Semalam aku ke SMK Tasek Utara, menyantuni jemputan untuk sama-sama terlibat dalam sesi libat urus Sekolah Rintis Bangsa Johor yang julung kali diadakan di bumi Darul Takzim. Menjejakkan kami ke laman Tasek yang damai mengimbau kembali kenangan indah tika berkhidmat di sana selama 2 tahun 4 bulan selaku PK Pentadbiran. Masih terbayang di birai mata, kali pertama aku melapor diri menggantikan Puan Zaini yang ditukarkan ke Convent JB. Bekerja dengan pasukan hebat di bawah bimbingan Puan Hajah Norazlinda Mohd Salleh, sangat mengujakan. Lebih dua tahun menabur bakti di sana, pelbagai pengalaman pengurusan dapat ku bawa pulang sebagai sandaran mengepalai organisasi sebagai ketua jabatan.
Benar kata orang. Tempat jatuh lagi kan dikenang.. inikan pula tempat mencari rezeki. Keakraban yang tercipta antara pasukan pentadbir dan rakan-rakan guru amat membekas di hati. Meskipun dalam kalangan group SLT aku paling muda dan menjadi orang kedua selepas pengetua, tidak pernah aku dikesampingkan dalam apa jua situasi. Meski majoriti guru merupakan guru senior yang berkhidmat lebih 20 tahun, kejelekitan yang terjalin erat amat sukar ditandingi.
Kembali ke Tasek sebagai tetamu, sedikit sebanyak menjentik keharuan yang sukar ditafsirkan. Sebaik tiba, aku dikerumuni ramai sahabat bertanyakan perkhabaran kesihatan ku ketika ini. Alhamdulillah, sungguh aku terasa disayangi.. terima kasih wahai sahabat kerana masih cakna tentang keadaan ku di kala ini.
Kehadiran MB Johor, YAB Dato' Onn Hafiz bin Ghazi disambut meriah. Lantunan kata yang disampaikan oleh Puan Mislina Salleh, Pengetua SMK Tasek Utara dan ucapan YAB Menteri Besar merupakan cabaran yang perlu disahut dengan penuh semangat untuk membangunkan bangsa Johor yang dihormati oleh semua rakyat Malaysia. Ayuh Bangsa Johor.. kita sama-sama bangkit dan membangunkan Johor tercinta agar kita berdiri sama tinggi dengan mereka di negara maju! Common Johoreans! Together we stand, tall and brave! Let's do it!!
No comments:
Post a Comment