Tuesday, June 25, 2024
Hujan Di Hati
Monday, June 24, 2024
Jalan Cari Makan
Sunday, June 23, 2024
Solely Mine!
Namun, dek kerana kekangan masa, adakalanya hanya gambar ku utus sebagai penglipurlara. Acapkali aku berkongsi peristiwa menerusi aplikasi Facebook atau Instagram. Sesekali aku cuba juga berkongsi beberapa video menggunakan Tik Tok, itupun boleh dibilang dengan jari. Mengabadikan memori dalam dunia maya, membantu aku mengimbau kenangan yang terpahat dikala rasa rindu tiba-tiba menghambat..
Namun, yang kurang seronoknya ialah bila ada sahaja insan suka menempel cerita yang tidak berkaitan di situ. Ceritanya pula berkisar pencapaian diri yang langsung tiada pertalian dengan hidupku ini. Letih memujuk hati, pantas saja jemari ini membuang tag yang ditampal tanpa permisi asbab laman media ku memang bersifat peribadi. Kalau terasa nak promosi diri, buka dan gunakanlah akaun sendiri.. 🤣 Rimaslah!
Friday, June 21, 2024
Asah Pisau, Simpan Kuku
Kecewa.. sejujurnya itulah yang aku rasa semalam. Mengikut rapat pesan arwah abah, kita wajib menghormati semua manusia tanpa mengira siapa dan bagaimana latar hidup mereka. Bersikap baik dan menjaga adab susila dengan sesiapa jua amat dituntut dalam agama hatta tatkala berdepan dengan mereka yang kurang kita senangi sekalipun. Kata abah, walau setinggi manapun kita terbang, rumput di bumi jangan sesekali kita lupakan. Berpaksikan kata-kata abah, seboleh mungkin aku cuba menyantuni sesiapa sahaja yang aku temui tanpa prejudis dan prasangka. Wajarnya, kita layanlah sesiapa sahaja dengan baik, sebagaimana kita juga mahu diladeni.
Apa yang amat aku kesalkan semalam ialah bila aku bertemu dengan insan yang berkedudukan dan berpendidikan tinggi namun bersikap skeptikal kepada manusia lain yang kononnya tidak berada pada 'aras' kedudukan sosial yang sama dek kerana jurang pendidikan dan pekerjaan. Pada aku, alasan cliche ini amat dangkal kerana zaman memandang rendah kepada kelompok yang tidak memiliki sekeping pengiktirafan di atas kertas sudah jauh ketinggalan di belakang. Hakikatnya, semua manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan yang Allah rezekikan. Sikap suka mencari kesilapan orang lain, sepatutnya dipadam agar tidak menjadi sekam yang membakar dalam diam.
Aku hanya mampu jadi pemerhati dalam banyak situasi. Sampai satu masa, aku pasti akan bersuara. Rasanya masih belum sampai ke pengetahuan khalayak, aku ini bersuara lantang, almaklumlah bekas pendebat kebangsaan! 🤣🤣Buat masa ini, semua aku jadikan sempadan buat panduan di masa hadapan. Zahizan.. sabarrrr! Masanya akan tiba. Sekarang, tarik nafas dalam-dalam & duduk diam-diam 😅
Thursday, June 20, 2024
Di Akhir Garisan
Wednesday, June 19, 2024
My Calico
Esensi Bahagia Seorang Aku
Benchmarking atau penandaarasan merupakan satu aktiviti yang mampu menjana idea baharu untuk menambah baik pengurusan sekolah. Hari ini aku menyertai lawatan benchmarking ke sebuah sekolah amanah Johor Bahru yang merupakan sekolah .showcase peringkat kebangsaan Lawatan ke SK Bandar Uda 2 yang cantik dan informatif menjentik keterujaan untuk aku praktikkan di SMK Medini. Idea kreatif para guru di samping kewibawaan Guru Besar, Ustaz Zamri bin Abd Wahab, yang sentiasa menyokong inovasi guru membuahkan hasil yang sememangnya menakjubkan.
Menariknya, semasa asyik memotret beberapa sudut menarik untuk dibawa pulang sebagai inspirasi, terdengar suara halus memanggil namaku. "Madam Zahizan! Is that you..?" Wow.. sampai kat sini pun ada yang kenal ke.. 😂 Sebaik ku toleh, alangkah bahagianya bila aku melihat seraut wajah ayu tersenyum girang menyambut kehadiran kami. Salam bersambut dan gadis ayu itu ku rangkul mesra. Alangkah manisnya pertemuan itu..
Cikgu Zulaikha, guru muzik muda yang berbakat merupakan anak didik ku hampir sepuluh tahun dulu. Beliau merupakan seorang pendebat yang handal berhujah ketika aku menjadi jurulatih pasukan debat Bahasa Inggeris di Gelang Patah. Bangga dan bahagia melihat seorang anak didik menjadi rakan sejawat yang memiliki semangat membara. Alhamdulillah, semoga Allah memberkati kehidupan Cikgu Zulaikha dan mempermudah perjalanan kerjaya beliau. Pasti malam ini tidurku indah diulit mimpi bahagia.. terima kasih Allah!
Tuesday, June 18, 2024
Hijab Kekasih
Entah kenapa dua tiga hari ni bagai terngiang-ngiang bait-bait indah lirik dan melodi nukilan seniman M. Nasir yang lunak, di cuping telinga ini. Lirik sarat dengan maksud tersirat yang mendalam diiringi lantunan suara memukau milik sang biduan pujaan, seolah melontar aku jauh ke bumi asing yang sepi tidak berpenghuni. Syahdu dan sayu memagar hati setiap kali dendangan ini berlagu. Terkenang nostalgia menuntut ilmu di UM satu ketika dahulu.
Lagu ini sering menemani dinihari ku tika insan lain lena beradu, di kala aku asyik bergelumang mengulit buku. Irama indah mengiringi bait kata puitis dalam lagu ini acapkali berjaya membawa aku lari.. mengembara merentasi denai emosi yang kemarau, menelusuri jalan jerih penuh liku dengan hati pasrah penuh rindu. Dan hari ini, melodi ini bergema lagi, seakan cuba menyentuh kedamaian hati yang aku bajai dengan senyum tawa dan wajah ceria. Meski hati bersulam nestapa, aku benamkan semua sedalam-dalamnya. Sampai bila akan begitu? Biarlah waktu menjadi penentu..
Monday, June 17, 2024
Tunai Tetap Kami Tunaikan!
Indahnya Pengorbanan : AidilAdha
Peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.. dalam melaksanakan perintah Allah SWT memberikan pelbagai pengajaran yang sangat mendalam. Tatkala berdepan getirnya ujian kehidupan, manusia bereaksi dengan cara yang adakalanya tidak disangka dan di luar kawalan. Namun, keredhaan menerima ketentuan yang diberikan pasti menjanjikan hikmah di luar jangkauan pemikiran. Walau bagaimana payah ujian melanda, belajarlah berdamai dengan takdir yang tertulis. La Tahzan.. because every cloud has silver lining.. Salam Aidil Adha buat semua 🌹
Sunday, June 16, 2024
Rindu Bertamu
Hari ini, sendu membelah keheningan dinihari.. Kesayuan tiba-tiba hadir memagut tangkai hati. Kenangan bersama abang bertali arus melintas di depan mata satu demi satu. Rindu? Tak pernah hilang dari radar kalbu. Tatkala rindu menjengah jendela hati, Al-Fatihah ku kirim buat kekasih yang dicintai. Benarlah, rasa rindu yang tak bertepi adalah kesakitan paling sukar didepani. Semoga damailah abang di alam sana. Kami sentiasa merinduimu sayangku.. dan air mata pun mengalir laju..
Saturday, June 15, 2024
Bulat Air Kerana Pembetung..
Semenjak menggalas amanah sebagai kepala sekolah, pelbagai isu dan masalah menjadi rutin yang perlu aku depani. Satu per satu cuba aku rungkai dan atasi dengan hemah dan hikmah. Tapi dah nama pun manusia.. ada masa aku hanyut juga dibuai rasa. Marah, kesal, geram terkadang bergaul sebati namun aku bersyukur benteng kesabaran masih teguh dari runtuh dibadai ombak kemarahan. Seboleh mungkin aku tenangkan hati dan damaikan perasaan kerana sebagai ketua aku menjadi tauladan kepada subordinat di bawahku.
Beberapa menjak kebelakangan ini, aku perhatikan ada sahaja isu yang berbau perkauman cuba dicetus menguji kekuatan pendirian. Mungkin pada mata zahir ia hanya isu pinggiran, hakikatnya ia tetap mendera ketenangan hati. Ada masa, tindak tanduk mereka yang seakan lebih sudu dari kuah mencarik kesabaran.. Syukur kesepakatan bersama angkatan SLT Medini, memberi kekuatan untuk kami berdepan tenang tatkala berjuang dengan pihak lawan yang menjengkelkan.
Rasanya ucapan terima kasih yang dinukilkan tidak mampu mengungkapkan penghargaan ku kepada sahabat2 yang ku kasihi. Semoga Allah memberkati kehidupan kalian dan mempermudah segala urusan di mana jua kalian berada. Terima kasih sayang buat orang kuat kanan kiri, depan & belakang ~ Pn Hajah Hazizah, Encik Hairulnizam, Puan Saliza & Puan Ruhaizun yang tegap teguh berdiri di sisi tatkala ujian melanda diri. Sayang kalian ketat2! ❤️