disambut oleh kakakku yang setia menanti bersama sahabat-sahabat Tasek, Ckg Azlina & Hajah Sharifah bersama Tuan Haji Zakaria YDP PIBG SMK Tasek Utara. 

Pakar ortopedik menyebut bahawa aku mengalami Chronic Tendon Achilles Rapture yang menyebabkan tendonku koyak teruk dan terputus. Syukur, gentian fiber dan skru yang digunakan sebagai gantian tendon disambung dengan baik. Jam 10 malam, aku mula merasakan kesakitan yang amat setelah ubat bius mula menghilang. Sakit yang dirasakan bukan kepalang! Sepanjang malam aku tak berupaya melelapkan mata kerana menanggung bisa yang luar biasa.  Kesian aku lihat Kak Gee yang bersengkang mata menjaga adiknya yang merengek sehingga dinihari. Terima kasih kakak kesayangan kerana menjaga aku penuh kasih sepanjang tempoh ini. Akan ku semat kenangan ini sebagai memori yang tidak akan ku lupa selagi hayatku masih ada.

Wednesday, January 22, 2025

Moga Baik-Baik Saja..

Hari ni menjadi antara hari yang penting dalam hidupku. Susah untuk ku jelaskan betapa kuatnya debaran yang aku rasakan. Setiap saat yang berlalu semakin mendekatkan aku dengan detik pembedahan yang bakal aku lalui. Aku sendiri pun sebenarnya musykil.. apa yang nak aku gentarkan.. ini bukan pertama kali aku bertarung dalam dewan pembedahan. Entah, aku pun tak faham mengapa rasa cemas ini tak kunjung padam dari benak fikiran. Sedangkan sepanjang 48 tahun aku hidup, aku memang seorang yang berani mendepani sebarang cabaran. Pantang aku menyerah sebelum berjuang. Risk taker kata orang.. Mungkinkah dengan bertambahnya usia, aku mula berubah menjadi orang yang overthinking? Tak mustahil juga..


Jauh di sudut hati, aku dah boleh agak sebab sebenar perasaan yang aku rasakan ini. Aku sebenarnya bimbang andai ada komplikasi pembedahan kali ini. Apa akan jadi kepada anakku sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini kepada Mommy? Sebak dada mengenangkan pandangan sayu  Ain tatkala menghantar ku pergi tadi.. Allah! Aku mesti kuat mendepani takdirku esok. Demi Ain, demi mak.. aku takkan mudah putus asa. Gemuruh tu biasa, gentar pun biasa.. insyaAllah aku akan melaluinya dengan baik-baik saja. Yang penting aku tak sabar nak berlari apatah lagi bila dapat kaki bionik nanti 😂 Setidaknya, itulah penawar mengurangkan gerun yang tak mahu hilang. Bantu aku Ya Allah.. kerana Engkaulah sebaik-baik pelindung. Aamiin..


Tuesday, January 21, 2025

Dekat di Hati ❤️

Aku sebenarnya tak bercadang nak ke sekolah hari ni. Perancangannya, aku nak rehatkan diri kat rumah, bertenang-tenang  memandangkan esok aku perlu menyerah diri kat Hospital Kulai sebelum menjalani pembedahan Khamis, 23 Januari nanti.  Namun sebaik dihubungi Kaunselor PPD yang ingin berbincang tentang program yang bakal dilaksanakan pada sesi akan datang, aku mengalah.. ke sekolah lah juga aku akhirnya.

Entah kenapa, berada di persekitaran sekolah memang sentiasa membawa keterujaan buatku. Ada-ada saja yang nak diselesaikan. Kali ini aku janji dengan Kakak nak stay separuh hari je.. jadilah! Sebaik selesai mengemas pejabat yang bakal ku tinggalkan, aku menerima kunjungan mesra rakan-rakan pengetua JB. Alhamdulillah, sudi mereka bertanya khabar dan menziarahi aku. Terharu rasanya dilawati rakan-rakan mewakili MPSM Johor Bahru. 

Syukur kepadaNya, aku dikelilingi insan-insan baik yang mulia hatinya. Tak putus-putus sahabat bertanya khabar dan menitipkan doa. Semoga Allah mempermudah urusan sahabat-sahabat yang ku sayangi dan memelihara mereka sebaiknya. Aamiin ya Rabbal Alamin ❤️

Monday, January 20, 2025

Menuju Garis Akhir!

Jam 8 pagi tadi, aku ada temujanji di Hospital Sultanah Aminah JB. Sepanjang malam aku keresahan memikirkan apa agaknya keputusan yang bakal ku terima ~ confirmation sama ada aku layak dibedah atau tidak pada 23 Januari ini benar-benar meresahkan. Seawal jam 6.45 pagi aku dah bergerak ke HSA. Ditemani kakakku, kami menuju ke sana menaiki Pak Itam, kuda ku yang telah lama beristirehat disebabkan kecederaan tuannya. Sebelum jam 8 kami sampai ke perkarangan hospital. Barisan pesakit yang sangat panjang menyambut kehadiran kami. Mujurlah kecekapan pegawai di kaunter pendaftaran mempercepat proses ke peringkat seterusnya.

Bertemu Dr Atiqah yang mesra sedikit sebanyak menghilangkan gugup dan gemuruh di dada. Tenang meneliti laporan kesihatan ku, beliau memintaku membuat ujian dalam darah untuk memastikan paras gula dalam darahku terkawal. Selesai, aku diminta melalui proses pemeriksaan ECG. Alhamdulillah kali ini aku lulus semua ujian tanpa banyak halangan. Terus aku diminta ke klinik anestetik berjumpa pakar bius yang sangat peramah dan informatif. Beliau menerangkan proses yang akan kulalui ketika pembedahan kelak. Sedikit kebimbangan ku meluntur sebaik mendengar penjelasan doktor cantik yang mesra itu.

Proses akhir ialah penentuan tarikh pembedahan. Tidak henti-henti aku memanjatkan kesyukuran kerana akhirnya doktor menetapkan 23 Januari sebagai tarikh pembedahan ku. Penantianku bakal berakhir.. yang penting aku ingin cepat sembuh dan kembali ke rutin harian ku yang sibuk. Meskipun sedikit terkejut kerana pembedahan bakal dilaksanakan di Hospital Kulai, aku berterima kasih kepadaNya kerana mengabulkan doa-doa ku dan mereka yang mendoakan kesihatan ku. Paling istimewa dan mengharukan, kakak kesayangan setia menemaniku sepanjang proses ini 😭🥲 Terima kasih Allah Yang Maha Mengetahui. Aku serahkan diriku dan takdirku hanya kepadaMu. Alhamdulillah untuk semuanya 🥺

Redha & Redah..

Semenjak pergerakan ku terbatas, banyak aktiviti yang terpaksa ku tangguhkan kerana ketidakupayaan ku. Paling aku terasa, apabila aku tak dapat memandu. Selalunya bila kedamaian hati teruji, aku akan capai kunci kereta dan memandu jauh sehingga tekanan tidak lagi ku rasai. Pada ku, memandu adalah satu terapi.. Namun bila kaki kanan tak mampu digerakkan ke atas bawah, aku terpaksa akur dengan hakikat bahawa Pak Itam terpaksa aku rehatkan. Adakalanya terasa sebal juga perasaan tapi mahu atau tidak aku redha akan ketentuan yang tertulis.

Pernah beberapa kali aku bertanya kepada diri, kenapa aku diuji begini, di saat ini.. meskipun jawapannya telah aku ketahui, tetap juga persoalan yang sama bertimbal balik di dalam minda. Teringat aku pesanan Kak Suliah, jangan ditanya soalan yang tiada jawapannya.. Betul, aku pun sedia faham. Allah uji tanda Allah sayang. Ada pelangi yang akan diberi sesuai sesuatu ujian. Cuma, rusuh jiwa ini susah nak ditafsirkan. Lepas satu, satu ujian mendatang. Selama ni aku berusaha bersikap tenang meskipun air mata berderai bila bersendirian. Kali ni, beberapa kali aku tewas dalam emosi tak bertepi.

Betapa tidak.. dalam keterbatasan pergerakan begini, terasa aku menyusahkan ramai insan sekeliling. Meski mereka sentiasa membantu dengan ikhlas, aku sukar menerima kenyataan kebergantungan yang memeritkan. Mungkin ada benarnya kata En Hairul. Aku belum move on dengan apa yang berlaku.. berat mata memandang, berat lagi bahuku yang menyandang. Aku benar-benar ingin cepat sembuh agar tidak lagi aku menyukarkan kehidupan insan kesayangan. Ya Allah kurniakan aku kesembuhan. Cabutlah keresahan yang aku rasakan dan benamkanlah kesedihan yang aku pendamkan.. Bantulah aku menghadapi kehidupanku ini dan janganlah Engkau meninggalkan ku sendiri. Hanya kepadaMu ku mohon pertolongan.. Aamiin ya Rabbal Alamin 🥺 

Saturday, January 18, 2025

Let It Go!

Being in love with someone you cannot have is a bitter sweet ache that lingers at the corner of your heart. It is really hard to wake up with the person in your mind and falling asleep with the thought of what could happen the next day. Plus, when you know that your heart is always pulled towards them, realizing how deep you care for the person, the real circumstance does not really align with the reality. The best part is, you will always wanting and hoping the best for them even if they are not with you. The feeling of both pride and pain upon seeing them happy would somewhere makes it hurt when you learn that their happiness does not include you. 

Being in love with someone you cannot have actually teaches you not only  about patience, perseverance and longing, but also the strength to let go.. It is a quiet, tough battle between either to hold or to accept the fact and everyday becomes a test of resilience. It makes you realize that love is actually an exclusive feeling because even in a heartbreak situation, you will need to accept the truth that no matter how complicated you have to go through, LOVE is always a wonderful feeling you need to cherish and pursue.

So, open up your heart and be thankful for the love that you experienced, always. And for the love that you cannot have? Just let it go.. 😭💋❤️

Thursday, January 16, 2025

Elegi Hati Melara

Tercalar pedih, luka parah bak dihentam kecewa yang tidak bertepi. Itulah gejolak rasa yang aku rasakan saat ini. Kesakitan yang aku pendam sekian lama seolah-olah menikam terus menerobos jantung perasaan hingga mengoyakkan kekuatan jiwa yang ku kumpul selama ini. Tak tahu aku nak mula dari mana kerana di setiap sudut yang aku pandang terasa kabur dengan rembesan cecair hangat yang memenuhi kolam mata. Semakin lama gerimis yang melanda menjadi hujan lebat  membasahi laman hati yang sepi . Semuanya asbab kejadian petang tadi yang berjaya mengusir jauh kedamaian hati ke lembah kesedihan yang teramat.

Kebetulan, hari ni aku pulang agak lewat. Menumpang kenderaan Suhana untuk pulang ke sarang, aku menyiapkan tugasan yang belum selesai. Ketika itulah aku didatangi seorang rakan sekerja meminta tandatangan Ketua Jabatan sebagaimana rutin seharian. Sambil itu, sempat kami bersembang kosong tentang kehidupan. Rentak perbualan kami tiba-tiba berubah apabila aku ditanya tentang keadaan kakiku yang masih berbalut bandage. Aku sebutkan tentang kekhuatiran aku menjalani pembedahan selepas ini. Entah mengapa, rakan ku tadi menyebut tentang kifarah, balasan disertai beberapa ayat yang amat mengguris hati..

Terasa hina-dina aku di mata sahabat itu. Ternyata permohonan maaf yang aku hulurkan dahulu tidak diterima bahkan disimpan sebagai dendam. Setiap butir perkataan yang diucapkan terasa bagai hirisan  sembilu yang melukakan perasaan. Apakah tiada nilai kebaikan yang aku lakukan di mata kalian selama ini? Emosi duka terbawa-bawa dalam benak fikir yang tidak berpenghujung. Jika kecederaan yang aku alami ini merupakan balasan atau kifarah keterlanjuran tindakan ku kepada rakan-rakan seperjuangan, ampunkanlah aku ya Allah.. aku tidak pernah berniat menyakitkan hati sesiapa sepanjang aku hidup di atas bumiMu ini. Semoga aku menjaga lisan dan hatiku agar tugasku diterima sebagai ibadah kepadaMu. hanya kepadaMu aku serahkan takdir hidupku.. Aamiin ya Rabbal Alamin 🥺



Wednesday, January 15, 2025

Share and Stare

When it comes to WORK, I would rather define myself as a workaholic yet committed employee. I love being at my workplace as it gives me the sense of serenity and peace, to be honest. Since I was young, despite all hinders and obstacles faced, being surrounded by bunch of wonderful colleagues always makes my day. I enjoyed hanging out with my friends, exchanging stories in unstoppable giggles and laughter at any point I found funny.

However, once I was appointed as the Principal of this notorious school, life has changed as I started to see things in different perspectives. At times, I was easily drawn in complicated circumstances when I found out that there are people tried to perform things against the decision I made despite their obedient appearance. For me, it was kind of backstabbing me violently but in silence. It is my hope that I can hold back and not bursting out my emotions by keeping myself calm and poise but it was not an easy act, tho (sigh!) 😏

May Allah guides and grants me with patience and perseverance to overcome all the challenges I faced. May all the hiccups surpassing me in the blink of my eyes and not jeopardizing my wonderful, hectic life. Aamiin.. 🌹



Friday, January 10, 2025

Kenangan Satu Sore

Pening.. mual.. sejuk seluruh tubuh usah dikata. Menjelang Asar, keringat halus muncul bersama degup jantung dengan irama pelbagai rentak yang menyesakkan dada. Hypo! Perkara pertama yang terlintas di benak fikirku cukup membuatkan akal hilang kewarasan seketika. Pantas aku mencapai mesin pengimbas kandungan gula. Terpapar angka yang menambah kegelisahan. Sangkaan ku benar rupanya!


Tanpa berlengah, aku hubungi kekanda PK Pentadbiran meminta nasihat. Hajah minta aku ambil makanan manis untuk meredakan keadaan. Bingkas aku panggil emak, minta bantuan menyediakan minuman Malta tanpa gula. Kelam kabut emak sebaik melihat wajahku berubah pucat dan tanganku menggigil tidak keruan. Sepantas itu juga, Ain menerpa dan memeluk untuk meredakan keadaan. Alhamdulillah, sebaik minuman enak buatan emak mengalir hangat ke kerongkong, aku mula stabil semula. Alangkah lega sebaik bacaan gula yang terpapar di skrin kembali normal. 


Jutaan terima kasih diucapkan buat kekandaku Hajah Hazizah asbab berjaya menjadi penyelamat ku hari ini. Sekujur badan yang terasa dingin kembali hangat dan jantung mula menari mengikut ritma yang kurang rancak berbanding tadi. Syukur kepadaMu ya Rabbi.. Alhamdulillah.

Demi Masa

Sepanjang ketidakupayaan yang membataskan pergerakan ku ini, tidak dapat tidak aku terpaksa bergantung kepada bantuan orang sekeliling untuk ke mana-mana. Jauh di sudut hati, sememangnya inilah antara ketidakselesaan yang perlu aku depani. Bagi orang yang terbiasa berdikari, situasi ini memang sangat meresahkan. Apatah lagi bagi orang macam aku yang sentiasa bergerak. Semua nak laju.. tindakan mesti tangkas dan pantas.. Pada aku masa yang ada amat bernilai untuk dibazirkan. Procrastination is the thief of time kata omputih. Mungkin kami berlima dah terbiasa dengan resmi anak tentera. Semuanya nak cepat.. Entahlah..

Namun, dalam ketidakmampuan aku seperti sekarang ini, aku terpaksa reda dan beralah dengan sikap sambalewa dan ambil mudah segelintir insan yang sudi meminjamkan bahu untuk aku bersandar. Janji yang melibatkan MASA sering 'dicapati' bukan ditepati. Seringkali aku merasa kecewa apabila janji yang dibuat tidak ditunaikan. Janji pukul 7 sudahnya sampai jam 8 masih belum terpacul lagi.. aduhhhh.. bisanya sangat menikam hati. Apa taknya, kalau aku pula, janji jam 7 pukul 6.45 aku dah brrsedia. Melekat kuat di fikiranku pesanan arwah abah tentang self respect sejak zaman remaja ku dulu. Biar kita menunggu jangan kita yang ditunggu. Jangan lewat sebab masa tu umpama JANJI. Satu tanda orang munafik ~ mungkir bila berjanji. Tu abah aku laaa.. abah orang lain mungkin lain pesanan penajanya 😂

Apapun dalam keadaan ni terpaksalah aku bersabar. Menyembunyikan bias kecewa yang berkocak hebat dalam kolam perasaan memang bukan mudah. Tapi, apa lagi pilihan yang aku ada? Sabar tau Zahizan.. Cepatlah balk ya kaki.. nanti kita boleh gerak sendiri, tak perlu bergantung kat sesiapa lagi! 🥺

Thursday, January 9, 2025

The Power of Love

I felt overwhelmed by how people treated me once I was discharged from the notorious yet prestigious hospital last week. It was really mixed of feelings that I could never able to explain in words to express how grateful I am to be loved in such way. I feel blessed and thankful at the same time. Despite my restricted mobility, I was given vast opportunity to still go to school and spend time with my colleagues. Although it cuts me really deep when I really had to struggle to find ways to reach out to certain situations, for me it is a blessing in disguise. What more when I feel appreciated by people around me who taught me a lot of values.


Love is the answer to all my curiosity. Even it is ambiguous, unseen and hidden, I could feel people's sincerity whenever I was surrounded by genuine people who loves me unconditionally. Certainly, to find truthful people is really hard at this time but I am one lucky person who is always be bestowed with good soul around. What more do I need in this life? Life is too short for us to mourn and regret. So, wake up and cheers, mate! 🥰

Wednesday, January 8, 2025

Pasrah Mengalah

Seminggu berlalu semenjak kejadian urat kaki kanan ku putus di sekolah - kejadian mengejutkan dan tidak terjangkau dek akal yang berlaku secara tiba-tiba kepada diri ku. Kesakitan semakin lama semakin kuat dirasai.  Ubat tahan sakit seolah-olah tidak lagi memberi reaksi yang aku harapkan. Allahu Akbar! Ada ketikanya aku dihantui perasaan gementar yang teramat tatkala mengenangkan pembedahan yang bakal aku jalani. Manakan tidak, setelah sekian banyak siri pembedahan yang aku lalui,  pengalaman fasa pemulihan terasa masih tidak dapat aku lupakan. Ngilunyaaa..

Esok, dengan bantuan sepupu yang ku kasihi, Dr Hanani, aku akan ke HSA bertemu pakar Ortopedik untuk melihat apa agaknya rawatan yang perlu untuk memulihkan kaki kanan ku ini. Mudah-mudahan aku ditahan dan terus dirawat sewajarnya. Penat rasa menahan sakit aku benamkan jauh-jauh dari benak fikiran. Seboleh mungkin aku tidak berkongsi kerisauan dan keresahan yang aku fikirkan dengan sesiapa jua. Biarlah semua ku tanggung sendiri.. 

Ya Rabb, anugerahkanlah kesabaran dan ketenangan sepanjang aku melalui setiap mehnah dan ujian-Mu. Peliharalah mereka yang membantu & mendoakan ku dengan keikhlasan  & ketulusan mereka. Berilah kesihatan yang baik kepadaku dan mereka yang aku kasihi dan mengasihi ku. Permudahkanlah urusan kami semua.. Aamiin ya Rabbal Alamin 🥺

Tuesday, January 7, 2025

2024 : A Sad Ending

Minggu akhir 2024 menyaksikan banyak benar dugaan dalam hidupku. Kerancakan melalui rutin dan tugas harian seolah-olah terhenti apabila tiba-tiba insiden yang tak diingini berlaku. Sedang sibuk mengurus sekolah menjelang akhir tahun 2024, urat kaki kanan putus dan disahkan melalui MRI aku didapati mengalami Tendon Achilles. 


Tak semena-mena kejadian tahun 1998 seolah-olah berulang kembali di tabir ingatan. Bezanya, masa kejadian tu aku tengah seronok main bola keranjang di USM tapi kali ni elok je aku berjalan ke pejabat sebelum dikejutkan dengan bunyi urat putus di pergelangan kaki. Sakit? Lebih sakit dari bersalin rasanya.. Allahu Rabbi! Namun, bila berlaku kejadian ini aku nampak hikmah yang Allah berikan. Tanpa aku sedar, aku sebenarnya dikelilingi insan-insan baik dan menyayangi aku setulus hati. Tak dapat aku zahirkan betapa terharu dan terhutang budi aku kepada mereka khasnya PK Pentadbiran ku, Hajah Hazizah. Memang aku terasa betul-betul disayangi seikhlasnya.. terima kasih Hajah ❣️

Seperkara yang aku pelajari ialah pentingnya bersikap baik kepada semua orang kerana apabila diuji berkali-kali seperti yang aku alami ini, ramai yang tanpa dipinta sudi menghulurkan tangan, bertanya khabar dan meringankan beban. Meski tidak bersua, keikhlasan bertanya khabar dan mendoakan kesihatan ku amat bermakna dan meninggalkan kesan manis dalam hatiku. Syukur kepada Allah atas kurniaan persahabatan dan persaudaraan yang amat aku rasakan. Terima kasih Allah!

Cuma sekarang ni kerisauan aku ialah proses pemulihan. Keterbatasan pergerakan adakalanya amat merimaskan. Mengharap bantuan orang sekeliling memang aku elakkan. Biar aku yang membantu, bukan dibantu.. namun buat masa ini aku mengalah. Ketidakupayaan bergerak membantutkan keinginan ku menjalani kehidupan menjadikan semua serba payah dan mencabar kesabaran hati. 



Ya Allah berikanlah aku kesembuhan segera agar aku tidak menyusahkan orang lain dan semoga aku boleh membantu mereka yang memerlukan. Tenangkanlah hati anakku yang sering resah melihat keadaan mommy begini. Sesungguhnya aku bersyukur atas segala nikmat dan ujian yang diberikan kepadaku. Permudahkanlah urusan perubatan ku, ampunilah dosaku dan berikan aku ketenangan menghadapi kehidupan ini. Hanya kepadaMu aku berserah. Aamiin ya Rabbal Alamin 🥺

Sunday, January 5, 2025

Jumaat Yang Manis

Jumaat 3 Januari 2025 merupakan antara hari istimewa yang pasti tidak aku lupakan seumur hidupku. Dua peristiwa penting berlaku, meninggalkan kenangan manis sebagai memori yang tidak akan luput di ingatan selagi hayat dikandung badan.



Berkumandangnya azan solat Jumaat buat pertama kali di Surau Al-Madani, SMK Medini merembes kebahagiaan dan keharuan yang sukar untuk aku terjemahkan. Setelah pelbagai usaha dilakukan untuk merealisasikan hasrat pelaksanaan solat Jumaat di sekolah, rasa sayu hiba menjengah tatkala menyedari aku turut sama menjadi sebahagian sejarah sekolah. Sejarah tercipta!



Sebaknya hati mendengar suara merdu cikgu Izham melaungkan azan bertambah sebaik mendengar suara En Hairulnizam, sahabat 'seperkantinan' yang setia menyampaikan khutbah. Allahu Akbar! Tanpa sedar, berjuraian air mata menitis ke pipi.. Bertemu dan berpeluang berbicara langsung dengan Dato' Ahmad Faisal, Timbalan Mufti Johor, YB Tuan Aznan Exco Pendidikan Johor, Tuan Haji Mohd Hanafi Pengarah Pendidikan Johor serta Tuan Haji Saliman Selamat KPPD Johor Bahru cukup mengujakan. Terima kasih Allah, memberikan peluang seluas ini kepada hambaMu yang kerdil seperti aku.




Sebaik selesai peristiwa bersejarah solat Jumaat pertama itu, aku berpeluang menyantuni kehadiran rombongan ICC World Cup Trophy Tour yang singgah di SMK Medini. Melihat trofi berprestij dunia di depan mata memang amat mengagumkan. Tambah seronok bila berpeluang menaiki bas dua tingkat menikmati angin petang di EduCity yang damai. Alangkah bertuahnya aku! Syukur kepadaMu Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.


Semoga Allah memberi ku kesihatan yang baik dan mempermudah urusan penyembuhan ku agar dapat ku jalani kehidupan dengan lebih baik. Tak sabar rasanya nak memandu semula! Terima kasih Allah! Alhamdulillah untuk semuanya..