Saturday, April 5, 2025

Diyafah 5 Syawal

Mulanya, sebaik sahaja masuk hari kelima Syawal semalam aku fikir tiada sesiapa hadir bertamu memandangkan cuaca hujan membataskan pergerakan. Apatah lagi, hari Jumaat terasa agak singkat. Firasat ku mengatakan, pasti ramai mengambil kesempatan berehat seketika sebelum kembali bersilaturahim dan beraya ke mana-mana.. Namun, angan-angan ku untuk meregangkan sendi dan bermalas-malasan akhirnya sekadar tinggal impian semata-mata 😂 

Usai solat Jumaat, kami menerima panggilan daripada Ilias, anak Pakcik Md Tab & Makcik Faridah menyatakan hasrat keluarga mereka untuk berkunjung ke Pulai Indah. Bergegas kami bersiap siaga menyantuni kehadiran jiran lama kami di Port Dickson lebih 30 tahun dahulu. Terimbas di birai mata, tubuh segak arwah Abah & Pakcik Md Tab beruniform tentera bersama seorang lagi jiran kami, Pakcik Majid. Masih jelas di ingatan, cantiknya raut wajah Makcik Faridah yang salin tak tumpah seperti seniwati Uji Rashid ketika mudanya!

Alhamdulillah, selepas Asar, akhirnya tetamu yang kami nantikan selamat sampai. Ditemani anak-anak mereka yang juga rakan sepermainan kami di kuarters tentera ~ Amrin, Nini & Ilias, menantu dan cucu, keceriaan menemani tangis gembira pertemuan semula dua keluarga setelah sekian lama tidak bersua. Syukur, pertemuan ini membuka lembaran indah dalam album kehidupan tetangga yang akrab suatu ketika dahulu. Terharu aku bila Nini menyatakan selalu mengikuti perkembangan ku menerusi aplikasi TikTok selama ini 😅 Ternyata, ada juga hikmah memuat naik foto dan video di situ hihi..

Selepas Maghrib, aku menerima panggilan mesra Cikgu Huda, rakan setugas di Tasek Utara dulu. Baru siap memasak, beliau singgah menghantar bungkusan asam pedas tetel yang masih panas bersama ulaman dan sambal belacan sebagai lauk tambahan buat makan malam kami. Syukur, Allah hadirkan lagi insan-insan baik yang membawa rezeki buat keluarga kecilku. Semoga ukhuwah yang terjalin antara kami semua terus erat dan berkekalan hingga ke akhirnya.. Alhamdulillah. Terima kasih Allah! 🥺

No comments: