Aku merasa amat bertuah kerana selama hampir 2 tahun berkhidmat di Medini, aku direzekikan bekerja dengan insan-insan hebat yang menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab. Aku menikmati keseronokan bekerja asbab dikelilingi barisan penolong kanan yang proaktif dan sangat menyokong melalui kebersamaan dalam menjayakan setiap misi sekolah. Kejelekitan dan persefahaman antara kami amat aku syukuri. Manakan tidak, acapkali tanpa menyatakan hasrat di hati, Hajah Hazizah dan En Hairul dah tahu apa yang bermain di benak fikirku.
Bohonglah kalau selama ini kami tak pernah berlaga angin atau berasa hati jika ada pendapat yang tak dipersetujui.. Cuma, lazimnya suasana tegang tak pernah terbiar lama kerana biasanya bicara kami penuh seloroh dan gelak ketawa. Teringat pulak lirik lagu alunan penyanyi kelahiran Kanada, Shania Twain antara lain menyatakan 'A friend is someone who knows the song in your heart and can sing it back to you when you have forgotten the words.'
Keikhlasan jalinan persaudaraan yang dibina antara kami bertiga membuatkan aku menggelar kami 3 Beradik. Ke sana ke mari kami bertiga.. Sebab itulah bila En Hairul digerakkan ke CIQ ketika Hajah Hazizah sedang cuti sakit berpanjangan akibat retak tulang kakinya, aku merasa sangat kosong.. Terasa betul ditinggalkan! Sedih, sepi.. tak tahu bagaimana nak mengungkapkan kepedihan hati ketika itu. Tambah menyakitkan apabila titis air mata yang tumpah di dasar hati, semuanya aku hadapi sendiri.
Alhamdulillah, kini aku dah mulai bangkit untuk menerima realiti dengan membuka jiwa dan hati. Berjauhan tidak bermakna putusnya ikatan persahabatan. Bingkisan yang dikirim oleh En Hairul sebagai tanda mata kenangan kami bertiga sememangnya amat istimewa. #3Beradik sangat mahal harganya buat insan sekerdil aku. Semoga jalinan ukhuwah antara kami kekal selamanya dan segala urusan kami juga dipermudah olehNya. Moga hubungan baik kita 3 Beradik berkekalan sampai bila-bila!! Aamiin 🌹
#Medinidihati ❤️
No comments:
Post a Comment