Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu
Semasa aku bercuti sakit, aku dimaklumkan bahawa semua Pengetua novis dikehendaki menjalani satu program residensi yang dinamakan PRIME. Satu daripada elemen yang perlu dipenuhi ialah pembentangan amalan terbaik sekolah sepanjang 2024. Dibimbing oleh Puan Haslinah Johar selaku SIP+ SMed aku merasa bertuah dengan banyaknya input yang dikongsi secara dalam talian. Mulanya pembentangan kami dirancang untuk diadakan secara kecil-kecilan, di SMK Medini memandangkan keupayaan ku untuk bergerak agak terbatas ketika itu. Kami berlima agak positif dan merasa yakin bahawa pembentangan akan dilaksanakan dengan cara yang santai sesama kami.
Tidak semena-mena, aku menerima surat menyatakan pembentangan akan dilaksanakan secara besar-besaran di Auditorium MBIP pada 28 Mei 2025. Terdapat pula checklist yang perlu dipatuhi sebagai garis panduan pembentangan. Dibantu Hang Setia berdua ~ Hajah Hazizah & Encik Hairulnizam, aku menyiapkan 51 slides sebagai bahan pembentangan. Bersungguh-sungguh aku bersengkang mata mengumpul bahan dan menyediakan Power Point ku sendiri berbekalkan maklumat Hajah & En Hairul. Siap, aku serahkan hasil kerja kepada Tuan Hj Ma'alim selaku pembimbing menggantikan Puan Haslinah yang telah bersara.
Malangnya, slides yang dihantar tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan, dan aku diminta menukar keseluruhan slides. Terasa tertampar, hampir aku menangis keletihan! Mujur Hajah & En Hairul terus menyokong dan memberi kata-kata semangat untuk aku terus bangkit menguburkan niat mengangkat bendera putih. Alhamdulillah, akhirnya siap slides yang diminta dan aku akhirnya berjaya membentang amalan terbaik SMed dengan penuh yakin di pentas MBIP.
Yang mengharukan , semasa penyampaian sijil disempurnakan oleh Tuan KPPD, beliau turun dari pentas menyerahkan sijil kepadaku memandangkan pergerakan ku yang terhad untuk naik turun pentas. Meskipun merasa malu dengan keadaan tersebut, aku bangga mempunyai seorang ketua yang cakna dengan ketidakupayaan anak buahnya. Semoga Allah mempermudah urusan Tuan Haji Saliman bin Selamat dan melindungi beliau dengan keafiatan serta keselamatan sepanjang masa. Alhamdulillah.. tercipta satu lagi kenangan mengusik jiwa!