Sunday, August 17, 2025

Kabus Hati Dikabut Awan

Menerima berita pergerakan PK HEM, Encik Hairulnizam Ramlan yang juga sahabat baik SLT Medini ke SMK Kompleks Sultan Abu Bakar (CIQ) memang amat mengejutkan. Hampir gugur rasa jantung sebaik Encik Hairul memaklumkan diminta ke PPD sejurus sebelum menunaikan solat Jumaat minggu lalu. Ya Allah.. Dugaan apakah yang diberikan kepada pasukan SLT Medini kali ini? Hajah masih MC kerana kecederaan kaki dan aku berdepan pelbagai kes luar biasa membabitkan anak² asrama ketika ini. Sungguh.. Membina pasukan yang sederap sehaluan bukanlah mudah namun Allah mentakdirkan aku bekerja dengan pasukan yang amat serasi, sekepala dan se arah menjadikan segala tanggungjawab yang sukar berjaya dilaksanakan dengan mudah! 

Orang luar tidak tahu apa yang kami lalui di Medini.. Segala tohmahan, fitnah jahat, surat layang yang tidak berasas kandungannya selalu datang bertali arus cuba memecahbelahkan kejelekitan yang kami bina namun kami terus mempertahankan kebersamaan yang utuh terbina. Acapkali PK HEM dan Pengetua menjadi sasaran. Mengapa? Kerana ada kalangan mereka yang cemburu dan tidak mahu berubah! Sukar menerima kebenaran.. sakit hati apabila keselesaan yang selama ini dinikmati dijentik oleh penerapan peraturan sekolah yang perlu dipatuhi. Sungguh aku kesal apatah lagi suara kami tidak didengari. 

Sebagai sahabat, aku mendoakan kesejahteraan, kejayaan dan kecemerlangan sentiasa mengiringi kehidupan En Hairul. Aku percaya, insan yang baik akan sentiasa diiringi jutaan kebaikan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, ditabur ke angkasa menjadi bintang! Terima kasih En Hairul, atas jasa bakti yang telah ditabur. Segala ilmu yang dikongsi akan terus mengharum subur.. InsyaAllah kelak diizinkan kita bekerja bersama lagi. Pasaklah semua yang baik-baik di dasar hati. Sahabatku, kau pasti tidak akan kami lupakan. Semua kebaikan, ingatan dan nasihatmu akan kami simpan kukuh dalam ingatan..

Patah pasak dalam kemudi,
Patah di ruang bunga kiambang;
Andai tidak bersua lagi,
Bulan terang samalah dipandang..



No comments: