Sunday, April 13, 2025

Anugerah & Pengajaran

Sebaik sesi persekolahan bermula usai cuti Aidilfitri yang panjang, maka bermulalah rutin harian ku. Kesibukan yang aku rindui.. Berkejaran dengan masa, berkerut dahi memikir keputusan segera, bergelut dengan pelbagai laporan dan perancangan.. semuanya memaksa adrenalin tubuh dan otak bekerja pantas, memang sukar ku zahirkan kepuasan. Semenjak dulu, aku memang suka ditemani eustress. Bersengkang mata menghadap rimbunan assignment, mengejar dateline, bersiap siaga dengan pelbagai jenis presentation dan tugasan, memberi cabaran tersendiri yang membuahkan keseronokan tatkala berjaya diselesaikan.. Mungkin itu satu sebab lahirnya keghairahan ku melanjutkan pengajian dalam pelbagai disiplin ilmu di pelbagai institusi pendidikan ~ USM, UTM, UM, MPIK, IAB, IPK.. Passion! Itu kuncinya.

11 April 2025 merupakan hari terakhir aku diberi cuti sakit oleh pakar ortopedik. Setelah lebih 3 bulan MC, secara rasminya aku mula bertugas bagi sesi 2025 mulai Isnin 14 April ini. Meskipun pergerakan ku masih terbatas kerana aku masih memerlukan tongkat untuk berjalan, setidaknya aku berupaya menghantar isyarat ke minda bahawa aku masih boleh pulih seperti sediakala. Tak siapa pun tahu bahawa semenjak cedera tempohari, aku amat takut kalau ditakdirkan aku kehilangan fungsi kakiku buat selamanya.  Itu antara sebab kenapa aku terus memaksa diri bekerja dan bergerak.. Apatah lagi selepas kejadian tersebut aku mengalami kesukaran menggerakkan pergelangan kaki. Allahu Akbar! Belum lagi pelbagai versi cerita menakutkan yang aku dengar dari orang sekeliling yang menambah cemas membangkitkan keresahan.. 🥺

Apapun, aku bersyukur atas segala nikmat, ujian dan mehnah yang diberi olehNya. Ketika inilah, aku diberi peluang melihat sikap insan sekeliling dan reaksi manusia terhadap situasi berbeza. Dalam banyak ketika, aku temui ramai sahabat yang ikhlas membantu, tulus mendoakan, setia dan sedia menghulur tangan namun tak kurang juga aku bersua insan yang mudah membuat persepsi, berbicara sinis mencebik benci, menjeling tajam mengerling iri, menyebar dan mempercayai dusta tanpa bukti.. semua aku sematkan sebagai sempadan di sanubari. Tak siapa tahu, andai aku terpaksa memadam tangis dalam diam pada setiap malam yang panjang..  

Terima kasih Allah, kerana tidak pernah membiarkan hambaMu ini bersendirian.  Dek kerana insiden inilah, aku pelajari pelbagai resam kehidupan, aku kutip pelbagai pengajaran, aku rasai manis indahnya persahabatan dan persaudaraan.. semuanya amat berharga dalam catatan perjalanan hidup seorang Zahizan. Alhamdulillah 'ala kulli haal.. 

No comments: