Monday, February 8, 2010

Dari Kekasih Untuk Kekasih


Setiap detik pantas berlari meninggalkan semalam menjadi kenangan abadi dalam diari kehidupan setiap insan. Tatkala kalendar Februari tersingkap menampakkan wajah, HARI yang ditunggu-tunggu semakin menghampiri. Aroma mawar merah yang bakal diberikan oleh kekasih hati dengan madah terindah mengusik jiwa terbayang-bayang di jendela mata. Alangkah bertuah dan hidup terasa sangat bermakna mengenangkan kehadiran insan istimewa yang meletakkan diri sebagai permaisuri di hati….


Agaknya begitulah indahnya debar rasa pasangan yang sedang tengah asyik masyuk dilambung ombak percintaan setiap kali 14 Februari muncul saban tahun. Pelbagai acara disusun rapi untuk mengisi hari istimewa sebagai tanda kasih sayang kepada insan yang dicintai. Namun, di sebalik Hari Kasih Sayang (Valentine's Day) yang rancak diraikan, ia mempunyai sejarah yang menyebabkan budaya menyambut Hari Valentine itu diharamkan dan tidak seharusnya diagung-agungkan. Mengapa?

Valentine's Day adalah suatu perayaan yang berdasarkan kepada pesta jamuan ‘supercalis‘ bangsa Romawi kuno yang diadakan sebaik sahaja mereka bertukar ke Agama Nasrani (Kristian). Ia berubah menjadi acara keagamaan yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine. Mengikut beberapa sumber, Valentine merupakan seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama tersebut di Rom ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II (268-270M). Pada masa pemerintahannya, Claudius II telah memenjarakan orang-orang Kristian kerana mengamalkan agama yang bertentangan dengan agama yang diamalkan olehnya. Oleh kerana Valentine merupakan seorang penyebar agama Kristian, beliau juga telah ditangkap, diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Penganut Kristian mengangkat Valentine sebagai seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan para penganutnya. Dia disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Bagi penganut agama Kristian, Valentine adalah lambang kasih sayang sejati antara seorang hamba dengan tuhannya dan sesama manusia. Ketika di dalam penjara, beliau dikatakan telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertulis "From your Valentine". Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa Valentine merujuk kepada hari kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol. Paderi St. Valentino telah mengumumkan hari tersebut sebagai hari kasih sayang kerana padanya Islam adalah agama yang ZALIM! Jadi, fikirkan sejenak... Mengapa kita ingin menyambut Hari Valentine ini walhal ia merupakan hari kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol.. ?

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ghaafir ayat 39 :

'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal abadi.'


Renung-renungkan dan selamat beramal!

No comments: