Jumaat 3 Januari 2025 merupakan antara hari istimewa yang pasti tidak aku lupakan seumur hidupku. Dua peristiwa penting berlaku, meninggalkan kenangan manis sebagai memori yang tidak akan luput di ingatan selagi hayat dikandung badan.
Berkumandangnya azan solat Jumaat buat pertama kali di Surau Al-Madani, SMK Medini merembes kebahagiaan dan keharuan yang sukar untuk aku terjemahkan. Setelah pelbagai usaha dilakukan untuk merealisasikan hasrat pelaksanaan solat Jumaat di sekolah, rasa sayu hiba menjengah tatkala menyedari aku turut sama menjadi sebahagian sejarah sekolah. Sejarah tercipta!
Sebaknya hati mendengar suara merdu cikgu Izham melaungkan azan bertambah sebaik mendengar suara En Hairulnizam, sahabat 'seperkantinan' yang setia menyampaikan khutbah. Allahu Akbar! Tanpa sedar, berjuraian air mata menitis ke pipi.. Bertemu dan berpeluang berbicara langsung dengan Dato' Ahmad Faisal, Timbalan Mufti Johor, YB Tuan Aznan Exco Pendidikan Johor, Tuan Haji Mohd Hanafi Pengarah Pendidikan Johor serta Tuan Haji Saliman Selamat KPPD Johor Bahru cukup mengujakan. Terima kasih Allah, memberikan peluang seluas ini kepada hambaMu yang kerdil seperti aku.
Sebaik selesai peristiwa bersejarah solat Jumaat pertama itu, aku berpeluang menyantuni kehadiran rombongan ICC World Cup Trophy Tour yang singgah di SMK Medini. Melihat trofi berprestij dunia di depan mata memang amat mengagumkan. Tambah seronok bila berpeluang menaiki bas dua tingkat menikmati angin petang di EduCity yang damai. Alangkah bertuahnya aku! Syukur kepadaMu Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.
Semoga Allah memberi ku kesihatan yang baik dan mempermudah urusan penyembuhan ku agar dapat ku jalani kehidupan dengan lebih baik. Tak sabar rasanya nak memandu semula! Terima kasih Allah! Alhamdulillah untuk semuanya..
No comments:
Post a Comment