Di sana, aku dipertemukan dan berkawan baik dengan dua orang mahasiswi dari Pantai Timur; Aiza si gebu yang berasal dari Kuala Terengganu, manakala Samila gadis comel yang ayu berasal dari Machang, Kelantan. Dialek percakapan mereka yang agak berbeza dengan aku yang berbahasa 'radio dan tv' menambah seri persahabatan kami. Sesekali ia menjadi bahan gelak tawa namun tak kurang juga menjadikan situasi mengelirukan dek kerana maksud yang difahami berbeza dengan apa yang cuba disampaikan. Samila memanggil ku Izey manakala Aiza memanggil ku Izang.. acapkali juga terpaksa aku betulkan.. 'Izan..' kataku.
Kisah 1 : Saing
Masih jelas di ingatan, usai mendaftar kursus semester pertama, kami berkumpul di Dewan Budaya. Kami mengambil kesempatan berhenti rehat seketika sambil menghilangkan dahaga memandangkan sepanjang hari ke hulu hilir menyelesaikan proses yang diperlukan. Sebelum berpisah, sempat aku berpesan dengan rakan-rakan, "Esok jangan lupa.. kita saing eh.." Pada aku, itu sekadar ungkapan biasa. Tanpa ku duga, ada yang memandangku dengan pandangan kehairanan. "Eh.. Memey lah kito ni saing!" sahut Samila. Aiza pun turut sama berkerut memandangku bila aku jelaskan yang tadinya kami tak bersaing ketika mendaftar. Riuh sekejap apabila masing-masing cuba membetulkan ayat terkandung perkataan 'saing' tersebut. Dek kerana kekeliruan yang tak berpenghujung, terpaksa aku minta setiap kami menerangkan pemahaman masing-masing. Dari situ, tahulah aku maksud 'saing' bagi mereka ialah 'kawan/sahabat' sedangkan pada aku ia bermaksud 'bersama-sama'. Sudahnya kami sama-sama ketawa besar! Aduhaiií..
Kisah 2 : Rewang
Menjadi mahasiswi yang jauh daripada keluarga ditambah pula dengan latar ekonomi yang sederhana, aku mencari pelbagai peluang menambah pendapatan sendiri. Antaranya dengan menggunakan kemahiran bahasa dengan mengambil upah menterjemah bahan Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris dan sebaliknya, khasnya bagi pelajar senior yang sedang menyiapkan tesis dan tugasan. Pada bulan Ramadan pula, aku berjimat dengan berbuka puasa di masjid universiti. Juadahnya disediakan secara gotong-royong oleh desasiswa yang bertugas mengikut giliran. Satu petang, aku ajak Samila dan Aiza 'rewang' sebaik pulang dari kuliah. Penuh teruja mereka menyahut ajakan ku. Sebenarnya aku agak hairan melihat kesungguhan keduanya bersiap petang itu. Beriya benar nampaknya.. Namun perasaan itu aku pendam jauh di dalam hati. Selesai, kami berpapasan menuju Pusat Islam berhampiran masjid. Sebaik sampai , Aiza bertanya mengapa aku masuk ke ruang dapur masjid. "Laaa.. tadi kata nak rewang," balas ku ringkas. Aiza dan Samila menepuk dahi sambil ketawa besar. Rupanya mereka tersalah tafsir perkataan 'rewang' yang aku gunakan! Sefaham mereka, rewang tu bermakna jalan-jalan tiba-tiba aku ajak gotong-royong memasak pulak! 🤣😂 sabar jelah!
Banyak lagi kenangan berkaitan perbezaan maksud istilah yang digunakan dalam lingkungan masyarakat berbilang budaya di negara ini aku pelajari dalam perjalanan kehidupan ini. Sekadar kelainan terminologi yang digunakan, tidak mengakibatkan perpecahan dalam kalangan kita sekiranya semua pihak saling bersefahaman dan saling menghormati dalam kehidupan. Nilai yang baik perlu terus disemai agar watak generasi Malaysia yang saling bertoleransi dapat terus dihidupkan demi keharmonian negara pada masa akan datang. Bahasa jiwa bangsa!
No comments:
Post a Comment