Saturday, April 19, 2025

BBBB : Bila Boleh Beraya Bersama?

Tak dapat ku nafikan, lebaran tahun ini ku raikan dengan cara yang amat berbeza. Sejak 1 Syawal, aku menerima hakikat tidak dapat menziarahi saudara mara dan sahabat taulan sebagaimana kelaziman.  Justeru, aku menanti kehadiran 18 April dengan penuh sabar dan penuh debar. Manakan tidak, pada tarikh itulah warga SMed akan mengadakan sambutan Aidilfitri peringkat sekolah. Inilah peluang aku meraikan Syawal bersama seluruh warga sekolah yang aku kasihi. Jujurnya, dah beberapa tahun aku tidak berpeluang berhari raya bersama rakan dan anak didik di sekolah..


Tahun 2024 :
Serangan Conjunctivitis (sakit mata) yang menjalar,memaksa aku mengalah sebelum rebah. Bisa kesakitan yang menyerang, sedaya mungkin aku tahankan kerana keinginan yang kuat untuk bersama dengan warga SMed meraikan lebaran. Usai menyampaikan ucapan, aku bergegas menuju ke klinik dan diberi 3 hari MC oleh doktor. Tapi, dah namanya Zahizan.. meski diberi MC esoknya aku dah kembali bertugas walaupun terpaksa berkaca mata hitam 😎 Tak sempat beramah mesra dengan tetamu undangan, apatah lagi melawat khemah juadah yang disediakan, aku terus ke pejabat menahan kesakitan yang bukan kepalang..

Tahun 2023 :
Di SMK Tasek Utara, aku tewas sebaik selesai menggagahkan diri menghadiri jamuan ringkas bersama rakan-rakan SLT dan MLT. Nak ke booth tingkatan menziarah bermarhaban raya bersama anak-anak Tasek memang tak daya kerana bisa yang menyerang mata melenyapkan segala tenaga yang masih bersisa. Sebelum acara berakhir aku terus bergerak ke klinik mendapatkan rawatan. Conjunctivitis menyerang, meroboh benteng pertahanan diri tanpa kasihan.. huhu

Tahun 2022 :
Keterujaan meraikan kemeriahan Syawal dan Hari Guru yang julung kali ku raikan sebagai PK Pentadbiran SMK Tasek Utara, lebur kerana aku terpaksa akur dengan arahan kuarantin kendiri akibat dijangkiti Covid-19. Berkurung di dalam bilik seorang diri, aku hanya mampu menatap gambar-gambar sekitar majlis dari laman sesawang sekolah. Sedih.. 

Tahun 2021 & 2020 :
Tiada sambutan Aidilfitri di sekolah. Semua pihak mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga agar penyebaran wabak Covid-19 tidak disebarkan. Stay home and stay safe.

Tahun 2019 : 
Kehadiran Aidilfitri disambut sayu. Tiada hari raya buat keluarga kecilku yang berduka asbab arwah suami berada dalam keadaan kritikal sebelum dijemput Ilahi. Tahun ini aku mengasingkan diri daripada pelbagai aktiviti kerana masih dalam edah 4 bulan 10 hari. Ada dalam kalangan taulan yang tak memahami, mencebik melihat aku menjauh dari semua sambutan yang diadakan. Tak mengapalah kerana mereka belum mengerti.. hukum Allah tetap wajib aku taati..

Tahun 2025 :
Hari yang ku nanti dengan penuh sabar akhirnya menjelma . Keterujaan nak beraya setelah sekian lama, akhirnya berkecai jua. Semua pengetua diminta menghadiri Dialog Prestasi di PPD JB pada tarikh yang sama. Hampa, kecewa, sayu hati berhimpun jauh di sudut rasa, tak dapat ku luah dengan kata-kata. Namun aku akur dengan hakikat, kepentingan organisasi wajib didahulukan berbanding kepentingan peribadi. Tak mengapalah.. mudah-mudahan aku diberi peluang meraikan Aidilfitri pada tahun 2026 pula. Segala yang berlaku pasti menyimpan hikmah yang tersembunyi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. 🥺

No comments: