Dulu bila kengkawan beritahu, dalam kalangan cendikiawan dan orang berilmu masih ada wujud hasad dengki dan iri hati, aku pantas tidak menyetujui. Bagiku, adalah mustahil untuk golongan cerdik pandai untuk bersikap saling dendam sebab mereka bukan orang sembarangan. Ilmu penuh di dada, pengetahuan yang luas menyuluh gelita. Namun kini, terbukti bahawa kata-kata mereka bukan omongan kosong yang bias isinya.. Bila terkena batang hidung sendiri, baru terlihat olehku bahawa langit itu tinggi, gemawan membiru tak selalu berseri. Pagi ni aku terbaca bahawa orang Melayu cenderung membenam dan menghancurkan bangsa sendiri. Pernyataan berbisa yang memalit coreng arang di wajah bangsa, perlu diterima dengan hati terbuka. Secara peribadi, aku akur dengan pernyataan yang tertera asbab aku sendiripun telah menjadi mangsa. Malang menimpa bila tidak berpihak kepada ilmuan palsu yang tidak diundang, yang hanya berpaksi kepada 'kuasa' sementara yang disandang. Hati merengkuh hiba dan tangisan menjadi teman setia.. menangisi kehampaan dan kekecewaan yang sengaja diterbitkan disebabkan oleh kegagalanku memenuhi kehendak si pengampu yang sentiasa mencari ruang kelemahan. Aku akan bangkit kembali dan inilah iktibar yang aku pelajari. InsyaAllah andai aku di 'atas' suatu ketika nanti, insan di 'bawah' tidak akan aku khianati.. Sampai bila2 pun akan aku sematkan di benak fikiran, takkan sentiasa suria bersinar terang.. kerana awan hitam akan berarak mendatang.. menghapuskan terik suria yang memeritkan wajah alam dan meneduhkan buana dalam redup suasana. Suria.. takkan panas selamanya sampai ke petang!
No comments:
Post a Comment