Tuesday, February 22, 2011

Elegi Hati


Wahai hati.. jika hari ini kita menangis sedih, tidak semestinya airmata itu menemani kita sehingga esok hari. Kerana bila tibanya dinihari, tika mentari bangkit dari peraduannya yang panjang, siapa tau ia mengiringi senyuman keriangan di wajah suram kita dan menyisih kepedihan itu jauh dari nurani. Kerana esok tidak menjanjikan apa-apa buat kita. Bingkas dan bangkitlah.. ukirkan ceria agar terpancar keriangan melindungi kecederaan hati..

Duhai sanubari.. Jika hari ini kita tertawa bahagia, ingatlah jua bahawa kebahagiaan itu bukan mutlak buat kita selamanya. Entah esok atau lusa ia bisa direnggut dari jiwa kita yang halus dan tidak sempurna. Maka bersabarlah, kerana itulah bekalan kita tatkala berdepan dengan mehnah dan tribulasi yang tidak dijangka..

Aduhai jiwa.. Andai semalam terimbau detik pertemuan semula dengan sahabat kita yang jauh terpisah, bersedialah untuk kehilangannya semula selama-lamanya. Kerana hati manusia mudah berubah dan kesetiaan hanya permainan kata yang tiada maknanya. Usah mudah terguris dan tercalar hanya dengan kata nista orang yang mengaku bersahabat dengan kita kerana mereka sengaja membakar kesabaran dan menguji keimanan..

No comments: