Sunday, September 7, 2025

Terlajak Perahu Boleh Diundur..

Mutakhir ini, banyak peristiwa berlaku mengakibatkan turun naik emosi dan perubahan hawa di persekitaran Medini akibat beberapa pergerakan di luar jangkaan warga. Berusaha berdamai dengan takdir yang tertulis, aku akhirnya membuka hati dan minda mendepani realiti sebaik yang aku mampu meskipun perit untuk dihadam seluruhnya. Sedaya mungkin, aku cuba menepis rasa bersalah yang melingkari hati dengan memujuk diri menerima hakikat yang terzahir dengan jiwa yang terbuka.


Di saat aku mula optimis menerima semua kejutan dan berlapang dada menghadapi dugaan demi dugaan, tiba-tiba aku menerima perkhabaran yang tak begitu manis untuk ditelan. Entah bagaimana, tak semena-mena sampai ke pengetahuan ku mengenai satu sosok yang menyebarkan cerita dusta mengenai sahabat hebat Medini yang bagiku umpama racun berbisa: melata dan merayap dalam senyap. Entah cerita apa yang sampai ke pengetahuan si penyampai, ditebar pula kepada khalayak tanpa mampu disangkal. Bahaya fitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh!


Dari firasat yang dihikayat, ceritera yang disebar ibarat sekam terkandung api. Penuh rasa iri dan padat bias benci. Yang menghairankan, tergamak pula figura itu menyebut tanpa rasa malu seolah-olah semua yang berlaku telah khatam dalam genggaman. Sekadar pasangan bukan se alam pekerjaan, tak perlulah jadi gunting dalam lipatan. Kalau benar berani, jemputlah ke sekolah, berbicaralah berdepan. Kerana kalau benar pahlawan, marilah bertingkah di medan gelanggang. Jangan sekadar pandai berkokok, sembunyi senjata menikam belakang! Pantang aku, orang penakut berlagak pendekar!


Sebaik ketahuan, pandai pula mengelak kilas. Mencari jalan meloloskan diri mohon ihsan dan belas. Dah puas kebencian ditabur kenapa sekarang harus berundur? Takut dengan bayang-bayang sendiri, bimbang dusta melahar bagai api? Hanya masa yang akan menentukan, siapa yang benar di jalan pengakhiran. Yang salah akan kalah kerana aku pasti, Allah Yang Maha Mendengar akan tetap bersama mereka yang benar dan sabar. Alhamdulillahi 'ala kulli haal!

No comments: