Tuesday, January 14, 2014

Baju Seragam Putih

Sejak balik ke pangkuan bumi Darul Takzim ni, acap benar aku ke hospital. Selain menziarah orang sakit, aku pulak nampaknya yang lebih kerap diziarahi kat sini hehe.. Boleh dikatakan sekarang ni dah masak benar aku dengan keadaan hospital di sini. Selalunya bila berada di kawasan hospital, mata akan tertawan melihat susuk jururawat berpakaian seragam putih yang selalu santun melayan karenah pesakit yang bermacam jenis. Alangkah mulianya tugas yang tergalas di pundak mereka yang tanpa jemu melayan kehendak manusia yang kesakitan. Kagum juga melihatkan kesabaran dan ketelitian mereka bekerja. Walau pun begitu ada segelintir yang boleh dibilang dengan jari yang agak kasar dan tindak tanduk mereka menghadirkan rasa kurang senang dalam kalangan mereka yang menerima rawatan. Ketika dikhabarkan aku perlu masuk ke wad sebab paras gula yang agak tinggi (mungkin pembawakan anak dalam kandungan ini), aku gabra jugak. Teringat2 wajah mencuka nurse berbaju polos putih sebaik aku meminta bantuan ketika jarum di tanganku tercabut semasa ditahan akibat denggi dulu. Ngeri sungguh! Syukurlah bila ditempatkan di wad yang lebih baik dan lebih 'kelas' dari dulu rawatan dan jagaan yang diterima jauh lebih baik. Kemesraan, kemanisan budi bahasa dan sikap baik penjawat awam berseragam putih di Wad O&G Barat sememangnya meninggalkan kesan manis di dalam hati. Buat nurse Revathy, Wee Lee & Hamidah, jutaan terima kasih atas keikhlasan yang ditunjukkan. Begitu juga kesabaran tenaga perubatan - Dr. Teoh, Dr. Siti, Dr. Kaliammah & Dr Noraziah yang memberikan khidmat terbaik sepanjang aku di sana. Terima kasih seikhlas hati!

No comments: