Sunday, May 25, 2025

Zahin Turns 11

It is always the date to remember. Amongst 365 days, 23rd May remarks the most significant and special day for me and Zahin. On the date, 11 years ago, Abang and I celebrated the arrival of our one and only sweetheart, Zahin Syaqireen, the most important person in my life. 

My princess, it has been 6 years we celebrate this special day without Daddy and deep down, I understand that you always miss him. InsyaAllah one fine day we will be all together.. again as always. Happy birthday sayangggg 🌹🌹🌹 May you always be showered with love, success and happiness wherever you are ❤️







Sunday, May 18, 2025

Selamat Hari Guru 2025

16 Mei hadir lagi. Tahun ini aku diizin olehNya meraikan hari guru buat kali ke 22. Alhamdulillah.. Perjalanan masa amat pantas dan tanpa sedar, telah lebih 20 tahun aku menumpahkan kesetiaan dalam profesion keguruan. Meskipun bermula kerana terpaksa (atas permintaan arwah abah), akhirnya aku benar-benar jatuh cinta dengan kerjaya ku. Berdepan pelbagai liku dan cabaran dunia pendidikan, aku turut merasai pelbagai perisa kehidupan yang mewarnai setiap turun naik citra hidup bak roller coaster.



Menyambut hari guru ditemani gurisan halus luka yang mencarik kedamaian sesungguhnya amat mencabar kesabaran. Melempar manis senyum di tengah ramai tatkala hati remuk berdepan tohmahan, menuntut kepasrahan jiwa yang bukan mainan. Tambah menyakitkan, apabila memikirkan kehadiran surat tanpa nama yang memerlukan masa untuk aku menghadam isi kandungannya. Walau aku yakin, maksud warkah yang diterima memetik banyak frasa dusta, ia tetap mengundang kecewa. 



Menyahut permintaan pasukan KEBIRUS untuk mengenakan busana bertema tradisional Melayu, aku capai kebaya hijau untuk digayakan. Dengan aksesori ringkas yang sedia ada, aku cuba menyahut tema yang diberi sebaiknya. Alangkah terkejut sebaik sesi penggambaran bermula, nuansa sama dikenakan pula oleh sang  'hulu belang' atau memanda menteri kepada permaisuri Medini. Nasib baik rona hijau kami agak berbeza. Rasa serba tak kena bila digayakan bersama tapi apakan daya.. Redha dan redah jelah sambil menangkis lirikan mata pencari mangsa! Fikir yang baik-baik, doa yang baik-baik semoga kami terselamat dari fitnah getir yang menunggu masa..



Selamat hari guru buat semua insan yang pernah bergelar GURU. Semoga Allah memberi ganjaran atas keikhlasan dan kesungguhan kita mendidik anak bangsa demi memacu kecemerlangan pendidikan negara. Terima kasih cikgu! Guru Pemacu Reformasi Pendidikan.




Sunday, May 11, 2025

Kembali Terjalin

 Semalam aku ke SMK Tasek Utara, menyantuni jemputan untuk sama-sama terlibat dalam sesi libat urus Sekolah Rintis Bangsa Johor yang julung kali diadakan di bumi Darul Takzim. Menjejakkan kami ke laman Tasek yang damai mengimbau kembali kenangan indah tika berkhidmat di sana selama 2 tahun 4 bulan selaku PK Pentadbiran. Masih terbayang di birai mata, kali pertama aku melapor diri menggantikan Puan Zaini yang ditukarkan ke Convent JB. Bekerja dengan pasukan hebat di bawah bimbingan Puan Hajah Norazlinda Mohd Salleh, sangat mengujakan. Lebih dua tahun menabur bakti di sana, pelbagai pengalaman pengurusan dapat ku bawa pulang sebagai sandaran mengepalai organisasi sebagai ketua jabatan.



Benar kata orang. Tempat jatuh lagi kan dikenang.. inikan pula tempat mencari rezeki. Keakraban yang tercipta antara pasukan pentadbir dan rakan-rakan guru amat membekas di hati. Meskipun dalam kalangan group SLT aku paling muda dan menjadi orang kedua selepas pengetua, tidak pernah aku dikesampingkan dalam apa jua situasi. Meski majoriti guru merupakan guru senior yang berkhidmat lebih 20 tahun, kejelekitan yang terjalin erat amat sukar ditandingi. 




Kembali ke Tasek sebagai tetamu, sedikit sebanyak menjentik keharuan yang sukar ditafsirkan. Sebaik tiba, aku dikerumuni ramai sahabat bertanyakan perkhabaran kesihatan ku ketika ini. Alhamdulillah, sungguh aku terasa disayangi.. terima kasih wahai sahabat kerana masih cakna tentang keadaan ku di kala ini.



Kehadiran MB Johor, YAB Dato' Onn Hafiz bin Ghazi disambut meriah. Lantunan kata yang disampaikan oleh Puan Mislina Salleh, Pengetua SMK Tasek Utara dan ucapan YAB Menteri Besar merupakan cabaran yang perlu disahut dengan penuh semangat untuk membangunkan bangsa Johor yang dihormati oleh semua rakyat Malaysia. Ayuh Bangsa Johor.. kita sama-sama bangkit dan membangunkan Johor tercinta agar kita berdiri sama tinggi dengan mereka di negara maju! Common Johoreans! Together we stand, tall and brave! Let's do it!!

Jauhari Digital

Sebaik dimaklumkan akan menghadiri kursus lanjutan MDL awal April lalu, aku rasa amat teruja untuk pulih. Aku tekadkan azam berjanji dengan diri sendiri bahawa aku akan berupaya memandu semula ke bumi Darul Khusus. Kalau tidak, macamana gayanya aku nak ke IAB nanti? Nak naik bas memang taklah.. aku ni spesis mudah mabuk. Menumpang kenderaan orang lain apatah lagi kena duduk kat belakang walaupun ke destinasi berhampiran, boleh buat aku rasa nak pitam. Lebih baik aku yang memandu. Duduk di belakang stereng jauh lebih selesa buatku.. 



Alhamdulillah sebaik menghampiri 5 Mei, aku dah mula kembali membiasakan diri memandu sendiri. Walaupun adakalanya kaki rasa berbisa, aku tahan dan kuatkan hati. Alah bisa tegal biasa kan.. Syukur, sepanjang perjalanan ke Bandar Enstek aku ditemani Puan Jajah Suliyani Mohd Hambari, sahabat yang menyenangkan. Ditemani Pengetua hebat SMK Taman Pelangi yang komited dan berdedikasi, perjalanan kami berjalan lancar dan tenang.



Di IAB, kami diberi peluang duduk sebilik selama 4 hari 3 malam. Sepanjang tempoh itu, banyak perkongsian amalan baik sekolah yang aku peroleh daripada beliau. Alhamdulillah. Meskipun kami berpisah kumpulan, aku Kumpulan 2 manakala Su Kumpulan 5, kami masih diletakkan dalam kelas yang sama. Pembentangan kami juga berjalan lancar. Syukur kepada Ilahi kerana akhirnya kursus ini dapat diselesaikan dengan cemerlang. 



Terima kasih yang tak terhingga buat En Hairulnizam, PK HEM dan aCkg Ridzwan Guru Data SMK Medini yang sangat banyak membantu merealisasikan penghasilan Dashboard YuMA dan SMedSNApp yang aku hasratkan. Semoga impian mendigitalkan persekitaran dan pengurusan SMed akan terlaksana pada tahun 2025 ini. InsyaaAllah..


Asrama Medini ~ Kesayanganku

Memandangkan permulaan sesi persekolahan ini aku terpaksa berehat seketika kerana kecederaan tendon kaki kanan yang serius, aku terpaksa mengurangkan banyak aktiviti fizikal yang memerlukan aku menggunakan kaki . Lantaran itu jugalah management by walking around the school compound tak dapat aku laksanakan. Ada tak ada, aku memang terpaksa bergantung harap kepada barisan SLT untuk melakukan pemantauan sekitar sekolah. Memang tak dapat dinafikan,  jauh di sudut hati aku tak puas kerana tak dapat melihat sendiri apa yang berlaku di sekitar kawasan sekolah namun apakan daya.. redhalah Izan!



Menutup tirai Syawal, asrama Medini mengadakan majlis hari raya untuk anak-anak asrama Medini. Dengan pakaian indah dan suasana lebaran yang masih ada, aku turut sama hadir meraikan dan menyantuni warga asrama. Itulah kali pertama aku kembali memandu meredah kegelapan malam semenjak 4 bulan direhatkan. Kalau ikut kata doktor, masih belum sesuai untuk memandu memandangkan kaki kanan ku masih belum pulih dan kuat sepenuhnya. Tapi dah namanya Zahizan, aku redah je.. Ternyata aku berjaya! Aku masakkan keyakinan penuh bahawa InsyaAllah aku boleh melakukannya! Alhamdulillah, semuanya atas izin Allah..




Tahniah warga asrama yang berjaya meraikan sambutan Aidilfitri dengan sederhana tetapi meriah. Merasalah aku beraya bersama warga asrama yang aku sayangi.. Terima kasih Allah!