Wednesday, January 29, 2025

Biasa Tak Semestinya Betul..

 Kita kerap dihidangkan dengan kata-kata 'biasakan yang betul: betulkan yang biasa', bukanAda banyak rentetan peristiwa yang membawa kepada sejauh mana frasa ini relevan dalam kehidupan harian seorang Zahizan. Bagi aku, kebanyakan masa ia berkisar tentang tatacara kerja yang menjadi sebahagian rutin kehidupanku khasnya di ruang lingkup tugas ku di pejabat dan di sekolah. Namun, hari ini hati aku dijentik rasa berdosa dan bersalah sebaik menonton satu klip video Tik Tok yang dikongsi oleh sahabat baikku, En Hairul kerana ia jelas menunjukkan contoh bahawa yang biasa itu tak semestinya betul..



Dalam klip video yang dimuat naik oleh Demi Rakyat Channel atau  demirakyatch yang berdurasi 1 minit 30 saat itu, penonton disajikan dengan asal usul amalan Yee Sang sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Lazimnya, ketika amalan Yee Sang, terdapat 7 jenis makanan berwarna dihidang sebagai simbolik menandakan hari semua manusia diciptakan di dunia oleh seorang Dewi. Ia merupakan kepercayaan yang diwarisi oleh nenek moyang berbangsa Tionghua. Meskipun nampak simple kerana ia merupakan mitos yang diwarisi zaman berzaman, secara tidak sedar, ia melibatkan akidah dan kepercayaan umat Islam yang tidak sewajarnya dikesampingkan. Selama ini, aku biasa melihat amalan Yee Sang dilakukan oleh rakan-rakan beragama Islam dan tidaklah aku sangka ia sebenarnya membawa impak besar yang menjejaskan syahadahku sebagai muslim. Allahu Akbar!


Usai menonton, rasa gerun dan takut menyerbu tangkai hati. Alangkah malu dan berdosanya aku kerana tidak menyelidiki hal ini sebelum ia dilaksanakan semasa sambutan di sekolah tempohari. Sebagai ketua, sudah pasti aku bakal ditanya dan dipertanggungjawabkan di sana kelak. Takutnya aku!! Tak tertanggung dosa yang sedia ada.. jangan pulak aku disabitkan dengan dosa besar kerana menyekutukan-Nya. Dengan deraian airmata, pantas ku dirikan solat taubat menyerahkan sepenuh hati dan jiwaku yang lemah ini kepada Yang Maha Pencipta.


Ya Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Pemgampun.. ampunilah aku dan sahabat-sahabat ku. Aku cuai.. aku lalai.. Maafkan aku duhai sahabat yang aku kasihi.  Mari kita sama-sama bertaubat seikhlasnya agar Allah mengampuni kita asbab kejahilan ku ini. Ya Allah.. izinkan aku ke syurgaMu bersama-sama mereka yang aku sayangi.. Demi Allah, sesungguhnya aku bertaubat yang sebenar-benarnya.. 😭😭😭

No comments: