Saban minggu, seolah menjadi rutin tetap dan berpencen, aku menemani Zahin ke restoran kegemarannya di Iskandar Puteri ini. Sekadar menikmati cheesy fries sehinggalah menikmati juadah barat Fish & Chips itulah destinasi pilihan hati buah hati ku nan seorang ini. Assalam ni sebenarnya merupakan kedai mamak yang letaknya berhampiran benar dengan SMK Medini. Sudahnya setiap hujung minggu aku singgah ke sekolah..Hikmahnya, para pengawal keselamatan di pondok hadapan sekolah sentiasa perlu bersiap siaga dan cakna jika dikunjungi Pengetua pada bila-bila masa. Tak pe lah nak.. selagi Mommy ada daya, apa juga kehendak mu akan Mommy tunaikan asalkan tidak melanggar hukum syarak. Assalam pun Assalam lah..
Saturday, November 29, 2025
Ku Pendam Sebuah Duka
Friday, November 28, 2025
#SUATU MASA : SATU CINTA
SAKIT DIRASA SESAK DI DADA
ENTAH SEJAK BILA IA MULA BERTAMU
MENJENGAH HAMBA KERDIL
DI LEWAT MASA YANG TINGGAL SISA
RIAK PARAS YANG DIJAMU MATA DAN JIWA
MENDAMAIKAN…
TERKILAS RAUTMU MENGUBATI JIWA
MENJADI PENAWAR DI HATI
TERIMA KASIH WAHAI JIWA
KU JULANG DIRIMU LANTARAN SUDI BERTAMU DI SANUBARI
DAN RINDU PUN MENDERU
IBARAT BAYU MENYAPA MALAM YANG HANGAT
LANTAS…
KESYAHDUAN PUN SINGGAH MEMBAWA WARNA
PADA LANGIT CINTA YANG KIAN GELITA
DI KALA REMBULAN SEMBUNYI MALU DI BALIK GEMAWAN PILU
LALU KEBAHAGIAAN MENYELUBUNGI SENDU HATI
YANG BERLAGU SEPI
MATA TERTANCAP PADA BINGKAI INDAH
MEMOTRET SERAUT PENAWAR RINDU
DALAM DAMAI…
BAGAI TERNGIANG BISIK HATI PADA JIWA…
BILAKAH SAMPAINYA SUATU MASA
JELMANYA ENTAH BILA
KU NANTI DENGAN SETIA
MENAMPAR PERIHNYA REALITI
UNTUK TUBUH MEMELUK RASA
TEGUH SANUBARI MEMASAK KATA
SELAMANYA CINTA
Lekat & Dekat ❤️
Lewat beberapa minggu kebelakangan perasaan rindu sering memagut tangkai hati, menemani kesunyian jiwa yang selama ini menjadi teman akrab sewaktu kesepian. Rindu yang bertandang mengundang perasaan bahagia yang tiada penghujungnya. Ada masanya kehidupan terasa aneh bila dikepung bahagia yang entah dari mana datangnya.. bak kata omputih everything is too good to be true.. Meski begitu, aku menghargai keanehan yang dirasai ini dengan penuh rasa syukur.
Peluang bersama insan kesayangan yang menjadi asbab kegembiraan dan keceriaan; meskipun sukar diperoleh, sememangnya menyumbang kepada detak kebahagiaan yang dikecapi. Tidak dapat dinafi, komunikasi sesekali menjadi cabaran, namun sebaik ada kesempatan bersua pastinya peluang yang ada tidak kami persiakan. Singkatnya pertemuan tidak pernah menjadi halangan terciptanya momen manis yang meninggalkan kesan mendalam.. Indahnya perasaan yang menyapa sesungguhnya tak mampu aku zahirkan dengan kata-kata. Walaupun hari-hari yang berlalu semakin bermakna, dan dunia menjadi semakin berseri penuh warna, sesekali getar hati terasa tatkala terfikir jika rasa ini hanya ujian sementara cuma.
Tak mengapalah.. kenapa difikirkan badai yang belum tentu sampai. Lebih baik merenung warna ceria di balik bingkai kehidupan dan nikmati kemanisan pengalaman selagi aku masih bernyawa. Buat sang penghuni hati, jiwa dan sanubari ini, terima kasih atas semua kenangan yang terpahat indah lambang kasih sayang yang dibina. Sama-sama kita tunggu pengakhiran kisah kasih kita dengan penuh debar dan sabar sehingga suatu masa itu menjelma. InsyaAllah… Ya Allah, kepadaMu sahaja kami serahkan segalanya. Aamiin..
Sunday, October 19, 2025
Ijam & Ijan 🌹
Saturday, October 11, 2025
Mata Helang?
Pagi itu pagi Khamis yang permai. Seperti biasa aku bangun seawal jam 4.15 pagi bersedia bertemu Yang Maha Pencipta. Penuh semangat meskipun agak letih sementelah aku melalui perjalanan jauh minggu ini. Isnin di Desaru, Selasa ke Batu Pahat terus ke Melaka.. perjalanan panjang yang agak melelahkan. Bezanya, kali ini pemanduan ku ditemani insan kesayangan meskipun sekadar di alam maya dari kejauhan sana.
Sebaik telefon dibuka, aku dikejutkan dengan satu mesej tidak enak yang amat mengguris perasaan.. Mesej daripada seorang yang akrab dengan aku itu, entah bagaimana tidak aku senangi nadanya. Antara lain ia menyebut, 'buatlah apa yang Allah suka, jangan buat apa yang Allah larang..' cukup membuatkan aku tertanya-tanya. Apakah larangan Allah yang dimaksudkan? Terasa hina benar diri aku dilayan sedemikian rupa. Lebih menyedihkan rasa, apabila aku langsung tidak diberi peluang untuk membuat penjelasan.. alangkah hampanya perasaan!
Pelbagai persoalan bertimbal balik di minda membuatkan aku resah gelisah tidak keruan. Bagi aku, aku bukan anak remaja yang perlu dikepung, dihendap atau dikawal setiap ketika.. Anak remaja pun ada batasan mereka yang perlu dihormati. Aku manusia cukup dewasa yang ingin mencipta bahagia. Bahagia dengan cara aku sendiri. Usah bimbang, aku masih waras menentukan kewajaran setiap tindakan. Usahlah mengharamkan yang halal, menghalalkan yang haram, salah! Tak perlulah menjadi hero dalam hikayat hidupku yang sementara cuma. Frasa yang menjerut ketenangan fikiran itu, aku lempar jauh demi menjaga kestabilan emosi sendiri. Khalayak boleh menuding jari, melarik kata atau mengerling tajam kepada ku sewenangnya. Tapi, mengapa kebenaran sering dikesampingkan?
Sudah sudahlah mencari salah.. Andai ada persoalan, bukankah lebih baik diaju terus kepada empunya badan. Ini tidak.. bergosip membuat tebakan jahat hingga ke halaman orang ketiga yang mudah percaya melulu setiap kata dusta. Mata helang yang menikam kebebasan ada di mana-mana.. seolah menanti aku tersungkur dalam perjuangan hidup yang getir. Natijahnya.. aku hilang percaya kepada kalian semua! Terima kasih atas pengajaran kehidupan ini.. Hanya kepadaNya aku memohon, dikurniakan sinar terang agar dapat aku rasai kebahagiaan dan kedamaian dalam kehidupan. KepadaMu ku serahkan segala-galanya. Allahumma baaarik!
Saturday, October 4, 2025
Bermimpikah Aku?
Sunday, September 21, 2025
Bila Rindu..
Rindu merupakan emosi kompleks yang dirasai oleh setiap manusia. Perasaan rindu muncul disebabkan oleh rasa kehilangan eratnya hubungan yang dibina akibat berjauhan atau perpisahan yang menerbitkan rasa kosong di ruang hati. Kita cenderung merasa rindu kepada seseorang yang meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan seperti senyuman manis atau perhatian mesra serta tindakan positif yang melekat kuat dalam fikiran. Rasa rindu boleh dianggap sebagai tanda penghargaan kepada seseorang yang telah meninggalkan kenangan manis kepada kita. Perasaan rindu tidak boleh dizahirkan hanya melalui mata kasar sebaliknya dirasai dan dijiwai oleh empunya diri. Ia sukar diterjemahkan dalam bentuk kata-kata sebaliknya hanya difahami oleh mereka yang melaluinya (YTJT).
Perasaan rindu merupakan anugerah yang diberikan oleh Allah SWT sebagai penghargaan kepada insan istimewa dalam pelbagai lapisan latar hidup setiap manusia, agar kita sedar hakikat hidup yang bersifat sementara semata-mata. Setiap orang berhak dihargai dengan cara tersendiri. Jelasnya, rindu merupakan perasaan yang muncul akibat gabungan memori indah dan keinginan untuk mengabadikan kenangan dalam sanubari manusia. Namun, perasaan rindu yang kuat kadangkala menimbulkan natijah negatif apabila tidak berjaya dikawal dan akhirnya menguasai perasaan secara berlebihan. Kehilangan insan tersayang yang sukar diterima sebagai contoh, menghadirkan rasa rindu kronik dikatakan boleh memusnahkan keyakinan hidup seseorang dan meruntuhkan kewajaran akal fikiran.
Jelasnya, semua perkara seharusnya dijalani secara sederhana. Ketika rindu bergelora membadai rasa, tariklah nafas panjang dan berfikirlah dengan kewarasan akal agar kehidupan boleh dilalui dengan penuh kedamaian dan ketenangan. Buat insan yang sentiasa terpahat dalam ingatan, meskipun bicara tidak dizahirkan, dikau selalu ada dalam setiap doa yang ku titipkan. Salam rindu di angin lalu buatmu.. 🌹❤️
Saturday, September 20, 2025
Sampai Jumpa Lagi!
Semalà m hujan di Iskandar Puteri. Mujur ketika aku hampir berangkat pulang hujan mulai reda dan perlahan-lahan menghentikan tangisan. Perjalanan pulang agak lancar meskipun banyak kenderaan di jalanan. Bertemankan lagu-lagu merdu mendayu, aku memandu pulang dengan tenang sehingga ke laman Pulai Indah yang permai. Sebaik tiba, seperti biasa aku parkir kereta dengan selamat. Pada masa yang sama, ada sebuah kereta diparkir betul-betul di depan rumah.
Hati, Jiwa, Rasa & Minda
Hati
Terasa beratnya bila menyayangi
Tetapi indah bila dihargai
Tiap masa dirasa sepi
Apabila ia tidak diisi
Jiwa
Terasa seksanya bila kecewa
Bukan sekadar cinta
Natijah kepada khianat manusia
Walau puas ia dijaga
Rasa
Menterjemah hati dan jiwa
Seolah mati kadang kala
Pabila acapkali kecewa
Angkara manusia
Kadang kala jadi bahagia
Terpenuhi runtunan hati dan jiwa
Keindahan alam membayang di mata
Minda
Bagaimana akhirnya keputusan dibina
Kekadang keliru dengan yang dirasa
Berbeza dengan yang tertulis dijiwa
Dihati juga tidak sama
Kepada Allah ku serah segalanya
Kerana ku tahu yang terbaik buatku
Putera Mahameru
20092025
Friday, September 19, 2025
Senyum + Ketawa = Bahagia
Ada yang pura-pura
Ada yang buat-buat suka
Ada yang mudah terasa
Ada yang jelas ikhlasnya
Ketawa membahagiakan
Bukan hanya bagi yang ketawa
Juga kepada yang melihatnya
Tak perlu dizahir dengan kata-kata
Senyum dan ketawa menjadi tanda
Yang bahagia pasti merasa
Indahnya senyum dan ketawa
Sebahagian amal membawa ke syurga...
Thursday, September 18, 2025
Hashtag 3 Beradik
Aku merasa amat bertuah kerana selama hampir 2 tahun berkhidmat di Medini, aku direzekikan bekerja dengan insan-insan hebat yang menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab. Aku menikmati keseronokan bekerja asbab dikelilingi barisan penolong kanan yang proaktif dan sangat menyokong melalui kebersamaan dalam menjayakan setiap misi sekolah. Kejelekitan dan persefahaman antara kami amat aku syukuri. Manakan tidak, acapkali tanpa menyatakan hasrat di hati, Hajah Hazizah dan En Hairul dah tahu apa yang bermain di benak fikirku.
Bohonglah kalau selama ini kami tak pernah berlaga angin atau berasa hati jika ada pendapat yang tak dipersetujui.. Cuma, lazimnya suasana tegang tak pernah terbiar lama kerana biasanya bicara kami penuh seloroh dan gelak ketawa. Teringat pulak lirik lagu alunan penyanyi kelahiran Kanada, Shania Twain antara lain menyatakan 'A friend is someone who knows the song in your heart and can sing it back to you when you have forgotten the words.'
Keikhlasan jalinan persaudaraan yang dibina antara kami bertiga membuatkan aku menggelar kami 3 Beradik. Ke sana ke mari kami bertiga.. Sebab itulah bila En Hairul digerakkan ke CIQ ketika Hajah Hazizah sedang cuti sakit berpanjangan akibat retak tulang kakinya, aku merasa sangat kosong.. Terasa betul ditinggalkan! Sedih, sepi.. tak tahu bagaimana nak mengungkapkan kepedihan hati ketika itu. Tambah menyakitkan apabila titis air mata yang tumpah di dasar hati, semuanya aku hadapi sendiri.
Alhamdulillah, kini aku dah mulai bangkit untuk menerima realiti dengan membuka jiwa dan hati. Berjauhan tidak bermakna putusnya ikatan persahabatan. Bingkisan yang dikirim oleh En Hairul sebagai tanda mata kenangan kami bertiga sememangnya amat istimewa. #3Beradik sangat mahal harganya buat insan sekerdil aku. Semoga jalinan ukhuwah antara kami kekal selamanya dan segala urusan kami juga dipermudah olehNya. Moga hubungan baik kita 3 Beradik berkekalan sampai bila-bila!! Aamiin 🌹
#Medinidihati ❤️
Think Positive!
Membina suasana hati yang positif amat penting kerana ia dapat membantu kita merasa lebih baik untuk menerokai pelbagai dimensi indah dalam kehidupan. Apabila kita memilih untuk berfikir secara positif, secara tidak langsung kita dapat mencipta persekitaran minda yang lebih terbuka dan berkembang dengan kreatif sekaligus menerbitkan kebahagiaan dengan cara kita sendiri. Di samping itu, berfikiran positif juga berupaya meningkatkan kesihatan mental dan fizikal selain membantu mengawal tekanan dengan lebih baik.
Adakalanya ketika mendepani ujian dalam kehidupan, pusat pemikiran menjadi terlalu sensitif untuk berfikir secara wajar khasnya dalam membuat keputusan. Pemikiran positif amat penting dalam membentuk kekuatan psikologi yang membolehkan kita menangkis pelbagai halangan dan cabaran hidup. Sebagai contoh, ada pesakit kronik yang berjaya sembuh dan kembali sihat disebabkan iltizam untuk pulih dipasak kemas dalam minda di dalam dan di luar sedar. Begitu juga halnya dengan mereka yang berjaya mencipta kejayaan luar biasa disebabkan pemikiran positif dan kekuatan semangat yang dimiliki.
Sebenarnya nukilan ku kali ini adalah peringatan serta nasihat ku kepada diri sendiri agar sentiasa bersangka baik dan berfikiran positif ketika menghadapi sesuatu kesukaran. Siapa lagi kalau bukan kita sendiri yang menyayangi diri kita sepenuh hati, bukan? InsyaAllah ambil semua yang baik-baik sebagai panduan melandasi kehidupan agar apa juga yang dilaksanakan berakhir dengan kebaikan. InsyaAllah.. 🌹
Tuesday, September 16, 2025
Penawar di Hati ❤️
Mencari Mimpi
Aku, Dia & Lagu
Monday, September 8, 2025
Tiada Kata Secantik Bahasa
Sunday, September 7, 2025
Terlajak Perahu Boleh Diundur..
Saturday, September 6, 2025
Bowling.. Baling!
Friday, September 5, 2025
Selfish or Selfless?
For me, it is likely a type of slandering the school administrators as a whole. In reality, all activities were well planned and transparently discussed prior execution. Upon investigation, I learnt that the teacher was unhappy for being uninformed and uninvolved when the decision was made by the Principal, SLTs and MLTs. Sigh..! The word 'Selfish' was repeatedly uttered making me wonder a lot about what we had gone through all these while. Selfish? That's not a good word to portray what we have done as I found that most of us had been selfless carrying out our duly duties and playing our parts as Medinians.
Being a selfish person means one is being excessively concerned with oneself, one's own advantage and one's own needs without regarding for the need or feelings of others. Selfishness can be seen as the opposite of altruism or selflessness. On the other hand, selfless means being kind and generous to others, being altruistic especially to those in need. And now I wonder, are we being selfish or selfless when operating the school, handling all the responsibilities or confronting the hassles up to the date? 🥺 Sigh again! Nevertheless, bringing altogether to achieve the mission is tough but I will never stop nor surrender until my mission is accomplished.
#medinidihati ❤️
Monday, September 1, 2025
Nizam oh Nizam!
Lose, Lost, Loss..
Saturday, August 30, 2025
Di Sebalik Rahsia Cinta
Thursday, August 28, 2025
Move On Wahai Hati
Sunday, August 17, 2025
Kabus Hati Dikabut Awan
Menerima berita pergerakan PK HEM, Encik Hairulnizam Ramlan yang juga sahabat baik SLT Medini ke SMK Kompleks Sultan Abu Bakar (CIQ) memang amat mengejutkan. Hampir gugur rasa jantung sebaik Encik Hairul memaklumkan diminta ke PPD sejurus sebelum menunaikan solat Jumaat minggu lalu. Ya Allah.. Dugaan apakah yang diberikan kepada pasukan SLT Medini kali ini? Hajah masih MC kerana kecederaan kaki dan aku berdepan pelbagai kes luar biasa membabitkan anak² asrama ketika ini. Sungguh.. Membina pasukan yang sederap sehaluan bukanlah mudah namun Allah mentakdirkan aku bekerja dengan pasukan yang amat serasi, sekepala dan se arah menjadikan segala tanggungjawab yang sukar berjaya dilaksanakan dengan mudah!
Orang luar tidak tahu apa yang kami lalui di Medini.. Segala tohmahan, fitnah jahat, surat layang yang tidak berasas kandungannya selalu datang bertali arus cuba memecahbelahkan kejelekitan yang kami bina namun kami terus mempertahankan kebersamaan yang utuh terbina. Acapkali PK HEM dan Pengetua menjadi sasaran. Mengapa? Kerana ada kalangan mereka yang cemburu dan tidak mahu berubah! Sukar menerima kebenaran.. sakit hati apabila keselesaan yang selama ini dinikmati dijentik oleh penerapan peraturan sekolah yang perlu dipatuhi. Sungguh aku kesal apatah lagi suara kami tidak didengari.
Sebagai sahabat, aku mendoakan kesejahteraan, kejayaan dan kecemerlangan sentiasa mengiringi kehidupan En Hairul. Aku percaya, insan yang baik akan sentiasa diiringi jutaan kebaikan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, ditabur ke angkasa menjadi bintang! Terima kasih En Hairul, atas jasa bakti yang telah ditabur. Segala ilmu yang dikongsi akan terus mengharum subur.. InsyaAllah kelak diizinkan kita bekerja bersama lagi. Pasaklah semua yang baik-baik di dasar hati. Sahabatku, kau pasti tidak akan kami lupakan. Semua kebaikan, ingatan dan nasihatmu akan kami simpan kukuh dalam ingatan..




















































